Bab 11

260 15 2
                                    

SEPETANG di Biltmore Hotel, Los Angeles, tempat penginapan kru-kru Singapore Airlines...


Alunan irama piano yang dimainkan secara langsung di dalam sebuah restoran kedengaran sungguh indah dan mendamaikan. Suasana di Rendezvous Court Cafe dalam hotel mewah tersebut terasa sangat tenang. Rata-rata, para tetamu di situ sedang menikmati minum petang dalam suasana yang elegan. Reka bentuk dalaman yang bertemakan seni bina Moorish Revival itu kelihatan sangat mewah dengan lukisan-lukisan fresko yang tertera di siling dan di dinding marmar bersama tiang-tiang roman yang berukir indah. Lampu-lampu candelier Itali juga menghiasi segenap ruang di siling memberikan efek mood romantis barat. Pendek kata, reka bentuk dalaman hotel itu umpama seni bina istana Eropah abad ke-19 yang mampu membuatkan pengunjung merasai seolah-olah berada di dalam istana pada zaman tersebut.

"A cold Golden Road 329 Lager for you, sir."

"Yes, thank you."

Ashraf membiarkan sahaja pelayan restoran itu meletakkan gelas yang berisi air bir di atas meja. 

"Do you care for a local newspaper, sir?" Tanya pelayan itu dalam tutur bahasa yang sopan sekali sambil mengunjukkan senaskah suratkhabar kepada Ashraf.

"Oh, sure. Thanks."

"You're welcome, sir."

Selepas suratkhabar 'Los Angeles Times' itu bertukar tangan, pelayan lelaki tadi terus berlalu pergi.

Ashraf meletakkan suratkhabar itu di hadapannya.  Kemudian, dia menyambung makan bersendirian di sudut yang agak terpencil itu. Sebaik sahaja dia terbangun daripada tidur selepas dua puluh satu jam penerbangannya semalam, perut Ashraf rancak berkeroncong minta diisi. Lantas, dia terus sahaja mandi dan turun ke restoran tersebut untuk menikmati bufet minum petang secara percuma buat kru-kru Singapore Airlines. Itulah salah satu kelebihan bagi mereka yang bekerja sebagai kru penerbangan.

Tangan Ashraf memotong salmon bagel yang kedua di dalam pinggannya. Bagel yang pertama telah habis dia makan. Lapar sungguh rasanya setelah terjaga daripada tidur yang panjang. Sambil mengunyah, Ashraf menatap telefon bimbit. Terdapat beberapa SMS yang tertera belum dibaca, tetapi jari Ashraf membuka SMS daripada Lara terlebih dahulu...

'Hai Ash... Sorry, lambat balas SMS you. Baru habis study since petang tadi. Oh, you masuk kerja petang ye? Okay, you take care too!' - Beautiful specimen

Ya, dia menyimpan nama Lara di dalam telefon bimbitnya sebagai 'Beautiful specimen'! Ashraf rasa, gadis itu telah membuat dia jadi lebih jiwang daripada Danny sekarang!

Kelihatan waktu yang tertera semasa SMS itu dihantar ialah pukul sepuluh malam waktu Malaysia. Ketika Ashraf sedang terbang tinggi di awan semalam!

Bibirnya mula menguntumkan senyum. Kalau turutkan hati, ingin saja dia membalas mesej tersebut tetapi Ashraf risau kalau-kalau balasan SMS-nya nanti akan membuatkan Lara dikenakan caj sebanyak RM0.50 untuk penerimaan SMS antarabangsa kerana itulah yang bekas teman wanitanya,  Irene selalu bebelkan dahulu. Ashraf tidak pasti sama ada rangkaian TimeCel yang digunakan Lara itu juga akan mengenakan caj yang sama oleh itu, dia tidak mahu ambil risiko.  

Ashraf menghabiskan saki-baki salmon bagel-nya sebelum beralih ke Royal Biltmore Cranberry Scone yang diambilnya tadi. Tangannya membuka pembalut Devonshire Cream yang sangat dia gemari lantas melepakan krim tersebut di atas skon. 

Ketika menggigit skon yang enak itu, kening Ashraf berkerut. Dia dapati saiz skon itu semakin lama semakin kecil jika dibandingkan dengan setahun yang lalu. Kini, hanya dengan dua kali gigitan sahaja skon tersebut telah habis dimakan Ashraf. Menyesal pula dia tidak mengambil lebih tadi. Skon kranberi bersama krim Devonshire itu memang merupakan makanan yang akan dia cari setiap kali menginap di Biltmore Hotel tersebut.  

MWB - Mr Wing BadgeWhere stories live. Discover now