Tempus Est Relinquo (Masa Untuk Pergi)

655 8 3
                                    

Sicily : Januari 1915

Peperangan yang sedang berlaku di Eropah mula merebak. Ramai anak-anak muda di seluruh Itali mula dikerah untuk menyertai tentera untuk menyertai negara perikatan diketuai Britain, Peranchis dan Russia melawan sekutu asalnya Jerman dan Austria. Kesannya turut dirasai di Sicily, sebuah pulau di hujung Itali yang menjadi tempat tinggal Lucius selama lebih 100 tahun.

Dari satu kampung ke satu kampung dia berpindah, memberikan khidmat kepada mana-mana kumpulan yang memerlukan khidmatnya. Lucius tidak terikat dengan mana-mana kumpulan kerana dia ingin bebas. Hanya ketua-ketua kumpulan sahaja yang pernah menemuinya kerana dia tidak mahu mereka menggunakan orang tengah bila memerlukan khidmatnya.

Sebenarnya, baru dua bulan dia berkhidmat dengan Alphonse, capo di tutti capi atau ketua segala ketua kumpulan-kumpulan berpusat di Catania. Setakat ini, hanya sekali dia ditugaskan melakukan 'pembersihan', iaitu membunuh kesemua anggota tertinggi sebuah kumpulan kecil yang baru naik kerana disyaki cuba merampas kuasa dari Alphonse.

Lucius tidak perlu berusaha keras. Dia hanya perlu mengetahui masa dan tempat dimana mereka berkumpul diwaktu malam. Dia juga tidak bimbang akan senjata yang mereka miliki. Peluru, walaupun menyakitkan, tidak akan membunuhnya. Lucius tidak boleh dibunuh, kerana sememangnya dia telah mati.

Semenjak menerima kurniaan dari Mirabelle lebih seribu tahun yang lalu, tubuh dan jasad Lucius masih lagi seperti dahulu jika dilihat dari mata kasar. Dia masih seperti manusia biasa yang lain, cuma fizikalnya seperti tidak dimamah usia. Berbeza dengan manusia lain, jantungnya tidak lagi berdenyut. Lucius juga tidak lagi memerlukan makanan dan minuman seperti manusia lainnya walaupun dia senantiasa merasakan lapar dan dahaga. Namun Mirabelle, sebagaimana yang dijanjikannya, telah mengajar Lucius bagaimana hendak menghilangkan lapar dan dahaganya.

Agak sukar mulanya dia menjalani kehidupan yang baru. Cahaya matahari bagai menusuk-nusuk tubuhnya, membuatkan tubuhnya kepanasan. Dia lebih suka waktu malam kerana mendapati pandangannya lebih jelas, tidak kabur seperti diwaktu siang kerana cahaya yang menembusi anak matanya adalah lebih banyak daripada manusia biasa.

Mirabelle juga mengajarnya memburu makanan pada malam hari dan bagaimana hendak menyembunyikan jejak. Mirabelle juga memberitahu Lucius bahawa tidak ada manusia lain yang tahu akan kewujudan orang-orang seperti mereka walaupun terdapat cerita-cerita dongeng terutamanya dari tempat diantara Sungai Tigris dan Sungai Euphrates tentang makhluk seperti mereka.

Ada juga lagenda-lagenda yang biasa didengari Lucius semasa kecil dari bangsa Rom dan Greek sendiri tentang makhluk yang dicipta dari api, yang bersifat seperti apa yang dialaminya, namun dia hanya mengganggap bahawa itu semua adalah sekadar cerita untuk menakutkan kanak-kanak. Namun begitu, makhluk-makhluk seperti dalam semua cerita ini hanya mempunyai satu persamaan dengan dirinya dan Mirabelle, iaitu mereka memerlukan darah segar untuk diminum supaya tubuh mereka tidak mereput dan menjadi lemah.

Pada awalnya, hampir setiap malam dia memerlukan darah yang segar, biasanya dengan meminum darah kambing dan biri-biri atau mana-mana binatang ternakan yang berjaya dicuri. Mirabelle juga mengajarnya cara-cara menghapuskan kesan supaya kehadiran mereka tidak dapat diketahui. Pada malam-malam yang awal mereka hanya menyembunyikan diri di kampung-kampung berhampiran Ravenna.

Apabila Lucius sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu, mereka berdua mula mengembara ke arah selatan menyelusuri semenanjung Itali yang kini dipenuhi dengan kaum-kaum barbarik yang menghuni bandar-bandar besar. Bandar-bandar di utara seperti Aquileia dan Mediolanum memang sudah lama jatuh ketangan bangsa Gothik. Lain-lain bandar-bandar besar dalam empayar Rom juga telah lama jatuh ketangan bangsa-bangsa barbarik lain seperti Visigoth, Vandal dan lain-lain.

Perkara KitaWhere stories live. Discover now