"AKU ceraikan kau dengan talak tiga."
Masih terngiang-ngiang lagi lafaz talak yang telah dijatuhkan oleh Harraz. Ketika itu, masing-masing tidak mampu bersuara waima sepatah aksara sekalipun.
Marissa mengeluh. Sedikit kesal dengan tindakan terburu-buru Harraz. Kalau ya pun lelaki itu marah, tidak perlulah sampai menjatuhkan talak kepada Natalia.
'Eh kau ni, Marissa! Sepatutnya kau happy sebab perempuan jahat tu dah kena cerai. Itulah yang orang panggil kifarah.' Suara hatinya berdetik geram.
Entahlah, Marissa sendiri tak pasti kenapa dia harus berasa begitu. Nak kata dia marah, ya memang dia marah. Tapi melihat Natalia yang menangis beria-ria semalam, hatinya turut berdetik kasihan.
"Ce... cerai?"
"Kau bukan lagi isteri aku," ujar Harraz tanpa teragak-agak.
Makin lebat air mata Natalia. Dia terus bangun dan melutut di kaki Harraz. Teresak-esak dia di kaki suaminya.
"Jangan buat Talia macam ni, abang... Talia taknak berpisah dengan abang... Talia tahu Talia salah. Talia minta maaf... Talia dah menyesal..."
Harraz menggeleng. Kata-kata maaf Natalia tidak mampu untuk memujuk hatinya yang telah hancur lebur. Perbuatan Natalia tidak dapat dimaafkan! Gara-gara wanita itu, berlaku perselisihan faham antara dia dan Marissa. Kalau tak kerana fitnah tersebut, pasti dia dan Marissa sudah bahagia. Dan yang paling penting, Harraz tak akan menyakiti hati isterinya. Tapi... Semuanya sudah terlambat. Ibarat nasi sudah pun menjadi bubur.
"Perpisahan adalah jalan yang terbaik untuk kita berdua. Aku tak sanggup memperisterikan perempuan macam kau. Sekarang ni isteri aku cuma seorang. Marissa Jasmine. Bukan kau, Natalia." Mata Harraz meliar ke arah Marissa. Rasa bersalah terhadap isterinya semakin membukit.
Andai masa dapat diputarkan semula...
Andai Harraz tidak bertindak melulu...
Andai dia menyiasat terlebih dahulu...
Andai saja...
Pasti semua ini tidak akan terjadi. Hubungannya dengan Marissa tidak akan terjejas. Namun, untuk dikesali semua itu sudah tidak ada gunanya lagi. Perkara dah jadi. Nak atau tidak, dia kena terima. Pasti ada hikmahnya mengapa rumah tangganya diuji.
"Tolonglah, abang... Talia sayang abang... Jangan buat talia macam ni..." Esakannya semakin mendayu-dayu. Mukanya comot dengan air mata.
"Talia, dahlah tu. Tak eloklah kau menangis macam ni," pujuk Irfan lantas memegang bahu wanita itu. Tak sampai sesaat, tangannya ditepis.
"Kau diam! Kalau tak kerana kau, aku takkan bercerai la!" Mencerlung mata Natalia memandang Irfan. Dadanya berombak menahan lahar amarah.
"Enough, Natalia! Aku taknak dengar apa-apa lagi daripada kau! Sekarang ni, aku nak kau angkut semua baju kau dan keluar dari rumah ni. Aku taknak tengok lagi muka kau!"
Harraz menarik kakinya lantas diayun pergi dari situ. Menggelegak darahnya. Dia langsung tidak memandang Natalia. Sinar matanya penuh dengan kebencian.
Natalia tersedu-sedu. Sungguh, dia taknak kehilangan Harraz. Tak pernah terlintas di fikiran yang Harraz akan menceraikannya.
"Marissa... Tolong aku. Tolong pujuk Harraz supaya kembali semula pada aku. Aku taknak hilang dia, Marissa. Aku sayangkan Harraz." Tangan madunya dicapai. Dia menangis di hadapan Marissa pula.
YOU ARE READING
3.0 | DENDAM CINTA 2 [COMPLETED]
RomanceDua bulan hidup di bumi Ireland, cukup membuatkan Marissa merasai bahagia yang pernah hilang dahulu. Demi anak-anaknya, Marissa bangkit untuk melupakan derita dan lelaki yang pernah bertakhta di hatinya. Hidupnya semakin berseri dengan kehadiran seo...