J A W A P A N

231 30 2
                                        

"Kau tak curang, kan?"

Bisikan syaitan hanya menyuntik syak wasangka dalam diri tetapi aku, tidak mahu berselindung di sebalik tembok keraguan.

"Ya Allah. Tak, Myra. Nak uruskan kau seorang pun tak cukup tangan inikan pula aku nak fikirkan pasal manusia lain."

Aku menggeleng laju.

"Tak nak jawapan klise. Nak jawapan KBAT."

"Nak jawapan yang macam mana? Ke kau nak aku jawab macam ini, 'aku curang sekejap saja lepas itu bila bosan aku pulang ke pangkal jalan. Esok lusa aku bosan dengan kau, aku curang lagi.' Macam itu, huh?"

Mulut aku zipkan. Tiada pula patah kata yang mampu aku keluarkan untuk membidasnya waima ia begitu sarkastik sehingga hampir mendidihkan darahku.

Suasana kembali sunyi. Susah benar hendak menghidupkan sinar dalam kelam yang menyelubungi kami. Selalunya jika aku dan Amirul berjumpa, masing-masing bercakap macam bertih jagung. Dan saling mahu mendahului giliran bercerita sebelum berdekah ketawa.

"Uhuk."

Amirul batuk.

Laju hujung mataku berlari ke wajahnya.

"Kau tak sihat ke apa? Dah banyak kali aku nampak muka kau pucat semacam. Demam ke?

Dia berdehem beberapa kali barangkali mahu membersihkan kerongkong yang tak selesa. Jelas aku lihat kedutan di dahinya itu.

"Tak ada ... uhuk ... apa." Air teh dituangnya ke dalam cawan sebelum mencicipnya perlahan. "Cuaca panas. Tekak aku kering rasa gatal macam itu."

Amirul berkata-kata dengan suara agak serak.

Bibir gelas merapati mulutnya dan ....

"Pufff ... uhuk ... uhuk."

Air teh yang belum sempat berada pada tunas rasa, sudah tersembur keluar. Kali ini batuk keringnya berterusan. Cawan tadi sudah diletakkan oleh Amirul ke atas meja dengan tangannya yang jelas menggeletar.

Telapak tangannya naik menekup mulut sedang batuknya tidak henti-henti sehingga menambah kelu dalam fikiranku. Setiap tingkahnya aku perhatikan dengan kaku dan terkelu. Dan anak mata jatuh pada telapak tangan yang menjarak daripada mulutnya.

Dan aku, pantas bangkit dan masuk ke dalam rumah.

"Mak, Amirul batuk berdarah."

* * *

Jujur lidahku sedang dipaku ke lelangit. Bibir dijahit kemas. Dan mata hanya lurus menala ke satu arah.

"Kenapa kau menangis? Buruk betul."

Mutiara jernih aku biarkan mengalir tanpa diseka. Soalan Amirul tidak pula aku jawab.

"Uhuk uhuk."

Dia batuk lagi dan lagi. Setiap kali itu jua aku merasakan seperti jantung aku dilanyak tanpa belas.

"Myra, kalau kau nak duduk situ tapi tak nak cakap apa-apa, elok kau keluar. Aku nak tidur sekejap."

Aku membekukan tubuh. Posisi duduk bersila di muka pintu bilik Amirul ini aku selesakan. Pintu aku buka luas. Sebahagian tubuh berada di luar bilik bagi memastikan tidaklah kedudukanku sepenuhnya di kamar lelaki itu. Tirai bilik ini sudah aku sanggul tinggi supaya jelas jarak yang memisahkan kami dan apa sahaja perkara semasa yang berlaku.

"Myra ...."

"Kalau nak tidur, tidur sajalah. Tak payah bising."

Rumah Puaka Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang