Hari panas terik. Matahari tegak atas kepala.
Bunyi kenderaan lalu-lalang kedengaran bingit terutama jika lori atau bas yang melintas di situ, sungguh kuat menerpa ke gegendang telinga!
Isk... Isk...
Air mata diseka. Pipi dan kepala terasa sakit membengkak. Lara berjalan seorangan di bahu jalan Lebuhraya Persekutuan. Dia sedang mencari perhentian bas yang terdekat tetapi jalanraya itu seolah-olah tiada penghujung! Sesekali tangan menyeka lagi butir air yang luruh di pipi.
Kereta Bentley hitam telahpun pergi. Kejadian sebentar tadi masih segar terbayang...
Saat Lara terhenyak masuk ke dalam perut kereta mewah itu, pipinya terus dicengkam kuat oleh seorang wanita. Lara terkejut dan kaget. Degup jantungnya berdetak laju.
"Lara Rizman." Wanita yang memakai business suit bersama skarf Versace di kepala tersenyum sinis sambil mengetap gigi. Kuku dibenam lebih dalam di pipi Lara.
"Argh, sakit!" Lara cuba meronta namun cengkaman semakin kuat menyebabkan dia tidak jadi melawan.
"Tahu sakit?! Hati aku ni lebih sakit daripada ni tau tak?!!" Tengking wanita itu. "Wan, window shield please." Katanya kepada si pemandu pula. Lelaki jaket hitam yang duduk di sebelah pemandu hanya mendiamkan diri.
Selepas pemuda yang dipanggil 'Wan' itu menekan sesuatu pada panel dashboard kereta, kedengaran bunyi mekanikal diikuti dengan selapis penghadang titanium turun di belakang keempat-empat tingkap kaca. Pemandangan di luar sudah tidak kelihatan lagi, jantung Lara semakin berdebar. Dia tahu dia tidak boleh berbuat apa-apa, jika tidak mungkin buruk padahnya.
Kereta terasa bergerak laju setelah meninggalkan perkarangan bangunan KLCC, menuju entah ke mana.
"Hei, perempuan jalang! Kau mesti tahu siapa aku kan?!" Mata dijegil dengan tangan yang masih mencengkam wajah Lara.
"Mana aku tahu! Kau siapa?! Kau nak apa?!"
"Jangan buat-buat tak tahu, Lara Rizman! Kau ingat aku datang cari kau ni sebab nak kidnap engkau?! Perempuan murah macam kau ni tak ada nilai tahu?!! Jalang!!!" Perkataan 'jalang' itu ditempik bagai hendak terkeluar anak tekak.
Sebenarnya Lara dapat mengagak bahawa wanita ini adalah isteri Huzaimi. Cuma dia tidak sangka wanita seagresif ini adalah pendamping hidup lelaki itu...
Plak!
Lamunan terhenti apabila kaki Lara terpelecok akibat tumit kanan kasut tingginya terpatah. Dia mengaduh dan ketika membongkokkan badan untuk mengambil kasut, titis air mata jatuh lagi, meresap ke jalan tar yang memanas. Lara cuba mencabut kedua-dua belah tumit kasut lalu dibuangnya ke dalam semak di tepi bahu jalan.
'Aduh, panasnya...' Kepala terasa berbahang. Matanya mengecil untuk melihat kalau-kalau ada bayang perhentian bas di depan sana tetapi hanya besi pembahagi jalan, longkang dan semak samun saja yang kelihatan. Malah, tidak ada tempat pun yang boleh dia berteduh buat seketika. Lara meneruskan langkah...
"Dengar sini, perempuan jalang... Aku nak tanya engkau sekali lagi... Engkau tahu tak aku ni siapa? Hah?!! Engkau tahu tak?!!" Tangan yang mencengkam pipi Lara digoncang kasar menyebabkan kepala Lara terhoyong-hayang.
Lara cepat-cepat mengangguk dalam ketakutan. Perempuan di sebelahnya ini memang macam orang gila!
"Haa, tahu yea?! Siapa?! Hah?! Cakap, aku ni siapa?!!" Selepas menggoncang kepala Lara beberapa kali, wanita itu melepaskan tangannya menyebabkan kepala Lara terhantuk pada dinding kereta.
"Ouch!" Lara mengaduh, darahnya menggelegak namun ditahannya perasaan marah itu. Dia tidak mahu bertindak melulu. Keadaan di dalam kereta mewah itu dirasakan tidak selamat.
YOU ARE READING
MWB - Mr Wing Badge
RomanceMWB - Mr Wing Badge *Wing badge: Pilot's badge. A pilot's pride. "Bukankah pilot perlu sentiasa tenang walaupun ketika keadaan pesawat seperti telur di hujung tanduk?" Sinopsis: Bukan cerita cinta pilot biasa ;) Sinopsis penuh di dalam. Kepada sem...