Bab 1

652 34 6
                                    

Tahun 2004

          JARI-jemari runcing Lara mengetuk-ngetuk puntung rokok pada bekas abu rokok di meja kedai mamak tersebut.  Suasana keliling hingar-bingar pada malam itu langsung dia tidak pedulikan.  Fikirannya menerawang jauh sambil bibir mungilnya menyedut batang rokok yang sudah separuh habis.  Di saat Lara mendongak sambil menghembus kepulan asap keluar dari mulutnya, tulang selangkanya tampak timbul dek kerana tubuhnya yang kurus dan saiz bidang leher bajunya yang luas.

          Lara terus mengelamun sendiri tanpa menghiraukan dua rakan baiknya yang sedang rancak bersembang.  Ingatannya tertumpu pada kejadian siang tadi sewaktu dia dan ibunya berada di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk kes tuntutan nafkah buat dia dan dua lagi adik lelakinya, Dhafi dan Najmi daripada sang ayah, Encik Rizman Mohamad...

"Lara, untuk next hearing nanti, Lara kena masuk dalam kandang mahkamah ye."

          Kata-kata Puan Asyirah, peguam Syarie yang mewakili ibunya seakan terngiang-ngiang.  "Lara tahukan, selama ni ibu cuma fight untuk pemotongan gaji ayah secara automatik untuk dikreditkan ke dalam akaun ibu."  Lara mengangguk bersama kerutan di dahi. 

          "Tapi hari ni, ayah Lara ada buat permintaan baru pada mahkamah.  Dia minta untuk stop-kan pemberian wang belanja bulanan Lara...  Dia just nak tanggung adik-adik je.  So kita nak fight untuk yang itu pulak, sebab tu untuk the next hearing nanti, Lara kena explain semua details perbelanjaan Lara pada hakim. Buktikan pada mahkamah yang Lara memang perlukan duit tiga ratus ringgit sebulan tu untuk belanja harian Lara di UiTM." Sambung peguam wanita itu.

          "Ayah kata dia dah tak nak tanggung akak lagi sebab bini dia tengah pregnant sekarang. Dan katanya lagi, bila anak tu lahir nanti dia akan ada tanggungan baru. So ayah dah tak nak tanggung akak." Kata-kata ibunya siang tadi masih terdengar-dengar.  Hati Lara membengkak tak surut-surut.  Entah ke manalah harus dia bawa hati ini...   

          Lara tarik nafas dalam-dalam.  Rokoknya yang sudah sampai ke puntung itu ditenyeh-tenyeh kuat di dalam bekas abu rokok.  Dia melepaskan geramnya sekali di situ!

          Sudah hampir tiga tahun, Lara menemani ibunya turun naik mahkamah untuk perbicaraan kes tuntutan nafkah tersebut.  Daripada dia mula-mula masuk belajar di UiTM Shah Alam sehinggalah dia berada di tahun akhir pengajiannnya sekarang, kes itu masih lagi belum selesai. 

          Bayangan ayah bersama ibu tirinya seperti yang Lara lihat sewaktu mereka semua keluar daripada perkarangan mahkamah tadi masih segar di ruang fikiran Lara.  Kelihatan perempuan surirumah yang mengharapkan duit lakinya itu menjinjit beg tangan mahal Louis Vuitton berwarna merah hati manakala ibunya, Puan Zuraidah yang bekerja sebagai kerani sekolah itu hanya menjinjing beg tangan berjenama Bata.  Itupun Lara lihat beg tersebut sudah lusuh.  Mereka naik kereta mewah, tetapi Lara dan ibunya hanya menaiki kereta Perodua Kancil yang kecil comel berwarna maroon

          'Beg LV beribu-ribu ringgit boleh beli, kereta SUV baru boleh beli, duit belanja anak tak boleh bagi!' Desis Lara sendirian dalam hati.  Dia benar-benar tidak faham dengan permainan ayah dan ibu tirinya itu!

          Lara masih ingat ketika pertama kali dia menjejakkan kaki ke universiti, ayahnya itu sendiri yang menambah wang perbelanjaannya sebanyak dua ratus ringgit ekstra.  Kata ayahnya, duit lebih itu untuk menampung perbelanjaan assignment Lara dan juga duit transportation memandangkan Lara tiada kenderaan sendiri untuk bergerak ke sana-sini.  Oh ya, tetapi itu semua ketika ayahnya masih belum berkahwin dengan perempuan puaka itu.  Setahun kemudian, sebaik sahaja ayahnya menikah, wang belanja bulanannya terus dikurangkan menjadi tiga ratus ringgit semula dan hari ini, permohonan telah dibuat kepada mahkamah untuk menghentikan terus pemberian wang sakunya! 

MWB - Mr Wing BadgeWhere stories live. Discover now