FALIA melangkah ke dalam hotel yang tersergam indah di hadapannya. Dia mahu melaksanakan misinya secepat yang mungkin. Dia terus mencari orang yang dinanti-nantikan olehnya. Namun, Falia hampa apabila insan yang dicari tidak muncul di hadapannya. Rasanya dia tidak salah alamat. Dia sudah mendapatkan semua info mengenai insan tersebut atas bantuan Google.
'Takkanlah Google salah bagi alamat? Tak, tak mungkin. Aku yakin ni memang tempat dia bekerja.' Falia yakin dengan gerak hatinya. Dia terus bergerak ke arah kaunter receptionist yang berada di hadapannya.
"Ya cik? Cik nak check in bilik ke? Ada buat tempahan tak?" Seorang pekerja menyoal Falia apabila melihat Falia seolah-olah mahu menempah bilik di hotel tersebut.
"Eh, tak tak. Saya cuma nak tumpang tanya. Nama pemilik hotel ni Ihsan Ilhami kan?" Falia menyoal dalam keadaan yang teragak-agak. Risau jika dia tersalah hotel. Malu dibuatnya nanti.
"Betul cik. Kenapa ya? Cik nak jumpa dengan Encik Ihsan ke?" Pekerja tersebut menyoal. Hairan pula dia. Tiba-tiba sahaja ada tetamu luar datang menanyakan tentang pemilik hotel tempat dia bekerja ini.
"Bos awak ada ke? Sebab saya memang nak jumpa dia pun," jawab Falia. Harap-haraplah Ihsan ada. Boleh dia mulakan rancangannya.
"Alamak, Encik Ihsan sekarang ada dekat homestay cawangan negeri Melaka. Rasanya hari ni dia melawat homestay dekat sana. Cik ada nak sampaikan apa-apa ke? Saya boleh tolong." Pekerja tersebut menerangkan hal yang sebenar kepada Falia. Falia mengeluh kecil. Aduh, masa nilah dia nak pergi Melaka.
"Bila agak-agaknya dia akan balik?" soal Falia.
"Kalau tak silap saya, mungkin petang ni dia akan sampai tapi saya tak pastilah dia akan datang hotel atau balik rumah terus." Falia berasa tidak puas hati apabila mendengar jawapan daripada pekerja tersebut. Tak boleh jadi ni. Dia kena juga jumpa dengan Ihsan.
"Tak apalah kalau macam tu. Terima kasih ya?" Falia terus meninggalkan kaunter tersebut dan bergerak ke arah ruang menunggu yang disediakan di hadapan pintu hotel tersebut. Dia yakin pasti Ihsan akan tiba tidak lama lagi. Justeru itu, dia nekad untuk menunggu lelaki itu.
Falia duduk di ruangan yang disediakan. Dia menggoyangkan kedua-dua belah kakinya apabila terasa bosan. Kemudian, matanya melilau melihat persekitaran di hotel tersebut. Ramai betul pengunjung yang datang ke hotel milik lelaki itu.
Falia tidak menyangka bahawa Ihsan juga tidak kurang hebatnya. Hasil stalking di laman sosial milik Ihsan, dia mendapati bahawa Ihsan benar-benar seorang usahawan yang berjaya. Lelaki itu mempunyai tiga cawangan penginapan di negeri lain. Kagum pula apabila dia melihat kejayaan lelaki itu.
'Ah, hebat macam mana pun dia aku tetap tak boleh lupakan apa yang dia dah buat dekat aku.' Falia geram. Sehingga ke hari ini dia tetap menyimpan perasaan marahnya terhadap Ihsan. Selagi lelaki itu tidak mahu meminta maaf kepadanya selagi itulah dia tidak akan berhenti mengacau Ihsan.
Tiba-tiba telefonnya berbunyi menandakan ada mesej yang masuk.
'Fal, tolong aku jap. Kau rasa makan dekat kedai mamak atau makan dekat restoran tepi Bank Islam area office aku tu mana lagi okey?'
Falia tersenyum melihat mesej yang dihantar oleh rakan baiknya. Nak makan pun sampai kena tanya?
'Ly, kau serius ah? Takkan ini pun kau nak tanya aku?'
'Aku seriuslah, mangkuk. Kau jawab jelah. Cepatlah, Fal. Aku kebulur dah ni.'
Falia menggelengkan kepalanya melihat kerenah Elyana. Ada-ada sahajalah si Elyana ni. Dia mula bangkit dari sofanya untuk membalas mesej Elyana. Tiba-tiba rasa kebas pula kakinya akibat lama menunggu.
YOU ARE READING
𝗟𝗢𝗔𝗧𝗛𝗘 𝗧𝗛𝗘 𝗟𝗢𝗩𝗘
RomantizmPrinsip wanita itu satu sahaja. Dia tidak mahu terlibat dengan mana-mana dunia percintaan, berkahwin apatah lagi. Hidup ini sebenarnya mudah, lebih-lebih lagi jika hidup tanpa pasangan. Kan lagi seronok hidup bebas tanpa perlu bergantung pada sesia...