Bab 64

215 31 58
                                    

Bagaimana cara yang terbaik untuk putuskan hubungannya dengan Huzaimi?

Inilah yang bermain-main di fikiran Lara seminggu kebelakangan ini, iaitu semenjak dia pulang daripada Amsterdam.

Kalau beritahu ibu pasti banyak bunyi. Tak boleh! Dia tak boleh babitkan ibu dalam hal ini.

Tetapi bila mengenangkan ibunya, perasaan Lara menjadi hiba. Dia sebenarnya tidak sanggup menerbitkan keresahan di hati wanita itu. Ibu pasti terluka dengan keputusannya tetapi apa boleh buat, cintanya terhadap Ashraf semakin menunjang malah kini... Dua kali dia mengkhianati Huzaimi ketika di Amsterdam. Walaupun ia bukanlah seperti perbuatan terlanjur, tetapi Lara tidak mahu terus menipu Huzaimi. Hatinya tidak tenteram.

Namun begitu, ia tidaklah bermakna bahawa tidak ada langsung cintanya terhadap lelaki itu. Huzaimi tidak pernah 'buat taik' seperti Reza. Lara rasa sangat bersalah untuk mengakhiri perhubungan ini. Walaupun Huzaimi pernah hilang berhari-hari... Entahlah. Dia tidak pernah rasa syak wasangka terhadap lelaki itu kerana Lara tahu, Huzaimi memang sibuk dengan perniagaannya. Dan kini Lara berasa sedih dan kesal kerana Huzaimi menjadi korban keadaan...

Wajarkah dia meninggalkan lelaki itu? Kerana kalau diajukan persoalan 'patut' atau tidak, dia memang patut. Tetapi adakah tindakan ini wajar? Lara tidak mahu membuat keputusan membabi buta.

Namun perkara yang paling jelas sekali, Ashraf lebih banyak menunjukkan kesungguhan berbanding Huzaimi. Itu adalah hakikat yang tiada siapapun dapat menyangkal.

Apa usaha Huzaimi sepanjang dua tahun lebih mereka bersama?

Fikiran Lara samar-samar. Dia tidak dapat menjawab dengan jelas.

USAHA.

Adakah keluar makan bersama itu dianggap 'usaha'? Tak. Semua orang keluar makan bersama, tak kiralah sama ada dengan kawan atau kekasih. Malah, keluar makan dengan Huzaimi umpama lunch atau dinner appointment sahaja. Paling lama dua jam, selepas itu lelaki itu harus bergegas pergi.

Jadi apa lagi? Apa lagi usaha Huzaimi? Lara harus tahu sebelum dia memutuskan hubungan ini.

Adakah Huzaimi seorang pendengar yang baik? Tidak juga. Pendengar ya. Pendengar yang baik... Lara tidak pasti. Baginya, Ashraf mendengar lebih baik daripada Huzaimi selama ini. Dan Lara rasa ini bukan termasuk dalam salah satu cabang usaha. Sesiapa pun akan jadi pendengar kepada orang sekeliling tidak kiralah sama ada kita mendengar luahan daripada kawan, keluarga ataupun pasangan.

Jadi apa usaha Huzaimi?

Fikiran Lara berputar laju. Rokok disedut dan asap berkepul-kepul keluar naik ke udara di ruangan 'open air' kafe Gloria Jean's Coffee, Plaza Alam Shah.

Erm... Mungkin datang menemui ibu. Dan ambil hati ibu. Tapi itu yang melibatkan ibu. Yang hanya untuk dirinya sendiri, apa? Ashraf juga pasti akan datang menemui ibu suatu hari nanti dan yang pasti sebelum lelaki itu bertentang empat mata dengan ibu, bermacam-macam benda Ashraf telah lakukan dan korbankan untuknya.

Jadi, apa bahagian Huzaimi pula?

Lara mahu tahu; jika dia perlu bersama Huzaimi atas kehendak ibu nanti, apa usaha atau inisiatif lelaki ini untuknya?

Rantai emas yang dibeli di Jakarta?

Tidak, itu bukan usaha. Itu pemberian atau hadiah. Jikalau hendak dibandingkan dengan hadiah, Ashraf sudah habis berbelas ribu ringgit untuknya dengan dua trip ke Los Angeles dan Amsterdam.

Jadi apa usaha Huzaimi terhadap dirinya? Fikir Lara. Bibir diketap.

Fikir.

Fikir.

MWB - Mr Wing BadgeWhere stories live. Discover now