❧ Review by nroseaisyh
❧ Penulis kalcakkanim
Kelebihan :
Permulaan cerita yang menarik. Penulis berjaya membuatkan saya tertanya-tanya dengan meletakkan plot yang beremosi pada permulaan cerita. Babak pergaduhan sebegitu boleh membuatkan pembaca kekal meneruskan pembacaan untuk mengetahui apa yang sudah berlaku sehingga berlaku pergaduhan begitu. Selain itu, gaya penceritaan yang baik dan tidak terlalu berbelit. Cara ini membuatkan para pembaca mudah untuk membayangkan keadaan sekeliling dengan cantik. Ianya tidak terlalu ringkas dan longgar. Sedang-sedang gitu.
Idea cerita juga ringkas dan tidak terlalu susah untuk pembaca melihat tujuan cerita ini ditulis. Isu kekeluargaan juga diselitkan di sebalik kisah cinta hero dan heroin, dan itu membuatkan pembaca dapat melihat pengajaran lain selain cerita cinta yang diselitkan. Cara ini juga boleh membantu untuk mengekalkan pembaca dengan cerita tersebut.
Kelemahan :
Walaupun mempunyai pengolahan yang baik, namun emosi cerita ini seakan-akan kurang penghayatannya. Bukannya tidak baik, namun cara penulis menerangkan perasaan dan emosi watak boleh diperbaiki lagi bagi membuatkan pembaca tenggelam dengan watak dan jalan cerita. Olah dengan lebih baik lagi, namun pastikan tidak terlalu meleret kerana ianya juga mungkin akan membuatkan pembaca berasa cepat bosan.
Perwatakan watak juga boleh diperbaiki lagi dari segi pengolahan emosinya dan ianya membuatkan watak juga sedikit kaku. Seakan-akan tidak hidup dan wataknya seperti dikawal. Ianya membuatkan saya berasa susah untuk tenggelam dalam cerita dan hanya baca untuk sekadar baca. Emosi cerita tidak sampai ke hati saya.
Juga ada sebahagian kecil dialog yang baku. Tidak seperti cara kita bercakap dengan manusia lain di alam realiti, dan ianya membuatkan cerita makin bertambah kaku. Bahagian dialog itu boleh diubah bagi membantu pembaca merasakan dunia dalam cerita itu memang benar-benar wujud.
Kesimpulan—
Cerita ini mempunyai jalan cerita yang ringkas dengan pengolahan yang baik, namun emosi cerita ini tidak dapat dirasai hingga ke hati dan juga wataknya yang sedikit kaku.