PROLOG

836 20 1
                                    

"LEPASKAN dia! Dia tak bersalah, jangan kau sentuh anak aku!" Suara teriakan seorang wanita bergema di dalam bilik kecil itu apabila seorang lelaki bertatu dan berbadan besar mula melangkah menghampiri si cilik yang baru berusia lima tahun. Tubuh itu sudah layu di atas lantai akibat menangis dan rasa takut yang tak berpenghujung.

Wanita berusia pertengahan 30-an yang terikat tangannya di sudut bilik itu mula memberontak. Ingin melepaskan diri agar anak bongsunya tidak disentuh oleh lelaki ganas itu. Anak lelakinya yang berusia 12 tahun juga sudah terlantar lesu akibat pukulan daripada gengster-gengster itu kerana cuba melawan.

"Lepaskan dia, bodoh! Dia tak bersa..." Buk!

Terasa berdesing telinga apabila sekali lagi, wajahnya menjadi mangsa sepakan lelaki itu. Tubuhnya kembali tersungkur. Kepalanya berpusing. Dia sudah tak berdaya. Tenaga wanitanya sudah habis digunakan untuk melawan. Tubuh suaminya yang sudah terkulai tak bernyawa menyapa pandangannya. Darah mengucur keluar dari perut yang baru ditikam dan ditembak oleh lelaki-lelaki tak berperikemanusiaan itu.

Apabila lelaki bertatu itu mula mencempung tubuh anak bongsunya, pantas dia cuba menggerakkan tubuh untuk menghalang. Namun, segala-galanya terasa mustahil. Setitis kudrat pun dia tak ada untuk bangkit, apatah lagi untuk melawan.

Perlahan-lahan, matanya berubah kuyu. Hanya air mata yang menuruni pipi apabila dia hanya mampu memandang kelibat anak bongsunya yang semakin jauh dari pandangan. Nama anaknya itu hanya dapat dijeritkan di dalam hati, namun langsung tak terkeluar dari anak tekak.

Ya Allah, kembalikan anakku. Lindungi anakku, wahai Tuhan yang Maha Berkuasa.

Mata terpejam rapat. Penat. Lelah.

Sehinggalah, satu deringan kuat memecah hening. Nyaring lagi membingitkan telinga. Bunyi deruman enjin bagaikan berlumba membelah malam yang sunyi sepi itu. Semerta, kelopak matanya terbuka semula!

Yasmin! Anak aku!

Namun, saat matanya dibuka, kelihatan beberapa orang lelaki beruniform sedang berpusu-pusu masuk ke ruangan sempit itu. Dari jauh, dia dapat menangkap kelibat susuk-susuk tubung yang sedang sibuk mengangkat tubuh suaminya lalu dibawa dengan cekap menggunakan stretcher.

Entah siapa manusia-manusia yang tiba-tiba muncul ini, tapi saat ini, kepalanya hanya memikirkan satu nama.

"An... Anak..." Hanya satu bisikan lemah yang mampu diberi kepada seorang lelaki berpakaian paramedik yang sedang cuba mengangkat tubuhnya.

"Ya, puan. Pihak polis akan selamatkan anak puan."

Hanya itu yang sempat ditangkap telinganya sebelum penglihatannya bagaikan ditarik ke arah kegelapan. Dalam sekelip mata, matanya terpejam rapat.

Gelap.  

  

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
CINTA BERGANTI NYAWAWhere stories live. Discover now