❧ Review by nroseaisyh
❧ Penulis xerlickmentos58
Kelebihan :
Jalan cerita yang lain daripada yang lain. Walaupun ianya tetap berkisarkan tentang cinta, namun cinta yang dimaksudkan ialah antara keluarga, sahabat dan akhir sekali barulah kekasih. Yang diutamakan dalam cerita ini ialah isu kekeluargaan, membawa mesej bahawa keluarga itulah pokok pangkal terbentuknya akhlak. Ianya merupakan idea yang tidak klise dan sekaligus menangkap perhatian saya untuk habiskannya sehingga ke bab terakhir.
Penceritaan yang ringkas. Isu yang diutarakan dalam cerita ini tidak terlalu berbelit dan mudah untuk difahami. Isi dalam cerita dan maksud tersiratnya juga dapat saya fahami dan tangkap dengan baik kerana penulis memaparkan tujuan cerita ini dengan begitu jelas.
Pengakhiran cerita yang menarik. Meletakkan satu tanda soal dalam fikiran pembaca tentang kemungkinan wujudnya siri seterusnya ini memang cara yang bijak untuk membuatkan pembaca tidak keruan. "Ada next season ke? Uish apa yang dia nak buat lepasni agaknya?", saya jadi begitu. Bagi saya, ini memang satu teknik yang baik untuk kekalkan pembaca sedia ada dengan nukilan kita.
Kelemahan :
Gaya pengolahan yang kurang memuaskan dan agak kurang matang. Bukan teruk, tapi boleh diperbaiki lagi. Ada bahagian yang boleh dikembangkan lagi penceritaannya bagi membuatkan pembaca lebih tenggelam dalam penghayatan cerita. Dalam erti kata lain, emosi cerita ini kurang dirasai oleh pembaca, disebabkan oleh pengolahannya yang ringkas dan tidak mendalam. Contohnya pada Bab 1, pada bahagian Ammar Zaqwan memerhatikan ayahnya yang mabuk ketika sedang menuruni tangga.
Remaja lelaki yang sedang menuruni tangga itu mengetap giginya perlahan. Perasaan geram dalam dadanya meruap panas apabila figura bapanya yang terbenam dalam khayalan dek air haram itu menerpa retina matanya. Dalam diam, tangannya dikepal perlahan sebelum urat belirat lengannya mulai timbul.
Sampai bila dia harus berhadapan dengan situasi begini?
Dia penat. Bila semua ini... akan berakhir?
Ini cuma cadangan saya saja untuk membuatkan para pembaca lebih tekun dan menghayati jalan cerita. Jika penulis boleh mengolahkan lagi cadangan ini, itu lebih baik. Cumanya jangan terlampau meleret, sebab jika terlalu meleret, pembaca akan berasa malas hendak habiskan cerita.
Ada sesetengah watak yang bagi saya nampak agak kurang asli pada perwatakannya. Contohnya pada Bab 4, semasa Iskandar dan Ammar Zaqwan berjumpa dengan Nadia dan Nurin Camelia. Kebencian Iskandar dapat saya lihat terhadap Ammar Zaqwan, tapi rasa macam... kurang. Perasaan benci tu ada cuma ianya kelihatan kurang sempurna.
Dan maaf sangat-sangat jika bahasa saya kasar, tapi pada mata pandangan saya, kebencian Iskandar pada Ammar Zaqwan kelihatan macam perempuan yang tak suka ada orang lain jatuh suka dengan crush dia. Perwatakan Iskandar agak mati dalam cerita ini dan sekali lagi, ianya sedikit mengganggu fokus pembaca untuk menghayati cerita. Penulis boleh lihat bagaimana cara lelaki bila betul-betul benci dengan seseorang, dia akan jauhkan diri dan malas nak ambil tahu tentang orang yang dia benci tu.
Bagi saya, pergaduhan antara mereka di bab tersebut nampak macam gaduh biasa antara adik-beradik lelaki tapi sebenarnya sayang. Mungkin penulis boleh tambahkan lagi aura kebencian Iskandar pada Ammar Zaqwan dengan mematangkan lagi pergaduhan antara mereka berdua dan membuatkannya lebih realistik, selari dengan pergaduhan dan kebencian sebenar antara adik-beradik.
Kesimpulan :
Cerita yang mempunyai jalan cerita yang ringkas dan terselit nilai kekeluargaan yang jelas, namun pengolahan dan perwatakan watak sedikit menjejaskan jalan cerita.