"
ݢمرلاڤن جيوا بوات سي ڤڠوکير چينتا. سي دي يڠ ايڠينمنچاري هاتي اونتوق دتاٴوتکن برسام. ترلالو ايڠين منچاريارتي کهيدوڤن دڠن منچاري کاسيه يڠ بوکن ميليقڽ
"
Karangan tulisan jawi terhenti. Pen diletakkan di atas meja. Kelihatan bayang-bayang di sebalik pancaran matahari yang masuk ke bilik itu melalui tingkap yang terbuka luas. Seorang wanita berambut panjang sehingga ke bahu bangun dari meja berwarna cokelat itu. Dia mendekati tingkap yang terbuka luas. Memandang taman yang terbina di hadapan bangunan yang dia tinggal.
"Aku seperti kehilangan idea. Walhal tadi boleh sahaja aku menulis dengan baik," keluh wanita itu.
Bunyi ketukan di pintu biliknya. Tuk tuk tuk. Dikuak dan kelihatan dua orang wanita Tiong Hua masuk.
"Ai Ping! Jom kita pergi makan malam bersama," kata wanita berambut kerinting berbaju lengan pendek dan berseluar pendek.
"Jom." Ai Ping mencapai beg duit di atas mejanya.
Ketika mereka bertiga tiba di kafe, Ai Ping tidak perasan gerak gerinya diperhatikan oleh Aizam, kawan sejurusan dengannya. Mereka adalah pelajar jurusan Bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia.
Pelikkan? Seorang wanita bukan dalam kalangan bangsa Melayu sanggup meneruskan pengajian ke menara gading dalam bidang bahasa Melayu.
Ini bermula apabila Ai Ping terjumpa senaskah buku lama tulisan berlingkar seakan kitab agama orang Melayu yang dilihatnya di sekolah rendahnya. Dia ralit membeleknya sehingga tidak menyedari neneknya telah berada di belakangnya.
"Ai Ping, kamu buat apa itu? Berikan nenek buku itu." Terus tangan berkedut itu mengambil perlahan buku yang Ai Ping pegang.
"Ah Po, buku ini siapa punya? Ah Po masuk Melayukah?" tanya Ai Ping.
"Ish. Apa kamu mengarut ni cu. Ini adalah tulisan Jawi. Bukan Quran. Nenek yang tulis." Buku lama itu diletakkan ke dalam kabinet teratas agar Ai Ping tidak gatal tangan mengambilnya.
"Jawi?"
Ai Ping terkejut mendengarnya. Bukankah neneknya buta huruf? Tidak tahu membaca tulisan Cina mahpun rumi. Bagaimana pula dia boleh menulis tulisan arab itu?
"Jawi itu tulisan lama orang Melayu. Dahulu, nenek ada seorang kawan namanya Aminah. Kami selalu bermain bersama. Pada suatu hari nenek lihat dia menulis sesuatu di atas pasir pantai." Ah Po melabuhkan punggungnya di kerusi malas.
"Ketika itu dia sudah mula masuk pondok. Jadi kami hanya dapat bermain di waktu petang. Permainan kami ketika itu meneka apa yang Aminah tulis." Ah Po memejam mata seperti ingin mengingati kisah lama.
"Aminah baik orangnya. Dia tahu nenek tak tahu tulis Cina. Lalu dia ajarkan nenek jawi. Dia tahu nenek suka baca." Senyum Ah Po sambil matanya masih tertutup rapat. Seperti itu adalah kenangan terindah Ah Po.
Ai Ping pelik. Jarang dia lihat neneknya senyum begitu.
"Apa jadi dengan Aminah sekarang?"
Tiba-tiba mata nenek terbuka seperti orang yang baru bangun daripada mimpi buruk. Nenek bangun dan berlalu pergi ke dapur.
"Sudah. Mari tolong nenek masak untuk makan malam."
Semacam ada satu perasaan tidak puas oleh Ai Ping mendengarnya itu.
"Lalu, apa yang nenek tuliskan?"
Ah Po hanya mendiamkan diri. Tidak menjawab soalan itu. Dia hanya meneruskan kerjanya memanaskan kualiti dan memotong sayur-sayur.
Ai Ping tidak bertanya lagi selepas itu. Dia tidak mahu melukakan hati Ah Po.
Beberapa tahun kemudian Ah Po meninggal dunia kerana sakit tua.
Ai Ping sedih kerana Ah Po adalah satu-satunya nenek yang paling dia sayang. Selalu menjaga dia dengan penuh kasih sayang. Dia masih ingat lagi ketika dia dibuli oleh Ah Meng jiran selang beberapa buah rumah Ah Po.
Habis Ah Meng dikejar Ah Po kerana membuatkan Ai Ping menangis. Sejak itu tiada siapa berani buli Ai Ping lagi. Takut nanti mereka pula dikejar Ah Po.
Ai Ping melirik barangan Ah Po di rumah. Semua telah dibalut dengan kain putih. Sedang dia melihat perabot yang ada dia teringat akan diari jawi tulisan nenek.
Dahulu ketika dia darjah 3 mungkin dia tidak sampai untuk mengambilnya, kini dia sudah tingkatan 1.
Dicapainya diari itu. Satu perasaan sayu melandanya. Seperti Ah Po sedang melihatnya.
"Ah Po, Ai Ping sudah boleh baca jawi. Ai Ping ada curi-curi belajar jawi dengan kawan Ai Ping. Tapi Ai Ping tak masuk Melayu," kata Ai Ping perlahan.