Bab 99

194 27 19
                                    

'Langkah ini, terasa terhenti-henti,
Depan kelabu, pedih memilu,
Masa bukan lagi temanku...'

Kedengaran lagu 'Istana Menanti' nyanyian Rahim Maarof berkumandang kuat di dalam bas ekspres pada malam itu.

Lara akhirnya pulang ke Kuala Lumpur menaiki bas ekspres. Sepanjang hari, dia hanya terlantar saja di dalam bilik hotel sehingga terlepas penerbangannya pada tengahari tadi. Lara membiarkan waktu berlalu, masih sukar untuk memproses peristiwa hitam semalam.

'Masih jua, aku mengharap cahaya...
Biar pun terus meredah belukar,
Pecahan kaca, menusuk tubuh berdarah...
Sakitnya tiada terkira...'

Sebaik saja terdengar bait lirik tersebut, Lara menggumpal pashmina yang menyelubungi bahunya lalu ditekap ke mulut dan hidung kuat-kuat.

"Hmmphh...!! Tsstt! Tsst! Hmmmphh...!!"

Esak tangis Lara umpama meraung dalam diam. Dia tidak mahu penumpang-penumpang lain yang sedang nyenyak tidur terdengar akan tangisannya. Mujurlah bunyi enjin bas juga turut sama menenggelamkan raungan sepinya. Mata dipejam sekuat yang boleh namun tidak menghalang airmata berjuraian dengan deras.

'Pecahan kaca menusuk tubuh berdarah... Sakitnya tiada terkira.'

Lirik ini sungguh mencengkam hati kerana begitulah yang Lara rasa sebaik sahaja talian perbualannya bersama Syed Al-Fahd diputuskan sekitar pukul 3.30 pagi tadi. Hatinya selama ini sudah biasa ditoreh tetapi torehan kali ini adalah yang paling sakit sehinggakan ia seolah-olah terasa pada legap tubuh badannya. Dunia ini seakan sudah tiba di penghujung dan hidup Lara kini umpama mimpi ngeri, tidak ada daya dan asanya untuk diteruskan lagi...

"Sayang... Apa yang you nak risaukan sangat ni...? I kan bakal husband you..."

Suara lembut Fahd terngiang-ngiang.

"You jangan risau... I akan jaga you sebaik mungkin, okay? I akan jadi suami yang baik untuk you, sayang."

Hatinya sakit tidak tertanggung!

"Stop it!! I benci you, Fahd!! I benci you!! Kenapa you buat I macam ni, hah?!! Kenapa?!! Huuu huuu...!" Raungan Lara pada waktu itu menggila namun Fahd memujuknya dengan tenang. Manakan tidak, pucuk yang dicita telah dapat diratah maka tersenyumlah lelaki itu hingga ke telinga.

"Lara... You cantik sangat, sayang..."

Nada suara Fahd kedengaran seperti orang yang sedang tersenyum, Lara rasa sungguh jijik sekali! Dia tidak sanggup membayangkan perbuatan Fahd ke atas dirinya sewaktu dia tidak sedarkan diri. Dadanya sungguh berat menggalas emosi, nafas terasa sesak dan bergelora. Lara menangis sehingga tubuhnya terasa lembik dan lemah tidak bermaya...


* * * * *

Ashraf mengunci pintu rumah di Taman Serene lalu menyeret bagasi untuk naik ke bilik tidurnya di tingkat atas.

Trrrrr...

Kedengaran bunyi roda bergeser dengan lantai marmar pada tengah malam itu namun tiba-tiba sahaja terhenti.

Pandangan mata Ashraf tertancap pada wajah Kapten Zamani yang sedang tegak berdiri tidak jauh di hadapannya. Renungan ayahnya tajam menikam tetapi di sebaliknya pula, wajah Ashraf tiada ekspresi. Mereka berpandangan buat seketika.

Sesaat.

Dua saat.

Tiga saat.

Empat saat.

Masuk saat yang kelima, Ashraf mula mengorak langkah.

"Do you have anything to say, Zildan?"

Suara Kapten Zamani menyebabkan langkah Ashraf terhenti lalu dia memandang ayahnya semula.

MWB - Mr Wing BadgeWhere stories live. Discover now