"I trusted you, but now your words mean nothing because your actions spoke the truth."
HUTAN belantara yang sunyi itu diselusuri beberapa buah kenderaan. Dalam keadaan hari yang sudah menginjak ke siang, tidak sukar untuk pasukan keselamatan itu menuju ke lokasi yang telah ditetapkan meskipun itu pertama kali mereka melalui kawasan itu.
"Kau orang tak rasa pelik ke?" tanya Razuddin secara tiba-tiba saat pandangan matanya dilontar ke luar tingkap kereta.
Danial Faiz, Ikram dan Jane terus mengalih perhatian mereka ke arah lelaki itu. Bepakaian lengkap serba hitam dan vest taktikal polis berserta beberapa alat perlindungan yang lain menyebabkan hanya mata mereka yang kelihatan. Ikram dan Jane yang berada di bahagian penumpang belakang teguh memegang senjata dan walkie talkie manakala Danial Faiz selaku pemandu tetap fokus dengan pemanduannya.
"Kenapa?" Ikram bertanya ringkas.
"Setiap kali kita menjalankan misi, musuh pasti satu langkah di hadapan. Kau orang tak rasa ke kita patut tangkap mata-mata dulu? Aku cuma tak nak misi kita kali ini gagal lagi."
Keadaan di dalam kereta menjadi sunyi dan sepi. Mereka tidak menafikan kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu ada benarnya. Membiarkan musuh berselubung di dalam selimut akan menyebabkan semakin ramai yang ditikam dari belakang tanpa sedar. Topeng wajah yang dipakai musuh perlu ditanggalkan secepat mungkin sebelum racun yang tersebar mematikan mereka.
"Buat masa ni... keutamaan kita adalah menyelamatkan mereka yang menjadi mangsa. Kita masih belum cukup bukti untuk menuduh sesiapa," bantah Jane secara lembut tetapi masih ada nada tegasnya. Pandangan dilontarkan ke luar tingkap.
Dalam diam, Danial mengakui yang mata-mata tersebut sememangnya tangkas dan licik namun, pujiannya itu tidak pula disuarakan. Baginya, manusia seperti itu tidak layak diberi pujian. Terlihat megah memakai uniform biru lagak seperti pahlawan negara yang disanjungi rakyat tetapi hakikatnya... cumalah bangkai yang memberi bau busuk kepada masyarakat sekeliling.
Identiti munafik itu tidak diketahui bukan kerana kecekapannya melindungi rahsia hati yang kotor tetapi kerana Allah sengaja 'mengizinkan' dia terus bergelumung dengan dosa-dosa yang mengasyikkan. Akhirnya hasil doa hamba-hambaNya, Allah mula memberikan petunjuk demi petunjuk.
Dengan bantuan Jane, Danial mula bertindak dalam diam. Menganalisis semula semua data dan petunjuk. Dibuka semula kertas-kertas siasatan terkini dan beberapa tahun yang lalu termasuk kes kematian seorang gadis ketika pertemuan dia dan rakannya sebulan yang lalu di Malaysia. Cara yang berbeza tetapi agenda dan matlamat tetap sama!
Sejak akhir-akhir ini, sengaja dia membiarkan mata-mata tersebut bertindak tanpa apa-apa halangan. Keadaan yang selesa dan tenang akan menyebabkan penjenayah lebih cenderung meninggalkan bukti dan... firasatnya tepat!
Dia seorang lelaki yang lebih handal bertindak daripada melontarkan kata-kata. Action speaks word. Itulah prinsipnya. Disebalik wajah yang ditutup, senyuman sinis dileretkan.
'I got you...' bisik hati Danial.
<<•>>
KERETA diberhentikan. Razuddin yang berada di sebelah Danial terpinga-pinga. Lokasi mereka sekarang bukan seperti yang dirancang. Bandar sepi yang tidak berpenghuni dan telah ditinggalkan terlalu lama. Bangunan kedai diconteng dengan cat bahkan terdapat pintu yang telah rosak dan tingkap yang pecah. Tumbuhan liar tumbuh merata-rata.
Melihat semua anggota keluar daripada kereta, Razuddin turut berbuat demikian dan cuba mendekati Danial. Namun saat Danial berpaling, lelaki itu terus melaraskan sepucuk pistol tepat ke arahnya dan pada masa yang sama, anggota yang lain turut melakukan perkara yang sama. Razuddin tergamam. Pandangan mata Danial tajam menikam anak matanya.
"Haha kenapa ni? Are you kidding me?" Razuddin memaksa dirinya tertawa.
"Cukuplah berpura-pura, Razuddin. Identiti kau dah terbongkar. Kaulah orangnya! Musuh negara," balas Ikram yang turut mengacukan pistol.
