"Ash, can you help me please?" Tanya Zelda sebaik sahaja menghidupkan enjin kereta di tempat letak kereta kondominium Aquarius by the Park. Dia hendak menghantar Ashraf ke Changi Airport untuk penerbangan Ashraf ke Copenhagen pada tengahari itu.
"Mama tertinggal apa dekat atas, ma?"
Pertanyaan Ashraf itu membuatkan Zelda ketawa geli hati. Nampak sangat yang Ashraf sudah faham benar dengan karenahnya.
"Purse mama! Tertinggal dekat atas kabinet dapur." Jawab Zelda dalam tawa yang masih tersisa manakala Ashraf pula hanya tersengih.
Tanpa banyak soal, Ashraf tergesa-gesa keluar daripada kereta Range Rover itu untuk naik ke rumah. Telefon bimbitnya dia letakkan pada tempat duduk kereta, tidak dibawa bersama.
Bap!
Pintu kereta ditutup dan saat itu juga mata Zelda terpandangkan skrin telefon yang masih lagi terang benderang. Kelihatan gambar seorang gadis yang menjadi 'wallpaper' skrin tertera dengan jelas sekali. Zelda mengambil telefon Ashraf lalu mengamati gambar tersebut. Kelihatan dahi dan matanya berkerut...
"Siapa pulak ni?" Dia bertanya sendirian.
Kelihatan gambar seorang gadis sedang tertawa riang menampakkan barisan gigi yang putih dan teratur.
Bibir dicebik.
Oleh kerana gambar itu tampak seperti ada nilai komersial dan diambil oleh jurugambar profesional, Zelda tidak mengesyaki apa-apa. Fikirnya mungkin gambar artis kegemaran Ashraf tetapi ciri-ciri gadis idaman anaknya langsung tiada persamaan dengan si Noree!
Noree putih melepak tetapi artis ini berkulit sawo matang.
Mata Noree kecil macam mata gadis Korea atau Jepun tetapi mata sang gadis ini bulat seperti anak patung!
Noree berambut lurus, nipis dan pendek tetapi gadis ini rambutnya panjang dan lebat beralun.
Zelda mengetap bibir seolah berfikir, adakah itu salah satu sebab mengapa Ashraf menolak untuk dijodohkan dengan gadis itu...?
Ah, bekas teman wanita Ashraf sebelum ini pun bukannya macam model, fikir Zelda lagi. Malah dia rasa Noree lebih cantik daripada si Irene dan yang seorang lagi.
Lantas telefon itu diletakkan kembali ke tempat asal.
Gambar 'comp card' peragaan Lara yang Ashraf ambil daripada laman sesawang Friendster Lara dahulu akhirnya lenyap apabila lampu skrin telefon terpadam beberapa minit selepas itu...
* * * * *
Pencuci mulut di dalam piring Lara hanya dicuit suku. Bukan kerana dia sudah kenyang, malah pasta yang dia pesan tadi pun tidak habis dimakan. Hatinya gedebak gedebuk, berdebar dan rasa seperti tidak di tempatnya. Lara memandang Fahd yang sedang menghabiskan suapan terakhir pencuci mulut itu.
"Ha, apa dia yang you kata nak bincang minggu lepas?" Tanya Fahd secara tiba-tiba.
Darah Lara berderau tetapi segala rasa gugup disembunyikan di sebalik senyuman nipis.
"Erm..." Bibir diketap dan dia terdiam sebentar. Bak kata pepatah Inggeris 'the calm before the storm'. Dia tahu ribut taufan akan melanda sebentar lagi kerana sudah masak dengan kepala angin si encik tunang. Oh, encik tunang yang bakal menjadi encik bekas tunang!
"Sebenarnya Fahd... Sejak kebelakangan ni, I selalu fikir pasal kita. Yelah, kita ni sekejap gaduh, sekejap elok. Kadang-kadang kita tak bercakap berhari-hari... Jadi, I dah fikir masak-masak... I rasa... Daripada kita terus macam ni, lagi elok kalau kita berpisah." Lara menuturkan kata dengan tenang dan saat ini wajah Fahd dilihat seakan menyinga.
YOU ARE READING
MWB - Mr Wing Badge
RomanceMWB - Mr Wing Badge *Wing badge: Pilot's badge. A pilot's pride. "Bukankah pilot perlu sentiasa tenang walaupun ketika keadaan pesawat seperti telur di hujung tanduk?" Sinopsis: Bukan cerita cinta pilot biasa ;) Sinopsis penuh di dalam. Kepada sem...