Pintu bilik hotel Shangri-La's Rasa Sentosa Resort & Spa yang terletak di Pulau Sentosa, Singapura itu terkuak luas.
Ashraf melangkah masuk lalu menutup pintu dan mencampakkan beg Quicksilver hitamnya ke katil. Dia bergegas ke bilik air.
"Ulppp!"
Ashraf menunduk di sinki.
"Ulpp..wekk! Ulpp! Uwekkk!"
Dia seperti hendak termuntah tetapi tiada apa yang keluar melainkan ada segumpal rasa sebesar penumbuknya di hulu hati bagaikan ingin terkeluar melalui tekaknya. Sepanjang perjalanan daripada Shah Alam tadi, dua kali dia berhenti kerana hendak termuntah!
"Urghh..." Dia membasuh mukanya lantas melihat relfeksi bayangnya di cermin. Nafasnya laju.
'Gastrik.' Bisik hatinya.
Akibat terlalu stres dengan apa yang berlaku hari ini Ashraf diserang gastrik. Ini kali pertama dia mendapat serangan gastrik tetapi Ashraf pernah lihat ibunya mengalami benda yang sama suatu ketika dahulu. Ketika itu dia masih di bangku sekolah. Seepisod kisah luka dalam hidup ibunya dan sejarah keluarga mereka...
Hulu hati Ashraf terasa pedih. Tetapi tidak sepedih kejadian hari ini. Fikiran Ashraf terus teringatkan Lara. Momen terakhir dia bersama Lara di foyer Kolej Melati lebih kurang tiga jam yang lalu bermain di ruang fikirannya... Mungkinkah itu kali terakhir dia berjumpa gadis itu? Ashraf tidak tahu. Kini harapannya telah musnah dan dia tidak tahu apa yang ada buatnya dan Lara di masa hadapan.
Sambil berjalan keluar daripada bilik air, imej Lara yang sedang berdiri di luar keretanya tadi masih jelas terbayang. Ketika itu, mata mereka bertembung sayu. Renungan mata gadis itu membuatkan hati lelaki Ashraf berasa hiba.
"Ash, text me when you reach home yea?"
"I don't know, Lara. I don't think we'll ever be the same again... Tapi takpelah, sampai nanti I'll text you, okay. Untuk you, kan? Boleh je." Dan Ashraf menyaksikan raut wajah pujaan hatinya itu berubah sebaik sahaja mendengar kata-katanya...
Ashraf terus melayangkan tubuhnya ke atas tilam yang empuk. Dia menarik nafas panjang sambil mata terpejam rapat. Gelapnya dunia ini dia rasakan sekarang seolah-olah tiada tona hitam yang dapat menandingi kegelapan ini. Hulu hatinya mencucuk-cucuk makin pedih.
Tangan Ashraf meraba poket seluar lantas mengeluarkan telefon bimbit.
'I dah sampai Singapore.'
'Message sent'.
Ringkas sahaja bunyi SMS Ashraf, tidak seperti selalu dan perasaannya yang menaip juga tidak seperti selalu. Sebelum ini dia menaip mesej-mesej buat Lara penuh dengan perasaan kasih-sayang tetapi hari ini dia menaip seolah-olah langit telah runtuh menghempapnya.
Tidak mahu terus melayan perasaan, Ashraf bingkas bangun dan membuka pintu gelangsar bilik untuk keluar ke bahagian balkoni. Angin laut Selat Singapura menderu-deru bertiup menerjah ke wajah Ashraf. Dia melontarkan pandangannya ke tengah laut. Ketika dia memecut laju keretanya meninggalkan bandaraya Shah Alam sebentar tadi, tiba-tiba sahaja Ashraf terfikir untuk 'lari' sebentar ke mana-mana tempat peranginan bagi menenangkan perasaannya. Lantas, dia teringatkan Pulau Sentosa ini dan Ashraf memutuskan untuk bermalam di sini buat beberapa hari sebelum penerbangannya nanti.
Mata Ashraf memandang ke arah deruan ombak kecil di pantai. Kalaulah ombak di sini bergulung ganas, bolehlah juga dia bermain papan luncur untuk melepaskan tension, fikir Ashraf.
'Hmm... Surfing. Dah lama jugak aku tak surf. Surfing board yang beli dekat Tawau hari tu pun belum rasmi lagi...' Bisik hatinya namun tiba-tiba...
YOU ARE READING
MWB - Mr Wing Badge
RomanceMWB - Mr Wing Badge *Wing badge: Pilot's badge. A pilot's pride. "Bukankah pilot perlu sentiasa tenang walaupun ketika keadaan pesawat seperti telur di hujung tanduk?" Sinopsis: Bukan cerita cinta pilot biasa ;) Sinopsis penuh di dalam. Kepada sem...