Bab 14

786 112 19
                                    

"Apa yang dah jadi?" Adelisa menyentuh bahu Aseef di sebelahnya. Layla yang sedang mendapatkan rawatan dipandang.

Mak saudaranya itu sebenarnya tua sepuluh daripada Amelia. Tetapi bak kata Layla sendiri, dia tak selesa kalau mereka panggil dia kakak. Aseef ni pula, biasalah. Suka sakat-menyakat akhirnya terlekat panggilan 'Kak Layla' tu.

"Kak Layla terseliuh. Dia nak ambik buah apa entah, sedar-sedar dah duduk atas tanah. Nasib baik aku tak lalu situ. Kalau tak, sekali dengan aku dia penyet. Dia ingat dia monyet?"

"Kak Layla dengarlah!" Layla menjerit. Dia sedang kesakitan pun, tak habis-habis Aseef nak mengusik. Ada saja akal budak bertuah ni.

Aseef sengih saja.

"Tadi ada perempuan serang kau, kan? Mana dia?"

"Bawah ketiak aku." Aseef membalas selamba. Akibatnya, terus ketiaknya dicubit.

"Woiii! Apa ni?!" Ditolaknya Adelisa menjauh lalu ketiaknya digosok-gosok. Adelisa hanya menyimpan senyum.

Dibiarkan saja Aseef yang melangkah ke arah doktor lelaki di hujung sana sebelum Aseef mempersembahkan ketiaknya yang sedang kesakitan. Terbuntang luas mata doktor lelaki itu.

"Ke... kenapa?" Tergagap dia bertanya. Toleh-toleh saja kena hadap ketiak, mahunya tak lemah semangat.

"Ketiak saya sakit, doktor. Kakak saya cubit. Cuba doktor tengok, ada jangkitan tak? Kakak saya ada penyakit gila, takut melarat dekat saya." jawab Aseef bersungguh-sungguh.

"Yang gila tu kau!" Adelisa menggeleng sebelum kakinya melangkah keluar dari bilik tersebut. Tawa yang disimpan akhirnya terlepas.

Aseef menurunkan ketiaknya kembali. Wajah tidak puas hati tadi bertukar girang. Terus dia meminta maaf kepada doktor tersebut lalu membuntuti Adelisa yang semakin menjauh.

"Kau nak pergi mana?" soal Aseef selepas dia berjaya mendapatkan Adelisa. Wajah itu kembali seperti biasa, tiada perasaan.

"Jumpa perempuan yang kacau adik aku." balas Adelisa tenang tetapi Aseef pula yang takut mendengar nada tersebut. Terus ditarik Adelisa menghadapnya.

"Tak payah, aku dah handle. Dia lanun sesat aje. Yang jatuh cinta dengan aku. Alah, kau ni. Macam tak biasa."

"Biasa apa kalau dia hampir bunuh kau?"

"Maksud aku yang biasa tu, perempuan jatuh cinta dengan akulah. Adik kau kan kacak?" Aseef menggosok hidung. Bangga pulak puji diri sendiri.

Adelisa mempamerkan wajah jijik. Ditolak Aseef ke tepi sebelum dia kembali meluru ke arah penjara bawah tanah yang sudah tentunya menempatkan gadis gila itu dan orang-orang Tuliemo yang ditangkap tempoh hari.

Rakyat Tuliemo tersebut akan dilepaskan selepas beberapa tahun dipenjara. Mereka sudah bersetuju untuk bekerja di Kota Diraja Hagron bersesuaian dengan keupayaan mereka.

Walaupun mereka tidak ada ilmu sains seperti seluruh penduduk Tuliemo, ternyata mereka lebih arif tentang ilmu kemahiran hidup. Menjahit, berkebun, memasak. Bak kata mereka, itu celah gigi saja.

Adelisa tersenyum apabila teringatkan hal itu kembali. Dengan kerjasama banyak pihak, mereka telah sah menjadi rakyat Hagron. Wajah mereka ketika pemberitahuan itu tidak dapat dia lupakan. Mereka sangat gembira sehingga ada air mata yang mengalir.

Dia tidak memaksa sesiapa memasuki agama Islam biarpun majoriti penduduk Hagron merupakan muslim. Dalam kawasan kota, pastinya mereka akan tertawan dengan cara hidup di Hagron. Semoga mereka semua dikurniakan hidayah daripada Allah. Itu saja doa yang Adelisa selalu titipkan buat mereka.

"Kau sumpahlah nak jumpa perempuan tu?" Aseef masih tidak meninggalkan Adelisa.

"Kenapa? Nak suruh aku jumpa perempuan mana? Ada orang nak jadi adik ipar aku ke?" Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulutnya membuatkan Aseef mencebik. Sejak bila Adelisa ni boleh jadi Amelia pula?

