AKU duduk sambil merenung skrin komputer riba yang memaparkan tugasan yang separuh siap. Tiba-tiba ada seorang perempuan cantik datang mendekati aku dengan senyuman manis lalu mengucapkan 'I love you' kepada aku. Aku pun dengan segan silu hendak membalas cinta nya tapi..
Tapi boong hahaha..
Setelah lama jari jemari aku menari di atas papan kekunci konputer riba, aku dengan pantas mematikan komputer riba lalu melompat naik ke atas katil di sebelah sahabatku, Pa'an. Pa'an ketika itu sedang membaca buku sedikit tersentak.
"Woi! Kau ni apehal? Nanti roboh katil ni, habis dorang semua fikir bukan-bukan," Pa'an pandang tepat ke arah aku.
Aku hanya tersenyum sambil merampas bantal peluk dari riba Pa'an.
Sekitar jam 8.30 malam, aku, Pa'an, Aiman, Syukri, Wan dan Alif makan malam di ruang tamu. Kami berenam menjamu selera nasi ayam kukus yang dipesan melalui aplikasi 'FoodPanda'. Hujan turun dengan lebat membasahi bumi. Malam ini adalah malam ahad, dan esok aku serta sahabat aku yang lain akan masuk bekerja dan juga belajar.
Kami berenam bukan sahaja setakat 'housemates' namun kami juga bersahabat baik sejak bangku sekolah menengah lagi. 3 tahun kami berenam satu kelas, kemudiannya ada yang berpindah kelas kerana mengikuti aliran bidang masing-masing. Namun, hubungan kami tetap rapat, kami akan berkumpul ketika waktu rehat di kantin untuk makan bersama dan sejurus selepas habis waktu persekolahan.
Kami berlima, aku, Pa'an, Alif, Wan dan Aiman bekerja separuh masa sambil melanjutkan pelajaran di sebuah Universiti. Manakala Syukri telah menamatkan pelajarannya tahun lepas.
Setelah tamat sekolah di tingkatan lima, Syukri terlebih dahulu melanjutkan pelajaran di universiti tempat kami belajar manakala aku dan Alif berhenti 'rehat' dan mencari pengalaman bekerja selama setahun. Pa'an, Wan dan Aiman pula bersekolah lagi di tingkatan enam.
Aku bersyukur, kami dapat menyewa sebuah rumah yang berhampiran dengan universiti tempat kami belajar. Banyak pelajar berebut untuk mendapatkan tempat tinggal yang berdekatan. Kebanyakan rumah sewa jauh dari universiti. Kami berenam juga tidak memohon bilik di universiti kerana dahulunya kami pernah berangan untuk tinggal serumah.
Rumah sewa yang kami tempati ini adalah rumah teres 2 tingkat dilengkapi 3 bilik tidur dan 2 bilik air dan 1 ruang tamu dan 1 ruang dapur.
Masing-masing dua orang satu bilik. Syukri dan Wan mengambil bilik utama yang lengkap dengan bilik air di tingkat bawah manakala aku, Alif, Pa'an dan Aiman di tingkat atas.
Sedang menjamu selera, kedengaran bunyi ketukan pintu yang amat kuat dari luar rumah secara tiba-tiba. Kami terhenti makan seketika. Aku sempat menjeling ke arah Alif yang masih melahap dengan tenang. Kami semua senyap dan memandang satu sama lain. Ketika ini, jantung aku berdegup kencang. Yelah, siapa yang tak terkejut bila pintu rumah diketuk kuat-kuat secara tiba-tiba seolah yang mengetuk itu sedang dalam keadaan marah.
Wan lalu bangun dan melangkah berjalan ke arah pintu. Kami berlima pula berperanan sebagai penonton sahaja. Sedang Wan berjalan ke arah pintu, boleh pula Alif tersedak nasi membuatkan semua terkejut buat kali kedua. Haduii, si Alif ni. Geleng kepala kami dibuatnya.
Wan teruskan melangkah dan berhenti di depan pintu rumah sebelum membuka luas pintu rumah.
Kosong.
Tiada sesiapa atau apa pun yang terlihat di muka pintu sedangkan ketukan kuat itu tidak berhenti dan hanya terhenti selepas Wan membuka pintu. Semua orang terpinga-pinga.
Masa ni, aku dah rasa seram sejuk. Mulalah fikiran aku travel benda-benda yang bermuka seram semua tu. Inilah jadi kalau banyak sangat tengok tv.
Wan cepat-cepat tersedar lalu menutup semula pintu sebelum duduk semula bersama kami di lantai.
"Weh, korang. Tadi masa aku bukak pintu, ada angin lalu sekilas dekat muka aku," ujar Wan.
"Seriuslah? Kau jangan tipu. Bulu aku semua dah naik ni. Bulu ketiak je belum ni," balas Aiman spontan.
"Aku cakap betul lah," tegas Wan dengan serius.
"Weh, jangan-jangan tu Ummu Sabyan kot," sampuk Alif.
"Pandai lah kau! Ummu Sabyan kan masa maghrib je. Lagipun Ummu Sabyan kan suka kacau budak-budak. Rumah kita mana ada budak-budak," balas Wan.
"Eh dahlah, janganlah gaduh-gaduh. Depan rezeki ni," aku cuba menenangkan situasi walhal aku sendiri masih takut dengan kejadian tadi.
Masing-masing kami pun meneruskan semula aktiviti melahap makanan yang terhenti tadi.