TANGAN ibunya yang melecur itu dilalukan ke air paip yang sengaja dibuka deras. Wanita itu mendesis sedikit, cuba menahan rasa sakit dan pedih. Muka Amira kelihatan risau. Dipandang lama kesan merah dan gelembung pada lengan ibunya itu.
"Ibu... Teruk sangat kesan melecur ni. Kita pergi klinik ek?" pujuk Amira entah kali ke berapa, risau sekiranya kesan melecur itu akan semakin parah jika tidak dirawat dengan segera.
"Tak payah. Membazir duit je," kata Puan Kamilah, tetap berdegil dan teguh dengan pendiriannya. Dia tidak mahu menyusahkan Amira.
"Tapi... Teruk sangat ni..." Amira masih berusaha memujuk. Puan Kamilah terus menarik tangannya perlahan. Air paip ditutup.
"Nanti lama-lama pulih la ni. Sekejap je kesan dia. Kita banyak lagi duit nak kena pakai. Bil air dan elekrik tak bayar lagi," kata Puan Kamilah bersama senyuman.
Amira membalas dengan senyuman nipis. Dia tahu ibunya menipu demi menenangkan hatinya yang sedang risau dan resah. Tangan ibunya yang sebelah lagi ditarik lalu tangannya terus mencapai ubat antiseptik di dalam sebuah bekas kecil.
Ibunya didudukkan di atas hamparan tikar lalu dia terus menyapu ubat tersebut pada lengan Puan Kamilah dengan lembut dan berhati-hati. Puan Kamilah hanya menurut dan sekadar membiarkan anak gadisnya itu merawatnya. Diperhati wajah Amira dengan perasaan penuh kasih.
"Okey, dah! Siap!" ujar Amira setelah membalut tangan ibunya.
Puan Kamilah terus membelek-belek hasil balutan Amira. Dia tersenyum.
"Kemas Andrea balut. Boleh jadi doktor bila dah besar nanti."
"Insya Allah. Ibu doakan Mira tau! Kalau Mira dah jadi doktor, kita tak payah duduk di rumah kecil ni lagi. Ibu dan abah tak payah kerja lagi dah. Biar Mira yang biaya semua kos hidup abah dan ibu!"
Semakin lebar senyuman Puan Kamilah. Kepala Amira diusap perlahan lalu rambut hitam panjang anaknya itu diselitkan di belakang telinga. Dia sangat berbangga dengan Amira.
"Doa ibu sentiasa mengiringi langkah anak-anak ibu. Kalau kamu tak berjaya sekalipun, ibu dan abah langsung tak kisah. Asalkan anak-anak ibu ni tak lupakan agama. Tak mengapa tidak berjaya di dunia asalkan di akhirat sana... Kita berjaya memperoleh Syurga," tutur Puan Kamilah lembut.
"Baik, ibu. Mira akan sentiasa ingat pesan ibu." Amira membalas lembut lalu tubuh ibunya itu dipeluk erat.
"Assalamualaikum!" Suara seseorang terus menyapa mereka.
Pelukan terus dileraikan lalu Puan Kamilah dan Amira lantas berdiri. Mereka segera melangkah mendekati pintu. Raut wajah mereka berdua kelihatan begitu gembira tatkala tubuh Encik Umar menyapa pandangan. Sudah dua hari mereka tidak bertemu.
YOU ARE READING
RAHSIA SEBUAH HATI
Action𝐒𝐄𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐒𝐄𝐑𝐈𝐄𝐒 | 𝐈𝐯𝐲 𝐀𝐳𝐫𝐢𝐧'𝐬 𝐒𝐭𝐨𝐫𝐲 IVY AZRIN - Seorang gadis yang polos dan pemalu. Saat hatinya meluahkan perasaan cinta kepada jejaka beku bernama Danial Faiz, layanan kasar terus dilontarkan buatnya. Hati siapa sahaja yan...