DHEA menurut sahaja langkah kaki lelaki itu. Bila lelaki itu melangkah ke kanan, Dhea turut melangkah ke kanan. Bila lelaki itu melangkah ke kiri, diapun turut sama melangkah ke kiri. Sesekali lelaki itu menoleh ke belakang. Bila itu berlaku, cepat-cepat Dhea tundukkan wajahnya. Tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu.
Lelaki itu meneruskan langkah kakinya sebelum berhenti di hadapan sebuah bilik. Dhea masih lagi berada beberapa tapak di belakang. Menjinjing beg pakaian miliknya yang sederhana besar.
Lelaki itu memandang Dhea yang terjingkit-jingkit membawa beg tersebut. Dia merengus sedikit kasar. Mendengar itu, Dhea cuba melangkah sepantas yang mungkin, tidak mahu lelaki itu menjadi bertambah marah. Sampai sahaja Dhea di sisi, lelaki itu memulas tombol pintu bilik tersebut.
"Mulai hari ini, awak akan tidur di dalam bilik ini." Datar. Tiada nada.
Dhea mengangguk tanpa memandang wajah lelaki itu.
"Ingat, jangan sesekali lupa siapa diri awak!" Tegas lelaki tersebut.
Dhea meneguk air liur mendengar kata-kata yang lebih kepada amaran itu. Hendak mengangkat muka, dia tidak berani. Apatah lagi hendak bersuara.
"Saya akan bertolak ke tempat kerja dalam pukul 7 pagi. Setiap hari, Isnin sehingga Jumaat. Saya akan balik ke rumah sebelum waktu Isyak." Lelaki itu berjeda, mungkin sedang berfikir tentang apa lagi yang patut Dhea tahu.
"Tugas awak dalam rumah ini, yang pertama dan paling penting sekali adalah menjauhi diri saya! Apa pun yang awak hendak lakukan, saya tidak kisah dan saya tidak mahu ambil tahu. Yang penting, awak jaga maruah saya! Faham?!"
Air liur tersekat di rengkung. Tersentap jiwa raga namun Dhea hanya mampu mengangguk sahaja.
"Itu sahaja, awak boleh masuk, yang lain saya akan beritahu kemudian," ujar lelaki itu sebelum menapak pergi.
Dhea masih berdiri di tempat yang sama. Tidak mahu berganjak sehinggalah kelibat lelaki itu menghilang dari pandangan. Matanya memerhatikan laluan. Bila pasti lelaki itu sudah tiada, Dhea melangkah masuk ke dalam bilik. Pintu ditutup rapat sebelum beg yang dijinjing tadi diletakkan di tepi almari.
Matanya meliar memandang keliling, memang bilik itu berbeza dengan keadaan biliknya sebelum ini. Berbeza sangat-sangat. Sesekali dia terasa diri bagai berada di alam mimpi.
"Ingat, jangan sesekali lupa siapa diri awak!" Suara lelaki tadi bagai terngiang-ngiang di telinga Dhea. Dhea mengeluh sendirian. Bukan niat dia pun mahu merumitkan keadaan.
Langkah kaki diatur menuju ke sebuah katil bersaiz Queen yang memang disediakan di dalam bilik tersebut. Dhea melabuhkan punggung di birai katil. Dia tidak tahu bagaimana dan apa yang hendak difikirkan. Mindanya padat dan sesak. Akhirnya dia bangun lalu membuka pintu balkoni.
Dhea berdiri di koridor sambil memandang langit malam. Bulan berbentuk sabit dan beberapa butir bintang berkerlipan menghiasnya. Sesekali Dhea menguis helaian rambut yang mengganggu penglihatannya.
Tiba-tiba pandangannya jatuh pada sebentuk cincin yang tersarung di jari manisnya. Cincin yang diperbuat daripada emas putih itu ditenung lama. Cincin itu direka sepasang. Masing-masing dengan bentuk sebelah hati, kalau cincin itu bertemu dengan pasangannya ia akan bercantum menjadi satu hati. Cantik.
Dhea mengeluh lagi. Keluhannya kedengaran lebih berat daripada yang tadi. Kalau cantik pun, tiada gunanya jika orang yang menyarungkan cincin tersebut ke jari manisnya itu tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap dirinya. Walaupun itu bermaksud dia sudah menjadi yang sah dan halal kepada insan tersebut.
