LAA | #01

367 25 18
                                    

#teaser 1

BUNYI loceng rumah kedengaran menyebabkan gelagat pasangan suami isteri yang sedang menyiapkan juadah berbuka puasa terhenti. Mereka saling melirik pandang antara satu sama lain sebelum sang suami membuat keputusan untuk membuka pintu.

Akur dengan bahasa isyarat suami, Humaira kembali melakukan tugasnya. Rayyan menuju ke ruangan hadapan. Sempat dia memerhati tingkah laku anak-anaknya sebelum keluar menuju ke pintu pagar utama.

Kini, mereka telah menginap di rumah baharu yang selama ini dibiar sepi setelah pembeliannya. Setelah si isteri melahirkan kembar mereka, masing-masing berpakat untuk memulakan hidup baru di rumah ini. Biarpun sedikit jauh dari tempat kerja suami, sekurang-kurangnya rumah ini selesa untuk keluarga mereka yang semakin bertambah.

"Baba Nia, mama kirim ni... Mama suruh bagi dekat mama dengan baba Nia untuk berbuka puasa."

Seorang kanak-kanak lelaki menghulurkan sebuah mangkuk tingkat kepada Rayyan selepas dia membuka pintu pagar. Sempat pandangannya melilau ke sekeliling. Siapa tahu kanak-kanak itu datang bersama seseorang. Tetapi, tiada bayang lain yang kelihatan di sekitar rumahnya.

"Ohh... okay, ahhh... apa nama awak? Sorry, uncle tak tahu." Rayyan bertanya sambil tangan menyambut juga huluran si kecil dalam lingkungan usia tujuh tahun.

"Aakeef... Nama penuh Aakeef, Wadi Aakeef. Aakeef kawan dengan Nia. Aakeef selalu datang sini, main dengan Nia masa Baba Nia kerja. Tak percaya, cuba Baba Nia tanya dekat Mama Nia." Wadi Aakeef bercerita tanpa dipinta. Tersengih-sengih bibir comelnya dengan anak mata yang teruja menatap baba Nia.

Rayyan mengangguk.

"Okeylah macam tu... cakap dengan mama awak, mama dan baba Nia ucap terima kasih. Nanti uncle pulangkan bekas ya. Hati-hati jalan," pesannya sebelum berura-ura hendak menutup pintu pagar.

"O... okey, Baba Nia. Err... Baba Nia... kejap!"

Tangan kecil itu menahan semasa Rayyan hendak menutup pintu pagar.

"Kenapa?"

"Err... Baba Nia... Aakeef kawan dengan anak Baba Nia, Baba Nia tak marah... kan?"

Pelipis Rayyan berkerut sekejap. "Taklah. Uncle suka aje awak berkawan dengan anak uncle. Boleh je datang main sini selalu."

"Err..." Kedua jari telunjuk Wadi Aakeef bertemu di tengah-tengah. Wajah takut-takut ditayang untuk menyatakan hasrat hatinya.

"Kenapa lagi ni, Aakeef?" Rayyan menegur lembut. Jatuh kasihan dia melihat wajah polos itu tidak tentu arah dengannya.

"Err... kalau Aakeef suka Nia, Baba Nia marah tak? Nia comel. Tapi, Nia selalu menangis. Riz dengan Aisy suka buli Nia. Aakeef nak jaga Nia. Boleh tak, Baba Nia?"

Rayyan Harith terdiam. Agak lama. Sebelum dia tersenyum lebar. Menggeleng perlahan. Raissa Hanania... anak baba baru 3 tahun, dah ada yang berkenan. Macam manalah nanti anak baba dah besar?

"Boleh, Aakeef jaga Nia ya. Jadi abang Nia kalau ada yang buli Nia." Tidak mengambil terlalu serius kata-kata anak seusia Aakeef, Rayyan melayan sahaja. Dia mengusap lembut kepala si kecil yang tersenyum comel menatapnya.

"Terima kasih, Baba Nia! Nanti esok Aakeef datang sini lagi. Aakeef nak balik ni. Nanti mama marah pula lama-lama. Babai!" Wadi Aakeef lekas mencapai basikal empat rodanya yang dibawa bersama. Dia melambai ke arah baba Nia sebelum menaiki kenderaan comelnya.

Rayyan mengangguk dalam senyuman. Melambai mesra kanak-kanak lelaki yang baru sahaja meminta izin untuk menjaga anak bongsunya.

Lebaran Aidilfitri Airayyan | CERPEN E-BOOKWhere stories live. Discover now