Cahaya samar-samar menyentuh kornea matanya. Adelisa merenggangkan otot-otot sendinya yang terasa lenguh. Sebaik sahaja tubuhnya puas mengeliat, barulah matanya dibuka luas.
Hanya langit biru yang menjadi tatapan. Adelisa diam buat seketika. Kedengaran ombak yang menampar batu dan burung-burung berkicauan merdu. Belakang tubuhnya tatkala inipun sedang beralaskan pasir.
Maknanya dia ada di sebuah pulau. Adelisa meliarkan pandangannya ke sekeliling. Apabila terlihat sesuatu di sebalik kayu balak yang besar dan bertimbun itu, Adelisa terus bangkit dari baringnya.
Pandangannya agak berpinar namun dia tidak endahkan saja. Dengan langkah yang lemah-longlai dia berlari ke arah makhluk hitam itu. Tidak sempat dia tuturkan walaupun satu perkataan, terus tangannya merangkul erat Aswad yang tatkala itu sedang berehat.
"Kau ke yang bawa aku ke sini?" Adelisa menyoal sambil melirik ke arah pakaiannya. Tidak ada lagi baju perisai. Cuma baju lengan panjang yang dikenakannya pada bahagian dalam yang tinggal.
Setitik darah pun tidak tersisa. Mungkin Aswad dah tolak dia ke dalam air laut untuk bersihkan apa yang patut.
Aswad yang tadinya diam, mengangguk. Adelisa tersenyum lebar. Dia ingatkan dia akan mati selepas apa yang terjadi. Ternyata dia masih ada Aswad yang sentiasa mengetahui keberadaannya.
Bak kata Sultan Mirhad sendiri, Aswad seekor kuda yang mempunyai naluri pemburu yang kuat. Dia juga dapat mencari tuannya hanya dengan bau walaupun terpisah jauh.
Tiba-tiba kedengaran bunyi plastik di kakinya. Adelisa menurunkan pandangan dan tiga keping roti kelihatan. Di sebelah plastik tersebut, ada 2 botol air yang besar. Aswad menolak plastik itu sekali lagi apabila Adelisa kaku tidak beriak.
"Aswad..." Entah mengapa, boleh pula air matanya mengalir. Aswad yang melihat itu tersentak dan terus berdiri. Dia kelihatan tidak tentu arah apabila Adelisa mula menangis. Baru menangis, bukan meraung lagi.
"Apa kau ni?! Aku terharulah!" Pening Adelisa melihat Aswad yang kejap ke kiri, kejap ke kanan. Dah macam fikir masalah dunia.
Langkah Aswad mati. Dipandang Adelisa sekali lagi demi mendapatkan jawapan yang sebenar. Gadis itu tidak berkata lebih dan terus mencapai plastik dan botol air tersebut. Dengan bacaan basmallah, dia menjamu selera.
Di saat ini, ternyata roti kosong pun begitu nikmat sekali.
Aswad tidak tahu nak buat apa, dia sekadar merenung Adelisa yang nampak kelaparan. Dalam hati, dia sedih melihat keadaan Adelisa yang tidak terurus tatkala ini. Selendang gadis itu pula sudah hilang entah ke mana menyerlahkan rambut merah asli miliknya.
"Eh, kau nak ke mana pulak tu?" Terpinga-pinga Adelisa apabila Aswad memasuki hutan tebal meninggalkannya seorang diri. Aduh, Aswad. Kalaulah kau boleh cakap dengan aku kan senang. Adelisa menggeleng saja.
Beberapa minit kemudian, Adelisa sudahpun selesai menjamu selera. Dia berlari ke gigi air untuk membasuh tangan. Air yang jernih dan sejuk itu menyenangkan hatinya.
Kduk!
Baru saja Adelisa mahu menoleh, kepalanya tiba-tiba dilapik sehelai selendang hitam. Dipandang Aswad yang melepasinya itu. Selamba saja kuda itu minum air tanpa pedulikannya yang sedang pelik ini.
"Kau dapat mana selendang ni?" Adelisa mencium kainnya. Manalah tahu 10 tahun dulu punya. Entah milik siapa yang jantan ni cekup.
Aswad masih seperti itu, tidak mempedulikan Adelisa yang bercakap dengannya. Sebenarnya dia memang sudah siapkan persalinan lain untuk Adelisa. Tetapi entah bila ia hilang. Mungkin dibawa angin yang kuat ketika Adelisa masih pengsan.
"Kau tak nak cakap dengan akulah ni?" Adelisa mencebik. Sukar ditebak juga Aswad ni rupanya.
