Abelisa terdiam seketika. Melihat raut wajah sendiri yang semakin pucat itu agak membimbangkan sekeping hatinya. Selepas dia bersembang dengan Aseef semalam, tidak disangka beberapa saat selepas itu dia bakal diserang.
Anehnya, tidak ada yang datang menolong. Tetapi mujur Abelisa memang dibesarkan dengan didikan untuk berlawan.
"Auntie!"
"Ya?" Perhatiannya beralih kepada si kecil Madiha yang entah bagaimana boleh masuk ke situ.
Tengku Madiha ingin berkata sesuatu tetapi melihat keadaan Abelisa, mulutnya terkunci lama. Sebelah tangannya naik memeluk tubuh dan sebelah lagi menongkat dagu. Dipandang ibu saudaranya tidak lepas sehingga Abelisa pula naik hairan.
"Muka auntie ada apa-apa ke?"
"Tak." Tengku Madiha menggeleng.
Habis? Abelisa masih menanti jawapan. Dilihatnya budak kecil itu mendekat dan memeluk kakinya secara tiba-tiba. Hampir tergelincir Abelisa dibuatnya. Sudahlah lantai tandas ini licin.
"Muka auntie macam tak ada darah. Kenapa?"
"Sebab auntie vampire." Selamba saja jawapannya. Alah, teruk mana kesannya kan?
"Vampire hisap darah orang, kenapa pulak auntie tak ada darah?" Madiha layankan saja. Sedangkan abangnya sendiri pernah bagitahu vampire itu tak pernah wujud di dunia mereka.
"Sebab auntie suka darah budak-budak." Abelisa senyum kecil. Tetapi kerana ayatnya tadi, senyuman itu nampak menakutkan di mata Tengku Madiha.
"Eh! Jangan hisap darah Diha. Tak sedap! Rasa... urmm.. rasa..."
Abelisa menjongket kening. Madiha sudahpun menjauhinya dengan wajah berkerut memikirkan rasa darah sendiri.
"Pisang!"
Pisang?
"Haa darah Diha rasa pisang." Bersungguh-sungguh dia mengangguk. Hampir Abelisa ketawa terbahak-bahak tetapi dia sembunyikan dahulu.
"Okeylah, auntie tak minat pisang." Abelisa buat muka tak suka.
Tengku Madiha terus menghembus nafas lega. Nasib baik dia pisangkan darah sendiri!
Abelisa berdiri senyap melihat tubuh yang semakin jauh itu. Buang tabiat budak ni datang tiba-tiba.
Matanya kembali pada cermin di hadapan. Jelas kulit wajahnya kini tidak lagi berseri malah nampak macam mayat hidup. Mujur saya urat-uratnya tidak kelihatan. Pengsan Tengku Madiha nanti.
Mengingatkan peristiwa semalam, Abelisa mengeluh hampa.
"Kau bunuh Sultanah Adelisa!"
"Kembalinya kau membawa malapetaka!"
Kata-kata lantang daripada 20 penyamun berkelas tinggi itu tersemat dalam fikiran. Kenapa berkelas tinggi? Yalah, takkan mereka boleh masuk tanpa disedari. Pasti mereka sangat licik. Atau sebenarnya mereka orang dalam kawasan istana.
Abelisa mencebik. Lantaklah. Walau apapun terjadi pada mereka, itu sudah tidak menjadi masalahnya. Buktinya, pagi tadi 20 mayat hangus yang bergelimpangan ditemui di kawasan tersebut.
Bibirnya tersungging sinis. Apalah sangat 20 orang berbanding 15,000 penduduk bumi yang direntap nyawanya oleh Abelisa. Tak kira lelaki atau perempuan. Apabila tangannya terasa panas membara, nescaya sesiapa sahaja ketika itu yang berdekatan pasti akan menerima akibatnya.
Kain bersih di tepi singki dicapai lalu dibasahkan sebelum tangannya ditekup. Jelas kelihatan asap kecil yang terhasil seperti memadamkan bara api. Walaupun dia sudah redakan, sisa-sisanya masih ada.
Abelisa tidak pernah biarkan urat-urat yang mengalirkan cecair berupa lava merah kehitaman atau kadang kala kekuningan itu kelihatan di wajahnya. Dia sendiri pun tak mahu melihat wajahnya ketika perkara tersebut terjadi. Pastinya menggerunkan.
Kakinya melangkah keluar dari tandas. Pakaiannya sudah berubah. Subuh sudahpun menjelma.
Jangan pelik tentang kehadiran budak tadi. Tengku Madiha memang bangun awal.
Abelisa mengemaskan rambutnya yang beralun. Cadar katil yang berkedut sedikit ditarik sehingga tegang. Semalaman dia tak tidur pun sebenarnya.
Biliknya dikemas sehabis baik. Memang itu yang diajarkan keluarga Tuan Guru Adam Hussein kepadanya. Selama ini, dirinya didisiplinkan oleh mereka.
Setelah segalanya selesai, barulah dia menghela nafas kelegaan. Bibirnya tersenyum puas. Hari ini, hari baru untuknya.
Dan matlamatnya bakal dilaksanakan pada hari ini.
Abelisa tersenyum sinis. Rambutnya disanggul kemas. Jaket berhud disarung ke tubuh. Pisau diselitkan di tali pinggang dan wajahnya ditutup dengan kain. Mungkin mereka akan mengenalinya kerana matanya. Dia dan Adelisa tidaklah banyak beza.
Oleh itu, rambut palsu berwarna hitam pekat dikenakan. Pasti mereka menganggapnya sebagai pendatang luar saja. Yakin dengan penampilannya, terus dia berlari ke arah tingkap tanpa melengahkan masa lagi. Lincah pergerakannya tanpa disedari mahupun dengan hujung mata seseorang di situ.
Pagi itu, Abelisa hilang di kota. Menyelit di antara penduduk-penduduknya demi mencari sesuatu yang sudah lama dia inginkan.
YOU ARE READING
SECRET
Mystery / Thriller[COMPLETED] Start : 7 April 2022 End : 18 July 2022 Sekian lamanya Hagron L Casa tidak mengangkat sesiapa menjadi pemerintah, akhirnya Adelisa Noor mengumumkan pertabalannya sebagai permaisuri Hagron. Namun, rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati...