Bab 26

211 19 10
                                    

'Sayang, siapa sebenarnya I ni pada you?'

Butang 'Send' ditekan dengan raut wajah yang mencuka.

Lara menghabiskan baki air kosong di dalam gelas. Sampul-sampul ubat yang berterabur di atas meja belajar itu dikutip lalu dimasukkan kembali ke dalam plastik. Teringat siang tadi Ashraf yang memberikan dia makan ubat. Kini lelaki itu sudah pulang ke Johor Bahru.

'Ashraf Zildan...' Lara membisikkan nama itu bersama helaan nafas yang panjang. Hangat tangan Ashraf ketika menggenggam dan membelai tangannya siang tadi masih terasa.

Lama juga Lara menunggu balasan si Huzaimi. Dia hanya duduk termenung sendirian menghadap tingkap yang terbuka daripada biliknya di tingkat lapan. Suasana malam bercahaya dengan lampu-lampu jalan di bawah sana. Wajah Huzaimi tenggelam timbul di fikiran. Kenapa lelaki itu tidak membalas SMS-nya? Meeting? Atau masih di pejabat? Sepanjang hari ini Huzaimi hanya senyap membisu sehinggakan Lara sendiri tidak tahu bagaimana jadual seharian lelaki tersebut. Lara tekad, kalau Huzaimi tidak balas sehingga pukul 10, Lara akan menelefon lelaki itu.

Tiba-tiba telinga Lara menangkap bunyi pintu bilik dibuka.

"Hai Lara!"

Lara menoleh ke belakang lantas tersenyum memandang rakan sebiliknya.

"Hai kak Nor!" Balas Lara ceria menyembunyikan segunung kegusaran di hati. Semakin lama dia dapat merasakan yang 'skil' itu telah diasah dengan semakin baik. Bukan senang tetapi kadang-kala itulah tuntutan hidup.

Kelihatan gadis yang dipanggil kak Nor itu terburu-buru mengambil pakaian dan beberapa buah buku teks.

Begitulah fiil rakan sebilik Lara. Gadis itu sering 'skoteng' di bilik rakan-rakannya di Kolej Seroja. Skoteng adalah satu terma bagi pelajar-pelajar UiTM Shah Alam pada waktu itu yang membawa maksud tinggal di bilik pelajar lain dalam jangkamasa yang panjang tanpa pengetahuan pihak kolej. Ataupun 'setinggan'.

"Sorry-lah akak selalu muncul kejap-kejap je dekat bilik ni." Gadis itu tersengih memandang Lara.

"Eh, takpe kak. Biasalah tu, dulu masa diploma pun saya selalu skoteng." Lara turut tersengih. Ketika itu satu SMS masuk ke telefonnya. Lara pasti SMS itu daripada Huzaimi.

"Okay, Lara... Akak pergi dulu tau. Kalau Lara nak ajak kawan-kawan tidur atau lepak sini, bawaklah. Tidur je dekat katil akak, takpe."

"Oh, okay... Baiklah." Lara tersenyum lebar. Yang sebenarnya dia masih lagi tiada kawan! Lara hanya memerhatikan sahaja kak Nor yang sudah memakai kasut.

"Akak pergi dulu ye! Bye! Assalamualaikum!"

"Waalaikumsalam kak... Bye!" Jawab Lara lantas pintu bilik itu ditutup kak Nor.

Lara cepat-cepat membuka SMS. Sebenarnya, sejak kebelakangan ini dia lebih suka tinggal sendirian. Senang dia hendak bergayut dengan Ashraf tanpa ada orang lain yang mendengar perbualannya. Ataupun pada waktu-waktu sakit hati begini, senang dia nak menangis dan melalak sakan tanpa diketahui kak Nor!

'Sorry dear, I solat Isyak tadi. Kenapa ni? Lain macam je... Ni kalau mood you tengah swing ni mesti you tengah period, kan? ;)' - Abg Huzaimi

Amarah Lara melonjak naik! Dia menekan-nekan kasar papan kekunci telefonnya.

'I bukan tengah period, I tengah demam teruk! Siang tadi nak bangun pun tak larat sampai pergi klinik pun kawan I yang bawak! Dah lah dia duduk jauh! I text you bagi tahu I demam, you boleh senyap je sepanjang hari?! Not even a TLC message for me, at least?? Sikitpun you tak pedulikan I! I ni siapa, yang langsung you tak pedulikan sampai ke malam?! I penatlah rasa terbuang macam ni! You tak tahu pasal I bergaduh dengan ayah I! I tak pernah share dengan you sebab I tak nak you pening kepala dengar masalah family I...! Dan akibat pergaduhan tu my dad sekarang dah buang I! But that's okay I'll handle that! Tapi hari ni you pulak buat I rasa macam terbuang! I fedup lah!!'

MWB - Mr Wing BadgeWhere stories live. Discover now