Dhea pandang lagi langit malam. Dibiarkan sahaja angin sepoi-sepoi bahasa bertiup dan menyapa wajahnya. Rasa dingin meresap ke seluruh badan. Hatinya tiba-tiba terasa sebak dan pilu.
Pakaian pengantin masih melekat di tubuhnya. Tiada niat mahu menanggalkannya walaupun majlis sudah lama berakhir. Biarlah pakaian itu tersarung hingga ke pagi, dia kepingin jadi bidadari biarpun sebentar cuma. Biarpun tiada yang sudi menganggapnya begitu.
"Biar pun sedetik cuma," bisik Dhea sendirian. Air mata yang mengalir diseka perlahan.
Dhea menarik nafas. Memang hari itu hari yang amat bermakna buat Dhea. Walaupun hari bersejarah itu tidak semeriah seperti yang diidam-idamkan, Dhea tetap bersyukur. Bersyukur kerana dia diselamatkan dari terus menjadi mangsa kerakusan dan tamak haloba manusia-manusia kejam yang tidak berhati-perut. Bersyukur kerana dia masih lagi berpeluang untuk hidup di atas bumi Tuhan. Sungguh!
Kalaupun orang yang menikahinya itu tidak menyimpan walau sekelumit pun rasa sayang dan cinta terhadap dirinya, Dhea akan cuba sedaya upaya menjaga makan-pakai lelaki itu. Sedaya upaya menurut perintah dan mematuhi segala arahan kerana itu sahaja yang termampu Dhea lakukan.
"Aku terhutang nyawa kepadanya. Biarlah kehadiran aku ini tidak dihargai, aku rela. Aku reda," tekadnya dalam hati.
Thaqif Arifin Bin Azad Kamarul. Nama lelaki yang kini bergelar suami kepadanya. Dhea tidak kenal lelaki itu. Dhea juga tidak tahu mengapa lelaki itu sanggup menikahi dirinya. Dipaksa, terpaksa atau keadaan memaksa? Sungguh Dhea tidak tahu. Mungkin lelaki itu tiada pilihan.
'Hendak dipanggil apa ya, suami aku itu? Thaqif? Abang? Abang Thaqif? Layakkah aku memanggilnya begitu? Sudikah dia, sedangkan memandang aku pun dia tidak mahu.'
Dhea menggosok telapak tangan, sebelum meletakkannya pada kedua belah pipi. Menghangatkan diri sendiri yang kedinginan.
Dhea pandang bintang-bintang di angkasa. Adakah engkau salah satu daripada bintang-bintang yang berkerlipan itu, penyelamat diriku? Yang jatuh menyinari hidup aku? Atau akukah antara bintang-bintang itu yang hadir mewarnai hidupmu?
Malam sudah semakin larut. Dhea menopang dagu, masih mahu mengira bintang di langit. Badannya letih, mindanya juga letih. Mahu tidur tapi mata tidak mahu lelap. Fikirannya masih melayang, cuba merakam wajah suami yang belum sempat ditatap dengan jelas. Argh! Dhea, belum apa-apa sudah mula berangan.
Apapun, bagi Dhea dialah prince charming untuk dirinya. Seperti dalam cerita fairytales yang pernah dibaca dan didengarnya. Cuma pengakhiran kisahnya sahaja yang masih menjadi tanda-tanya. Apa mungkin hikayat hidupnya juga akan sama seperti kisah-kisah itu? Berakhir dengan kebahagiaan untuk selamanya?
'Mungkin prince charming itu cuma satu fantasi. Biarlah kalau begitu. Sesungguhnya kerana dia, maruah aku terselamat. Sesungguhnya kerana dia, aku bisa lari dari kehidupan silam aku. Seumur hidup aku berkhidmat pun, aku tidak akan mampu membalas jasanya.' Air mata Dhea jatuh berlinang lagi.
'Thaqif Arifin. Biar apapun tanggapan kamu. Biar apapun perasaan kamu terhadap aku. Aku berjanji akan cuba menjadi yang terbaik untuk kamu. Itu janji Dhea.'
Nun di sebalik tirai bilik bersebelahan, tanpa Dhea menyedari sepasang mata sedang memerhatikan tingkah lakunya.
YOU ARE READING
Janji Dhea : asalkan Tuan bahagia
RomanceOn going pre order Please whatsapp 0146600705