Tanpa mengendahkan Aswad, Adelisa bangun lalu melangkah ke sekeliling kawasan. Pulau ini tidaklah besar mana tetapi dia yakin ia berada di tengah lautan. Di sekeliling mereka hanya laut biru yang menjadi pedampingnya. Memang tidak ada pulau lain, nelayan apatah lagi.
Tatkala pandangannya mula terbuai dengan pemandangan indah di sini, hatinya masih gundah memikirkan rakyatnya yang berada di Bukit Nelor. Dia anggap sekarang ini mereka sudah tiba di sana dan sedang berehat.
Cukuplah mereka selamat, itu akan menjadi berita paling menggembirakan buatnya.
Oh, mungkin dia boleh tanya Aswad!
Adelisa berpaling dan berlari-lari ke tempat tadi. Dia berharap Aswad masih ada. Buatnya kuda itu pergi meninggalkannya seorang diri, punahlah harapannya.
Ternyata, Aswad tak pernah mengecewakan. Tetapi... arnab?
"Mana kau cekup budak ni?" Adelisa mendekati kedua-dua haiwan itu. Yang besar gedabak itu nampak tenang. Yang kecil molek itu pula terkejutnya bukan main. Arnab putih itu terus berselindung di sebalik Aswad.
Adelisa menekan dada. Terasa hati dengan arnab yang cuba melindungi diri daripadanya. Eh, Aswad tu pun bahaya tau!
Aswad melihat ke arah hutan tadi. Adelisa mengangguk faham. Boleh cari kawan pulak ya Si Aswad ni. Menyempat je.
"Oh ya, aku nak tanya. Diorang macam mana?"
Aswad tidak menjawab malah dipandang pula arnab yang masih berselindung di tubuh sasanya itu. Mereka seakan berkomunikasi sebelum arnab itu sendiri mendekati Adelisa dengan lompatan yang comel.
Adelisa menggigit bibir bawah, tidak tahan dengan kecomelan arnab tersebut. Nak kena gigit ke ni?
Apabila arnab itu sudah berhenti di hadapannya, ia menayang wajah comel seakan tersenyum manis. Pada mulanya Adelisa agak bingung. Dipandangnya Aswad yang memandang tepat pada arnab tersebut. Yakinlah dia, arnab itu sedang memberikan jawapan.
Maknanya semua baik-baik saja. Adelisa menghela nafas kelegaan. Tidak perlulah dia risaukan apa-apa lagi. Mungkin dia perlu mendapatkan rehat yang cukup sebelum bergerak ke sana untuk bertemu rakyat-rakyatnya.
Apabila seluarnya rasa ditarik, pandangannya jatuh ke bawah. Arnab itu sedang menggigit seluarnya. Adelisa terus mendukung sang arnab itu sebelum digomol dengan pipi. Ah comel!
"Patutlah dia yang bagi jawapan. Kalau kaulah yang senyum, Aswad. Mesti aku pengsan."
Aswad yang mendengar hanya menayang wajah seposen. Dah tu? Ingat aku nak ke senyum kalau aku tahu kau nak pengsan balik? Nak tunggu kau bangun pun boleh kurus aku.
"Comelnya awak ni!" Adelisa meninggalkan Aswad dan membawa arnab itu bersamanya. Aswad pula rasa tersisih.
"Awak ada keluarga tak? Mesti keluarga awak co... Makkk!" Hampir terpelanting arnab di tangannya apabila Aswad tiba-tiba memunculkan diri di sebelah. Bikin jantung sakit saja ini anak.
"Kau dah kenapa?" Adelisa menolak kasar Aswad yang masih tidak menunjukkan sebarang perasaan itu. Aswad masih beriak tenang sebelum Adelisa mendapat idea nakal untuk mengusik kuda peliharaannya itu.
"Jealous eh?" Bahunya menyenggol Aswad. Ternyata selepas saja diusik begitu, Aswad terus berpaling pergi.
Adelisa melihat arnab di tangannya sebelum dia melepaskan tawa.
"Nak kena betul Si Aswad ni. Jom kita teman dia. Kesian dia, lonely. Saya ambil kawan dia." Adelisa membuntuti Aswad yang semakin menjauh.
Aswad... Aswad...
YOU ARE READING
SECRET
Mystery / Thriller[COMPLETED] Start : 7 April 2022 End : 18 July 2022 Sekian lamanya Hagron L Casa tidak mengangkat sesiapa menjadi pemerintah, akhirnya Adelisa Noor mengumumkan pertabalannya sebagai permaisuri Hagron. Namun, rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati...