"Tuan-tuan dan puan-puan, selamat datang ke Lapangan Terbang Tawau. Waktu tempatan ketika ini adalah pukul lima dua puluh lima minit petang. Bagi tujuan keselamatan tuan-tuan dan puan-puan dinasihatkan agar terus berada di tempat duduk masing-masing dan tidak membuka tali pinggang keselamatan sehinggalah lampu isyarat tersebut dipadamkan. Sila pastikan semua barangan milik anda ada dibawa bersama dan jika anda memerlukan sebarang bantuan, sila maklumkan kepada krew-krew kami yang bertugas. Bagi pihak Kapten Vikash dan Malaysia Airlines, kami mengucapkan terima kasih dan sehingga berjumpa lagi pada penerbangan yang akan datang. Terima kasih."
Kedengaran intercom dimatikan. Kapal terbang yang baru sahaja mendarat sebentar tadi masih melakukan 'taxiing' menuju ke petak parkir. Ashraf hanya duduk termenung sambil memerhatikan pemandangan bukit-bukau di luar dengan perasaan yang membungkam. Akhirnya, tempoh tiga jam penerbangan ke Tawau sudahpun tamat!
Ashraf tunduk sambil membuka cebisan kertas di tangannya. Ya, kertas yang bertulis nombor telefonnya itu masih lagi ada padanya! Kini dalam masa lebih kurang lima belas minit lagi, Ashraf dan gadis 22B itu akan berpisah. Namun begitu, Ashraf sebenarnya sudah ada back up plan yang terakhir. Sanggup atau tidak, itu sahaja satu-satunya strategi yang tinggal. Jika Ashraf tidak menggunakannya, lima belas minit ini adalah kali yang terakhir dia melihat gadis 22B itu!
Enjin pesawat terus sahaja dimatikan sebaik sahaja ia masuk ke petak parkir. Penumpang-penumpang semua sudah hiruk-pikuk bangun sambil membuka ruang atas tempat simpanan beg untuk mengambil barangan masing-masing. Ashraf hanya membatukan diri di tempat duduk, malas untuk berebut dan bersesak-sesak keluar dengan yang lain. Lagipun, Ashraf sebenarnya hendak berjumpa dengan rakannya, Kapten Vikash.
Apabila keadaan sudah reda sedikit, Ashraf mula bangun daripada tempat duduknya dan terus meluru ke ruang hadapan pesawat. Ketika itu, Ashraf dapati ada seorang pramugari dan pramugara yang menjahanamkan rancangannya sebentar tadi sedang berdiri berhampiran pintu pesawat sambil mengucapkan terima kasih kepada penumpang yang keluar.
"Can I see Captain Vikash for a sec?" Kata Ashraf kepada dua krew kapal tersebut. Dia menganjak sedikit ke tepi bagi memberi laluan kepada penumpang-penumpang di belakangnya.
Mendengarkan kata-kata Ashraf, kedua-dua krew kapal itu seperti tercengang tetapi mereka cepat-cepat menganggukkan kepala. Pramugari yang memakai tag nama 'Vernessa' itu cepat-cepat masuk ke dalam kokpit dan seketika kemudian dia keluar bersama kaptennya. Saat itu juga, kelihatan gadis 22B melintas di hadapan mereka semua membuatkan Ashraf terpaku.
"Bye miss! Have a nice day! See you again!" Ujar pramugara yang berdiri di sebelah Ashraf. Gadis 22B itu Ashraf lihat terus tersenyum memandang pramugara tersebut sambil berkata, "Thank you, dear! See you too!"
'Aww... Dear...?!' Jerit Ashraf dalam hati. Hatinya melebur cair! "Dia stewardess Malaysia Airlines ke?? Siapa nama dia? You all tahu tak??" Kalau turutkan hati Ashraf, mahu saja dia bertanya begitu pada semua orang disekelilingnya, tetapi malangnya situasi itu hanya dapat Ashraf bayangkan dalam kotak fikirannya sahaja. Ashraf menyeluk tangannya ke dalam poket seluar dan dia boleh rasa cebisan kertas kecil yang tertulis nombor telefonnya tadi...
"Bro, okay tak aku landing tadi?" Suara Vikash mematikan lamunan Ashraf. Kini, pesawat tersebut telahpun kosong. Kesemua penumpang sudah keluar dan hanya tinggal Ashraf sahaja penumpang yang terakhir di situ.
Mendengarkan pertanyaan juruterbang tersebut, Ashraf hanya tersenyum. "Pilot Malaysia Airlines memang semua hebat-hebat bro, aku tahu!" Bahu Vikash ditepuk perlahan. Vernessa dan rakan sejawatnya Fiq bertukar-tukar pandangan seraya beredar dari situ.
"Hei, Fiq... Dia cakap BM-lah!" Bisik Vernessa manakala Fiq hanya menganggukkan kepala. "Yelah. Aku rasa dia Melayulah." Kata Fiq pula. Mereka cepat-cepat ke ruangan galley di belakang untuk membuat persiapan keluar pesawat. Selain itu, mereka juga ingin bergosip tentang 'pax handsome' tersebut bersama Lisa dan rakan-rakan yang lain!
YOU ARE READING
MWB - Mr Wing Badge
عاطفيةMWB - Mr Wing Badge *Wing badge: Pilot's badge. A pilot's pride. "Bukankah pilot perlu sentiasa tenang walaupun ketika keadaan pesawat seperti telur di hujung tanduk?" Sinopsis: Bukan cerita cinta pilot biasa ;) Sinopsis penuh di dalam. Kepada sem...