Sinopsis

1.8K 56 20
                                    

MWB (Mr Wing Badge)
*Wing badge: Pilot's badge. A pilot's pride.

          Stereotaip dunia. Lelaki tampan selalunya bermulut manis manakala yang kaya-raya pula teman wanita keliling pinggang. Maka adakah juga benar bahawa lelaki yang berprofesion juruterbang itu semuanya 'playboy'? Buaya darat yang terbang di udara!

           Ashraf Zildan Zamani, seorang juruterbang di negara seberang. Ashraf sering dilihat sebagai seorang lelaki yang sempurna. Begitu juga dengan keluarganya. Ibunya seorang bekas pramugari manakala ayahnya pula kapten si burung besi. Walaupun latar belakang keluarganya sangat moden dan kedengaran agak glamor, tetapi sewaktu di sekolah dahulu rakan-rakan Ashraf menggelarkan dia si 'introvert freak'. Ini kerana Ashraf mendominasi keempat-empat jenis introvert tersebut lengkap dalam dirinya. Namun begitu bila tiba pada satu titik dalam garis masa hidupnya, dinding introvert itu akhirnya Ashraf pecahkan demi seorang gadis. Dan ketika itu, Ashraf telah membuat sesuatu yang dia fikir paling gila pernah dia lakukan seumur hidupnya!

          Sebelum Lara, Ashraf tidak pernah memikirkan tentang cinta secara serius. Beratus-ratus suis dan butang yang bersepah pada panel kokpitnya itu, lebih senang bagi Ashraf daripada mengenali seorang perempuan. Ditambah pula dengan sikap sinisnya yang tipikal, jangka hayat percintaan Ashraf sebelum ini tidak pernah lama. Tetapi Ashraf tidak ambil peduli. Baginya, hidupnya hanya untuk kapal terbang, enjin kapal terbang, sayap kapal terbang, dan segala-galanya tentang kapal terbang. Manual kapal terbang? Bak kata abangnya yang juga seorang pilot, kalau manual itu diibaratkan seperti Al-Quran, si Ashraf ini sudah seperti tahap al-hafiz! Prosedur apa di bab yang ke berapa, semuanya ada dalam kepala Ashraf. Itulah minat yang dia tanam sejak dari kecil walaupun ayahnya, Kapten Zamani tidak pernah berkehendakkan dia menjadi juruterbang.

          Sejak kecil, Ashraf amat manja dan rapat dengan ibunya. Bukan sahaja dia menjadi saksi kepada pengorbanan dan kasih sayang seorang wanita terhadap suami dan keluarga, malah Ashraf juga menyimpan sebuah konflik dalam keluarga mereka yang kekal menjadi rahsia sehingga ke hari ini. Dan daripada situasi itulah tanpa Ashraf sedar telah mendidik dia untuk menghargai perempuan-perempuan yang dia sayangi. Dan untuk pertama kali dalam hidup Ashraf, gadis bernama Lara itu adalah salah seorang daripadanya.

          Namun seperti namanya, Lara itu seringkali menjadi lara di hati Ashraf. Kadang-kala bukan kehendak atau niat gadis itu sendiri tetapi masa dan takdir yang tidak menyebelahi. Ashraf berkali-kali kecewa tetapi perkataan 'mengalah' itu tidak pernah wujud dalam 'manual' hidupnya. Sikap semulajadi seorang juruterbang, memang tidak akan pernah mengalah walaupun nyawa sudah di hujung tanduk. Dan sikap seorang juruterbang akan terus bergelut hingga ke hujung nyawa, walau pesawat sedang jatuh menjunam. Begitulah sinonimnya keadaan tersebut dengan cinta si juruterbang yang bernama Ashraf Zildan. Tetapi... Mampukah Ashraf memacu impiannya untuk bersama Lara?

          Seorang gadis bernama Lara. Ironinya nama itu dengan senyuman yang dia miliki. Senyuman yang mencairkan hati ramai lelaki dan bagi Ashraf, ketika pertama kali dia melihat senyuman itu, dia terasa umpama ada tiupan angin yang mendamaikan hati lelakinya.

          Lara Rizman, seorang pelajar pintar di universiti tempatan dan juga merupakan seorang 'freelance' model. Terpaksa mencari duit poket sendiri akibat daripada konflik keluarga yang bercerai-berai. Pendek kata, kehidupan Lara dipenuhi dengan konflik keluarga dan cinta sekaligus mengajarnya menjadi seorang gadis yang kuat dan tabah. Namun begitu, di sebalik kejadian-kejadian pedih dalam hidupnya, Lara dilihat sebagai seorang gadis yang periang dan sentiasa ceria, mencuri hati Ashraf.

          Kehadiran Ashraf secara tiba-tiba dalam hidup Lara sering menjadi titik tolak dalam diri gadis itu, sama ada untuk mempertahankan atau mengorbankan hubungan cintanya bersama sang kekasih hati. Kadang-kala, Lara lemas dalam keterujaannya terhadap cara dan layanan Ashraf yang menggoncang jiwa perempuannya. Tetapi... Entahlah. Setiap kali bila dia ingin memberi peluang kepada Ashraf untuk bertapak di ruang hatinya, setiap kali itulah juga lelaki tu tanpa sengaja akan merosakkan peluang tersebut. Ada sesuatu tentang Ashraf yang Lara tidak suka dan tidak boleh terima kerana ia termasuk dalam kepantangan terbesar Lara! Dan dalam pada masa yang sama, cara layanan Ashraf membuatkan Lara tertanya-tanya... Adakah Ashraf seorang 'playboy'?!

          Namun, apabila terjadinya perpisahan yang tidak dia duga, sedikit demi sedikit Lara mula sedar perasaannya yang sebenar terhadap Ashraf dan betapa berharganya lelaki itu dalam hidupnya. Lara bertekad untuk menjejaki semula Ashraf dan membawa lelaki itu kembali dalam hidupnya.

          Novel MWB (Mr Wing Badge) ini adalah sebuah novel yang akan menghidupkan kembali nostalgia zaman pembangunan teknologi secara pesat melalui revolusi komunikasi seperti telefon bimbit, media sosial dan ruang sembang, serta penggunaan internet di pertengahan tahun 2000. Di sebalik pendedahan kisah-kisah hidup anak muda di kota, terselit beberapa mesej dan pengajaran yang berkait rapat dengan pergelutan hidup oleh setiap insan dalam hidup yang fana ini. Novel ini juga memaparkan gambaran sebenar rutin kehidupan dan kerjaya sebagai juruterbang syarikat penerbangan yang sering dianggap glamor oleh masyarakat umum.

MWB - Mr Wing BadgeWhere stories live. Discover now