"You won't be able to be kind to others if you're not kind to yourself."
AMIRA masih menangis teresak-esak. Bukan dia seorang malah mereka yang berada di dalam lori yang tertutup itu turut menangisi takdir mereka yang malang. Setiap hari mereka mengharapkan adanya hari esok. Berharap sinar mentari tidak memancar seperti biasa sebaliknya memberi kesembuhan buat hati dan tubuh yang berdarah.
Kesembuhan dapat mewujudkan sebuah harapan. Harapan untuk mereka terus bertahan. Harapan yang menjadi sebab untuk mereka meneruskan kehidupan. Hakikatnya, harapan itulah yang bersifat hancur. Apabila takdir tidak seiring harapan, hati akan kembali melecur kesakitan.
Ramai yang mempersoalkan takdir tetapi hakikatnya manusia buta, pekak dan bodoh. Takdir tidak pernah memberikan jawapan. Takdir hanya laluan untuk manusia mendapatkan jawapan. Jawapan akan ada andai kaki yang pernah melutut di tanah kembali didirikan lalu terus melangkah meskipun goyah.
Jika lelah, tidak mengapa untuk rehat sebentar. Lihat awan. Lihatlah langit lalu toleh ke belakang. Sudah berapa jauhkah jarak perjalanan kau sejak dilahirkan? Pasti ada keindahan yang pernah dinikmati sebagai kenangan walaupun semakin lupus dalam ingatan. Bukankah itu sinar yang memberi kesembuhan untuk terus bertahan supaya kau dapat merasai rasa indahnya semula?
Ivy simpati melihat gadis itu. Rasa serba-salahnya semakin menebal kerana dia pernah mengabaikan Amira yang merayu minta diselamatkan. Ketika itu, perasaan simpati dan curiganya bercampur baur. Syaitan berjaya membuatkan dia keliru lalu Ivy memenangkan rasa curiganya. Akhirnya, harapan Amira lesap bersama bayangan silamnya yang menakutkan.
Keadaan yang sempit dan sesak di dalam lori itu menyebabkan Ivy sukar untuk bergerak. Dengan berhati-hati, dia bangun lalu bergerak mendekati Amira yang duduk melutut di penjuru. Punggung dilabuhkan bersebelahan gadis itu lalu dia menyandarkan badannya. Sengaja dia membiarkan keadaan menjadi sepi buat seketika.
"Kalau kau tolong aku hari tu... nasib aku tak akan jadi macam ni..." luah Amira setelah tangisannya terhenti. Matanya yang sembab dikatup rapat. Intonasi suaranya kedengaran dingin.
Ivy menggigit bibir. Rasa bersalah menyebabkan lidahnya kelu mahu membalas. Penderitaan Amira menjadi beban berat di pundak walaupun dia tahu itu bukan seratus peratus salahnya. Qadr Allah tetap akan berlaku tepat pada masanya walaupun pelbagai jalan untuk melarikan diri terbentang di hadapan jalan.
Semua jalan itu tetap menuju ke situasi yang sama. Takdir tidak mampu diubah melainkan kau adalah Tuhan yang mampu mengatasi segala sifat Allah. Tuhan cuma satu dan tiada duanya.
"Maaf... Zahra yang... maksud saya, Luna. Saya tak sangka dialah yang..."
Ivy mati akal untuk memberikan alasan. Lidahnya bagaikan terkunci. Suaranya seperti tersekat. Entah kenapa dia tidak boleh menyusun kata-katanya dengan baik. Tiba-tiba saja dia menjadi gagap.
YOU ARE READING
RAHSIA SEBUAH HATI
Azione𝐒𝐄𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐒𝐄𝐑𝐈𝐄𝐒 | 𝐈𝐯𝐲 𝐀𝐳𝐫𝐢𝐧'𝐬 𝐒𝐭𝐨𝐫𝐲 IVY AZRIN - Seorang gadis yang polos dan pemalu. Saat hatinya meluahkan perasaan cinta kepada jejaka beku bernama Danial Faiz, layanan kasar terus dilontarkan buatnya. Hati siapa sahaja yan...