Adelisa mengenakan pakaian serba putih yang juga merupakan pakaian rasmi diraja Hagron. Selendang di atas kepala dibetulkan. Wajahnya sedikit keletihan selepas menangis namun berjaya disembunyikan di sebalik kain yang menutupi wajahnya.
Kuda istana berarak turun ke Kota Diraja Hagron. Alangkah terkejutnya penduduk di situ melihat mereka tambahan lagi ada yang pernah berjumpa dengannya dan Amelia. Mereka memakai persalinan yang sama pada hari kehilangan Aseef.
Tak hairanlah kenapa macam nak tergolek keluar biji mata yang memandang.
Tok Salloman juga tidak terkecuali. Malah dalam debaran yang menggila dia menatap mata itu, ada kelegaan yang bertandang. Kerana dia yakin bakal permaisuri yang dikhabarkan buta itu seorang yang berjiwa rakyat. Lihatlah bagaimana Adelisa bergaul dengan rakyat-rakyatnya tempoh hari. Penuh kesantunan.
Jika tidak, bagaimana seluruh kerabat diraja hadir pada pagi ini demi menguruskan jenazah Bonda Lita.
Tepat pada jam 6 pagi tadi, Bonda Lita menghembuskan nafasnya yang terakhir di akhir sujudnya. Perkara itu disedari oleh anak kandung Bonda Lita, Elias yang pada ketika itu baru pulang dari masjid besar kota tersebut.
Sungguh, mereka terjaga pagi ini bukan untuk mendengar khabar berita yang paling ditakuti. Kematian Bonda Lita seakan petanda buruk buat mereka.
Tok Salloman melihat gerak-geri bakal permaisuri itu dari jauh. Benar kata Bonda Lita, seluruh kota ini pernah mengenalinya.
Kerana dialah, Sumayyah. Anak kecil yang tidak disangka oleh sesiapa bahawa suatu hari nanti dia akan memerintah.
Tetapi Tok Salloman musykil, benarkah dia buta?
"Assalamualaikum, umi." Adelisa menatap wajah Bonda Lita yang pucat tidak bermaya. Malah jasad itu sendiri tidak mengandungi roh di dalamnya.
Adelisa mengetap bibir. Mujur mereka meninggalkannya sendirian di sini. Ada yang agak terkilan dengan kebenaran yang terbongkar sebentar tadi. Siapa sangka seorang puteri kepada Sultan Mirhad pernah turun ke kota sejak kecil?
Adelisa senyum perit. Dialah satu-satunya anak sultan yang diperintahkan untuk disusukan oleh ibu lain. Dan pada ketika itu, keajaiban berlaku tatkala Bonda Lita yang sudah separuh abad itu satu-satunya ibu di kota yang dapat menyusukannya.
Tetapi hanya Bonda Lita yang tahu identiti sebenarnya pada waktu itu. Manakala yang lain, cuma mengenalinya sebagai Sumayyah. Nama yang sudah lama dia tidak dengar daripada orang lain tetapi sangat sebati dengan dirinya.
"Umi... Adelisa minta ampun." Tangan berkedut seribu itu digenggam. Sejuk dan keras tanda tiada lagi pengaliran darah.
Adelisa tertunduk menghamburkan tangisan sebelum wajahnya dibawa mendekati wajah Bonda Lita.
Ya Allah, insan ini yang pernah berbakti kepadanya. Insan ini pernah menurunkan ribuan ilmu agama kepadanya. Insan ini tidak pernah mengeluh semasa melakukan ibadah biarpun dalam keadaan diri itu dihurung kesakitan. Insan ini menatapnya dengan penuh kasih sayang tatkala ibunya sendiri tidak dapat melakukannya kerana sakit yang terlampau tenat selepas melahirkannya. Insan ini sentiasa mengingatkan bahawa kasih sayang seorang ibu tidak ternilai harganya. Insan inilah yang dianggapnya seorang ibu sedangkan dia tidak lahir dari rahim itu.
Bibir Adelisa jatuh pada dahi Bonda Lita. Dia menahan sebak di dada sedangkan dia mahu lepaskan esakan yang menggila. Tetapi dia terlampau hormatkan Bonda Lita. Sejak kecil dan sampai bila-bila.
Mana mungkin tidak, jika Permaisuri Mutiah sendiri menghormati Bonda Lita sebagai gurunya. Bonda Lita banyak berbakti kepada mereka tanpa meminta balasan yang setimpal. Keikhlasan dan ketulusannya sudah cukup membuatkan rasa cinta itu mekar buat sesiapa sahaja yang pernah mengenalinya.
YOU ARE READING
SECRET
Mystery / Thriller[COMPLETED] Start : 7 April 2022 End : 18 July 2022 Sekian lamanya Hagron L Casa tidak mengangkat sesiapa menjadi pemerintah, akhirnya Adelisa Noor mengumumkan pertabalannya sebagai permaisuri Hagron. Namun, rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati...