"Uncle..."
Ashraf tersentak. Terasa bahunya digoncang lembut. Perlahan-lahan, dia membuka mata. Kelihatan Martin sudah berdiri di tepi katil sambil memandangnya.
"Ha? Kenapa?" Suara Ashraf mamai.
"Nani's calling you for breakfast."
"Haa?"
"Nani ajak breakfast..." Ulang Martin.
"Oh..." Ashraf merebahkan kepalanya semula. Barulah dia teringat yang dia dan Azril balik ke rumah Taman Serene malam tadi.
"Jomlah uncle..."
"Okay, okay... Cakap dekat nani, let me shower first yea. Then I'll go down for breakfast."
"Okay!" Sebaik sahaja mendengarkan kata-kata pakciknya itu, Martin terus berlari keluar daripada bilik tersebut.
Ashraf menekup mukanya dengan telapak tangan sambil mengingat sesuatu... Ya, hari ini dia akan ke Kuala Lumpur dan esok pula bakal menjadi hari yang bersejarah dalam hidupnya! Bayangan Lara muncul dalam kotak fikirannya yang masih mamai. Ashraf tersenyum lebar...
Ketika Ashraf tiba di ruang makan pada pagi itu, kelihatan ibu dan ayahnya baru sahaja selesai bersarapan manakala Martin pula sedang menghabiskan saki-baki bijirin sarapannya.
"Morning pa!" Suara Ashraf ceria menegur ayahnya yang sedang membaca suratkhabar.
"Good morning Mr Pilot!" Sambut Kapten Zamani tanpa memandang ke wajah Ashraf.
'Mr Pilot' adalah panggilan yang biasa digunakan oleh Kapten Zamani buat kedua-dua anaknya, Ashraf dan Azril. Lelaki itu terus menyelak helaian suratkhabar 'The News Straits Times' di tangan.
Ashraf duduk berhadapan dengan Zelda yang sedang mencedok nasi lemak buatnya ke dalam pinggan. Selain daripada ucapan selamat pagi tadi, tiada bait kata yang keluar antara Ashraf dan ayahnya. Zelda tidak hairan. Dia sudah biasa dengan keadaan itu.
Semua orang dalam keluarga mereka tahu yang Ashraf kurang hendak bercakap dengan ayahnya. Bukan baru setahun dua malah sejak Ashraf remaja lagi. Zelda tahu kenapa. Kapten Zamani juga tahu sebabnya. Dan mungkin Sofie, Azril dan Haris juga tahu kisah di sebalik hubungan dingin yang sekian lama mencengkam antara Ashraf dan Kapten Zamani.
Selain daripada hal-hal kerja dan hal apa yang perlu, kedua-dua beranak itu jarang sekali bersembang mesra. Kapten Zamani pula tidak pernah menyucuh peluang. Mungkin ego seorang ayah. Dah si anak tak nak bercakap dengan ayah, apa halnya pula si ayah hendak membuka mulut! Namun jika salah seorang daripada mereka memulakan topik tentang kapal terbang, aviasi atau berkenaan kerja, mereka boleh bersembang berjam-jam lamanya. Malah kalau bersembang pada waktu malam boleh santak hingga ke subuh! Pada pengamatan Zelda sebagai isteri dan ibu, dia rasa kedua-dua beranak itu sebenarnya boleh kamceng. Cuma ego lelaki mereka sahaja yang meleraikan mereka berdua.
Saat aroma nasi lemak mencucuh deria bau Ashraf, perutnya sudah berbunyi dan sambal nasi lemak di hadapannya kelihatan sungguh menggiurkan. Tetapi ketika Ashraf hendak memulakan suapan pertama, dia terperasan yang Azril tiada bersama mereka di situ. Dahi Ashraf berkerut.
"Aril tak bangun lagi ke ma?"
"Aril? Taklah, dia pagi-pagi tadi dah balik ke Singapore."
"Huh? Balik Singapore??" Wajah Ashraf kehairanan seperti memikirkan sesuatu.
Tiba-tiba sahaja, dengan sepantas kilat Ashraf meloncat bangun daripada kerusi lantas berlari ke ruang hadapan rumah. Bergegar meja makan kayu jati itu ditolak Ashraf dan bunyi geseren kaki kerusi di lantai membingit telinga.
YOU ARE READING
MWB - Mr Wing Badge
RomanceMWB - Mr Wing Badge *Wing badge: Pilot's badge. A pilot's pride. "Bukankah pilot perlu sentiasa tenang walaupun ketika keadaan pesawat seperti telur di hujung tanduk?" Sinopsis: Bukan cerita cinta pilot biasa ;) Sinopsis penuh di dalam. Kepada sem...