Mereka berdua tiba di suatu pondok besar yang kemas dan nampak seperti baru dibina menggunakan kayu buluh. Semua wanita dan gadis serta kanak-kanan memandang Mustika apabila Mustika naik ke pondok itu. Mustika terus menunuduk.
“Eish tak usah la kalian memandang dia begitu, Cik kenalkan ini ibu kita.” kata Puspa gembira memperkenalkan ibunya. Mustika pelik seketika mana satu ibu yang Puspa kenalkan.
Tiba-tiba ada seorang wanita yang sangat cantik dan terlihat seperti anak dara datang kearahnya. “Inilah ibu kita,” Puspa memperkenalkan lagi.
Mustika terkejut seketika, terus dia menunduk hormat kepada ibu Puspa.
“Gembira bertemu denganmu wahai si gadis.” kata Ibu Malar kepadanya. Mustika tersenyum janggal.
“Duduklah, tak usah berdiri terlalu lama. Lekas duduk di sini.” Pelawa seorang lagi wanita yang agak berusia tetapi masih kelihatan awet muda.
“Terima kasih cik.” kata Mustika dengan perlahan sambil duduk berhati-hati sebelah wanita yang sedang menganyam tikar mengkuang.
“Tidak perlu bercik-cik sudah tua aku ni. Panggil saja nenek” Terkejut benar Mustika ketika ini. Masakan muda begini dipanggil nenek. Mereka ketawa melihat wajah terkejut Mustika. Sungguh Mustika keliru ketika ini, mereka semua dihadapannya sungguh cantik dan awet muda.
Ada yang memperkenalkan nenek mereka, ibu mereka, anak mereka. Sungguh dia tak percaya tentang usia mereka yang sudah ada yang beratus tahun berpuluh tahun.
‘Mustika kau terlupa kau di dunia mana. Kembali Mustika’
“Cik pasti tahu menganyam tikar bukan?” Tanya Maya yang berada disebelahnya. Mustika mengangguk perlahan. Dia pernah diajar oleh bapaknya menganyam tikar.
“Tikar ini kami guna untuk solat. Sebagai alas menggantikan sejadah yang selalu manusia gunakan.” Kata Nenek Anom yang Mustika tak percaya dia sudah beratus tahun.
Mustika hanya mengangguk sambil mata melihat mereka yang sedang kusyuk menganyam tikar mengkuang.
“Anak mahu melakukannya?” tanya Ibu Malar. Mustika takut-takut.
“Tak usah takut, kami di sini tak makan manusia.” kata Nenek Anom bergurau. Mustika mengangguk perlahan sambil mencuba membuat tikar mengkuang di ‘alam’ lain buat pertama kali.
Setelah beberapa minit dia menganyam tikar, tiba-tiba tekak Mustika terasa haus meminta air. Dia tidak berani meminta air pada Puspa. Tiba-tiba dia teringat tentang Telaga Daik. Terus sahaja dia meminta diri kepada mereka dan pergi.Mustika melihat telaga besar di tepi tembok seperti tembok penghalang. Sekarang dia mengerti kenapa di panggil Telaga Daik. Pantas sahaja dia pergi ke telaga itu dan mengambil air untuk minum. Belum sempat dia menadah tangan tiba-tiba dia dihulurkan tempurung kelapa.
Mustika terhenti dan melihat si pemberi. “Tuan hamba?” Adi memandang Mustika.
“Gunakan tempurung ini untuk minum” arah Adi. Mustika menggeleng.
“Tidak mengapa.” Adi memandang tajam.
Takut-takut Mustika mengambilnya dan diguna untuk minum. Adi mencangkung di sebelah Mustika yang sedang meneguk rakus air di tempurung itu.
“Dahaga?” Mustika mengangguk mengiyakan soalan itu.
“Sudah tahu keberadaanmu dimana?” tanya Adi sambil memandang Mustika. Mustika mengangguk takut-takut.
“Takut?” Mustika diam.
“Mahu pulang?” tanya Adi lagi.
Kali ini Mustika mengangguk laju. Ya dia mahu pulang. “Bila tiba waktunya, kamu akan kami hantar pulang.” kata Adi dengan lembut.
“Mengapa tidak dihantar sahaja sekarang? Puspa kata kalian baik, kenapa tak dihantar sahaja kita pulang.” kata Mustika mendesak. Adi hanya beriak tenang.
“Kerana belum tiba masanya lagi, jika kamu mahu selamat kekal sahaja di kampung ini dan jangan kemana-mana. Dengar sahaja kata kita.” kata Adi sebelum pergi.
“Tapi kita mahu mencari adik kita.” kata Mustika sayu. Adi menggenggam penumbuk menahan marah bila didesak dengan pelbagai soalan dari Mustika. Mustika melihat terasa cuak. Dia marahkah.
“Adinda kamu baik-baik sahaja. Tak usah risau, risau saja pada dirimu.” Adi pergi meninggalkan Mustika yang masih tidak percaya pada jawapan itu.
‘Kenapa?’
YOU ARE READING
Eka Asmara ✔️
RomanceBermula kisahnya dimana seorang gadis, Mustika Delima tersesat masuk ke kawasan terlarang sewaktu mencari adiknya. Disangkakan sudah berhati-hati tapi sayangnya nasib tak menyebelahinya apabila dirinya benar-benar berada di alam lain. Adi Rajuna s...