Qaa'id Qaidar mengatur langkah menuju ke ruang dapur. Rambut langkingnya yang pekat langsung disebak ke belakang. Hari ini dia tidak berkerja. Ambil cuti semata-mata mahu meluah melik yang ada di dadanya. Sampai sahaja di ruangan dapur, suara Puan Halen sedang menyanyi sudah menjamah halwa pendengarannya. Qaa'id tersenyum senang.
"Mummy... Morning," sapa Qaa'id seraya berjalan mendekati Puan Halen di depan. Usai itu, sebuah kucupan ringkas diberi pada pipi si emak.
Puan Halen berhenti buat kerja serta merta. Dia menoleh dan tersenyum lebar. Pisau dan buah mangga di tangannya, terus dia letak di atas papan pemotong.
"Pagi, tak kerja ke, Qai? Bengkel ada masalah?" soal Puan Halen sedikit curiga. Kemudiannya, dia sambung membuat kerjanya yang tergendala tadi. Sipi-sipi dia memandang muka si anak.
Kedengaran Qaa'id menggumam. Lantas itu, dia ambil tempat untuk duduk. Elok berhadapan dengan Puan Halen.
"Tak ada pun. Qai cuti. Lagipun nak uruskan hal-hal lain," balas Qaa'id dengan tenang. Satu potongan mangga di dalam sebuah bekas mula diambil.
Saat itu, Puan Halen mengerutkan wajahnya. Alisnya terbentuk. "Hal apa? Projek baru kamu dengan si Kael ke?" duganya mahu tahu.
Selanjur Qaa'id mengangguk.
"Betul tuh tapi ada hal yang lain juga," jawab Qaa'id sambil makan. Wajahnya tampak tenang dan tidak menunjukkan apa-apa reaksi.
Puan Halen memandang Qaa'id. Anak mata Qaa'id ditentang tak lepas. Cuba untuk membaca riak si anak. Namun, gagal.
"Iya? Macam penting je bunyinya." Puan Halen bersuara. Dia mula berpaling dan bergerak ke singki. Pisau dan papan pemotong mula dicuci dengan teliti.
Diam. Qaa'id tidak segera menyahut. Ralit menjamah potongan mangga itu sambil mengarang ayat di dalam kepala. Mahu atau tidak, dia perlu beritahu. Tambahan pula, waktunya elok sangat.
Qaa'id Qaidar berdehem-dehem. Spontan, dia menghela nafas lemah. "Penting sangat. Sebenarnya, Qai fikir nak kahwin. Bulan... Ni?" kata Qaa'id dengan perlahan. Namun jelas berdengung dalam ruangan itu.
Senyap. Tingkah Puan Halen menjadi mati. Pantas dia berpaling bersama riak yang terpinga-pinga. Anak mata si anak ditikam dalam. Apa?
"Siapa nak kahwin?" gesa Puan Halen bersama riak terbega tidak percaya. Kain lap di penyangkut terus diambil laju.
Qaa'id berdehem lagi. Kepala yang tidak gatal sudah digaru-garu.
"Qai? Mummy ada anak lain nama Qai ke?" tebaknya sambil menyahut renungan si emak di depan. Garang sungguh.
Puan Halen terpelangah. Mulutnya terbuka sedikit kerana terkejut. Mata tak usah kata; Sudah terbuntang luas! Terkesima.
"Qai... Nak kahwin? Tiba-tiba? Sekejap. Kenapa? Qai ada buat perangai ke?" Rasa sangsi terhadap anaknya sudah bertingkat-tingkat dalam diri.
Bukan tidak mahu bersangka baik, tapi Qaa'id Qaidar ada sikap tukar-tukar perempuan. Perangai anak-anak dia, Puan Halen cukup peka!
Sementelah itu, Qaa'id masih dibelengu rasa bingung. Dia tidak mengerti dengan pertanyaan emaknya tadi. Heh?
"Sebab jodoh dah sampai?"
"Banyaklah jodoh kamu! Qai ada buat anak dara orang mengandung ke?" soal Puan Halen dengan tegas. Lengan baju sudah dilipat ke siku. Siap siaga mahu meninju dengan Qaa'id.
YOU ARE READING
Novel I HER ZUTTER GABRIEL
RomanceThea Rayzel seorang gadis bertubuh badan yang sedikit besar dan bercermin mata. peha yang sudah bergesel antara satu sama lain itu, cukup membuatkan Thea Rayzel tidak gemar memakai seluar sebagai pengayaan harian. Belum pakej lagi perut yang sedikit...