"Mana ada, aku tanya je. Tak payahlah, kak. Tak penting pun." Aseef masih cuba memujuk. Dia cuma tidak mahu memanjangkan hal yang sedia pendek.

"Dia hampir bunuh adik aku! Apa yang tak pentingnya?!" Adelisa berhenti mendadak menyebabkan Aseef yang tidak menyangka hal itu jatuh tersungkur di sebelah Adelisa akibat cuba mengelak.

"Yang kau jilat lantai tu dah kenapa?" Wajah Adelisa masih garang. Dipandang Aseef yang mengadu kesakitan itu tanpa riak.

"Ingat aku nak sangat ke?" Aseef menjuihkan mulut. Dia mengesot ke arah Adelisa lalu kaki kakaknya itu dipeluk erat.

"Janganlah buat benda yang menyakitkan kau. Aku tahu kau sayang aku. Tapi aku sendiri dah cakap benda ni benda remeh. Perempuan tu tak layak pun terima amarah kau."

Adelisa terdiam.

"Kau tak percayakan aku ke?" Aseef mengangkat wajah. Dia tak hairankan langsung pandangan daripada orang yang lalu-lalang. Dia cuma tak mahu Adelisa selesaikan semua perkara dengan kemarahan.

"Muka kau, siapa je boleh percaya?"

"Tak lawaklah!" Aseef menggoyang-goyangkan tubuh. Hampir terjatuh Adelisa dibuatnya.

"Berhenti, gila! Aku jatuh nanti!" Ditepuk-tepuk bahu Aseef. Kus semangat. Ini kalau lempang ni melayang dua tiga ketul gigi.

"Jangan pergi tengok perempuan tu. Janji?" Aseef kembali berdiri. Dipandang Adelisa yang pendek daripadanya. Wajah itu jelas tidak puas hati.

"Yang kau nak lindung perempuan tu sangat kenapa?"

"Aku tengah lindung kau!"

Terpinga-pinga Adelisa melihat Aseef. Dan secara tiba-tiba, tanpa angin atau ribut Aseef memeluknya erat.

"Kak Lia tak ada. Aku tak nak kau hilang kawalan bila kau tahu kezaliman apa lagi yang perempuan tu dah buat. Aku tak kuat untuk halang kau. Aku bukan Kak Amelia yang berani pulihkan kau sedangkan nyawa dia dalam bahaya. Tolong jangan bagi aku risau." Aseef menutur lemah.

"Alolo, cuwitnyaaa!" Adelisa membalas pelukan Aseef. Ditepuk-tepuk belakang adik bongsunya itu. Nafas yang rancak tadi bertukar normal.

"Tuan..." Layla yang baru saja memunculkan diri berhenti mendadak. Dipandang saja momen comel di hadapannya tatkala ini. Dia tidak hairan jika Aseef yang memeluk Adelisa. Lelaki itu memang suka peluk semua orang.

Tetapi melihat Adelisa yang juga merangkul erat tubuh Aseef membuatkan segaris senyuman mekar di bibirnya. Seluruh penduduk istana ini tahu bahawa dalam ketiga-tiga kerabat ini, Adelisalah yang paling pendiam. Tidak pernah mereka lihat beban yang ditanggung gadis itu. Malah tidak langsung mereka tahu apa yang berada dalam fikiran Adelisa.

Mereka cuma berharap, suatu hari nanti Adelisa akan bebas daripada sebarang perkara yang menyeksanya. Sesungguhnya, Adelisa sangat baik. Dan orang yang melakukan kebaikan, pasti akan mendapat kebaikan.

•••

Waktu malam kembali menjelma. Adelisa melawat kota-kota yang berada di dalam kerajaan Hagron L Casa. Errodian, Pluvio, Kavanhill dan sudah tentu Kota Diraja Hagron sendiri. Dia cuma bersendirian tanpa pengawal di sisi.

Sebenarnya dia memang tidak bagitahu sesiapapun. Sama seperti beberapa hari yang lalu ketika dia memulakan rancangannya.

Sepanjang perjalanan, dia tidak dengar sebarang bunyi bayi ataupun kanak-kanak. Selalunya biarpun malam, kota-kota itu masih riuh dengan suara-suara mereka.

Adelisa mengeluh perlahan. Dipandang langit gelap di atas yang menempatkan bulan dan beribu bintang. Seketika kemudian, pandangannya jatuh pada tangan sendiri. Urat-urat di tangannya diperhatikan.

Rancangan tetap rancangan.

Tidak lama selepas itu, kakinya tidak lagi menjejak tanah.

SECRETWhere stories live. Discover now