Bam! Bam!
Bunyi ketukan pintu bilik bergema kuat. Langsung Thea Rayzel berjana dari lenanya. Matanya terpisat-pisat memandang ke arah pintu biliknya. Thea menarik nafas dalam-dalam. Tangan menyapu wajah. Macam nak gugur jantung dibuatnya.
"Thea! Bangun! Kamu tu kata nak jogging. Jangan nak malas-malas!" Suara Puan Khairan memetir. Spontan, Thea mengusap dadanya. Dalam hati, Thea sudah berkoyan-koyan membebel.
Bam! Bam! "Thea Rayzel!"
"Thea dah bangun. Sekejap!" laung Thea Rayzel separa mengantuk. Lekas-lekas dia bangun dari katil dan bergerak menuju ke pintu bilik.
Sesekali mulutnya akan mendesah sakit kerana kesan sengugut yang merandai. Bagai tindakan refleks, tangannya naik mengurut pada belakang pinggang.
Bam! Bam! "Lekas, Thea!" Puan Khairan masih marah-marah di luar. Thea mengeluh.
"Ya.. Ya... Thea nak buka pintu ni," sahut Thea perlahan. Ketuk pintu bilik dia macam nak roboh gayanya. Mujur engsel tak tertanggal. Allahu...
Tidak lama itu, Thea memulas dedaun pintu sembari menarik ke dalam. Selanjur wajah tegang Puan Khairan muncul di muka pintu. Thea berdehem perlahan. Canggung.
"Thea dah bangun." Senyum segaris.
"Hish! Tengok rupa kamu sekarang, Thea. Dah tak ada rupa manusia. Dah macam beruang, mak tengok! Tuh! Dah pukul 5. Pergi siap-siap! Jogging!" bidas Puan Khairan ala-ala komando. Atas bawah dia menilik pendirian si anak sebelum kepala menggeleng perlahan. Hodoh sungguh.
Thea diam. Berfikir seketika. Sedaya upaya dia karang ayat dalam kepalanya untuk Puan Khairan. Sejujurnya, dia tidak larat mahu bersenam hari ini. Pinggang sendiri sudah terasa mahu patah.
"Erm... Mak; Mak... Boleh ke kalau hari ini, Thea tak keluar bersenam? Thea senggugut. Tak larat," pinta Thea penuh berharap. Bibirnya merekah dengan senyuman nipis.
Air muka Puan Khairan berubah serta merta. Dua tangan naik mencekak pinggangnya. Matanya pula sudah merenung geram ke muka Thea.
Cuti? Amboi! "Jangan nak mengada! Adik kamu elok saja berlari! Nak tahu sebab apa rasa sakit-sakit? Sebab ni.. Ni... Dan ini! Berlemak! Badan pun tahu nak menangis. Huh!" suara Puan Khairan naik seoktaf. Garang kepalang!
Anak bongsu dia boleh saja berlari ke sana dan ke sini. Walaupun diri sedang datang haid sekalipun. Apa Thea fikir, orang lain tidak tahu rasa sakit 'period pain'? Dia ini perempuan juga. Anak dia ini saja yang malas. Alasan!
Sudahlah lemak di pinggang itu bergoyang-goyang. Geli sungguh. Bagaimana anak perempuannya selesa jalankan hidup dengan badan yang sedemikian?
Puan Khairan benar-benar tidak mengerti.
"Tapi, Mak... Thea betul-betul tak la..."
"Diam!" rutuk Puan Khairan tegas. Thea terdiam. Mulutnya bagai sudah terkunci kemas.
Puan Khairan menarik nafas dalam-dalam. Sedaya upaya dia memupuk rasa sabar di dalam diri. Tangan sudah naik mengusap dada sendiri.
"Pergi bersiap. Jangan nak beri alasan lagi. Mak tahu, jam tangan kamu ada tulis 5 kilometer. Faham?" setelah itu, Puan Khairan menghembus nafasnya dengan berat. Matanya tajam menikan ke anak mata milik Thea Rayzel.
YOU ARE READING
Novel I HER ZUTTER GABRIEL
RomanceThea Rayzel seorang gadis bertubuh badan yang sedikit besar dan bercermin mata. peha yang sudah bergesel antara satu sama lain itu, cukup membuatkan Thea Rayzel tidak gemar memakai seluar sebagai pengayaan harian. Belum pakej lagi perut yang sedikit...