"Apa maksud kau ni? Sanggup kau tikam belakang aku, Ikram. Kita dah lama berkenalan sejak sekolah menengah lagi." Perlahan-lahan Razuddin cuba mendekati sahabatnya itu. Nadanya kedengaran sangat kesal dan sedih.
"Berhenti di tempat kau berdiri! Angkat tangan dan melutut!" jerkah Jane yang berada di belakang Ikram kerana takut lelaki itu akan mengubah keputusan dan memihak kepada Razuddin. Pada saat ini, Ikram sepatutnya lebih memilih tanggungjawab berbanding persahabatan.
"Ikram, kau percaya aku mata-mata? Kau dah kenal aku lama. Kau tahu yang aku dah lama berhajat nak jadi polis. Tak kan aku senang-senang lepaskan." Melihat rakannya itu sekadar mendiamkan diri, Razuddin tetap degil dan terus memujuk.
"Razuddin, cukuplah. Dah sampai saatnya kau menyerah. Bukti terlalu banyak mengacu ke arah kau... Kau dah tak ada penngikut." Danial terus mengalih perhatian lelaki itu. Dia tidak mahu Ikram terus tenggelam dalam perasaannya.
Razuddin meliarkan pandangan ke sekeliling. Semua anggota yang bekerja untuknya sudah melutut dan mengangkat tangan saat pistol diacukan ke arah mereka. Dia menyumpah seranah dalam diam. Semuanya pengecut dan tidak boleh dipakai!
"Sekarang, aku patut akui yang kau memang hebat, Danial. Bukannya budak mentah dan bodoh seperti ayah kau. Dia langsung tak tahu aku ni musuh dia. Rasa seronok bila tengok dialah orang yang paling percayakan aku sedangkan aku dah tikam dia berkali-kali." Tanpa berfikir panjang, Razuddin sinis melontarkan hinaan. Danial hanya diam.
"Razuddin! Kau ni memang manusia tak kenang budi! Tuan layan kita seperti anak sendiri bahkan dia yang tolong kau selama ni!" Ikram menjerkah. Dia langsung tidak menyangka sifat sebenar Razuddin seperti itu. Hatinya terhiris mendengar kata-kata nista Razuddin terhadap ketua yang amat dia sanjung itu.
"Huh! Aku tak minta pun dia layan aku dengan baik. Kalau aku tahu akan jadi macam ni, dah lama aku bunuh kau saat kau tengok mayat kakak kau dulu..." balas Razuddin sambil memandang ke arah Danial.
Bang!
Semua orang terkejut melihat Ikram melepaskan tembakan. Perasaan marah yang diasuh syaitan berjaya mengambil alih tubuh Ikram. Razuddin terus rebah. Betisnya yang ditembak terus membuak-buakkan darah lalu membasahi jalan. Beberapa anggota terus mendapatkan lelaki itu. Bantuan kecemasan segera dilakukan.
"Ikram..." Jane bersuara lembut melihat lelaki itu. Walaupun wajahnya ditutup dengan kain, dia tahu lelaki itu kesal. Perasaan marah menyebabkan dia hilang kawalan lalu bertindak mengikut perasaan.
"Maaf. Saya tak boleh terima bila dia hina Tan Sri Afnan. Saya terima apa-apa saja tindakan disiplin yang akan dikenakan..." ujar Ikram yang telah sebak.
"Tak apa. Tenangkan diri dulu. Kita bincang semula selepas semua ni selesai..." pujuk Jane lagi. Bahu lelaki itu ditepuk perlahan.
Danial yang hanya melihat mengeluh perlahan. Sebagai seorang anak, dia turut sama sedih dan marah. Hampir-hampir saja dia menunjukkan sisinya yang lemah dan setelah sekian lama, akhirnya dia menumpahkan juga air mata. Dibiarkan anggota-anggota lain yang menguruskan Razuddin dan pengikutnya yang lain. Buat sementara ini, dia ingin menenangkan diri. Dia terus menjauhkan diri dari kawasan itu.
Haish dah lama tak uodate en novel ni😌 Otak saya blank. Tapi nak tak nak kena habiskan. Kalau tak sian korang tergantung😂
YOU ARE READING
RAHSIA SEBUAH HATI
Aksi𝐒𝐄𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐒𝐄𝐑𝐈𝐄𝐒 | 𝐈𝐯𝐲 𝐀𝐳𝐫𝐢𝐧'𝐬 𝐒𝐭𝐨𝐫𝐲 IVY AZRIN - Seorang gadis yang polos dan pemalu. Saat hatinya meluahkan perasaan cinta kepada jejaka beku bernama Danial Faiz, layanan kasar terus dilontarkan buatnya. Hati siapa sahaja yan...