SATU teriakan yang bingit jelas didengari dari ruangan dapur. Adel yang berada di meja makan itu segera berhenti makan dan menuju ke singki dapur untuk membasuh pinggan yang telah diguna. Wanita tua itu kemudian bercekak pinggang melihat anaknya dengan pandangan yang sungguh dingin.
"Kau ini kan, tak payah nak terpaling beragamalah dalam rumah ini. Aku ini mak kau, kau tak payah nak ajar-ajar aku!" tengking Puan Merlyna terhadap Adel.
Darah mendesir merangkak naik ke wajahnya kerana teringat akan nasihat anaknya pagi tadi. Sudah pandai anaknya ini ingin mengajar dia untuk menjadi orang yang baik sedangkan dia juga belum tentu mencium bau syurga.
"Adel nasihat sebab Adel sayang ibu." Pinggan yang sudah dibersihkan itu kemudian diletakkan di penyaring.
Adel terus berjalan keluar dari ruangan dapur kerana tak ingin menaikkan lagi amarah ibunya. Kunci kereta yang terletak di tempat gantungan kunci itu diambil lalu dia berjalan mendekati rak kasut. Kasut berwarna hitam itu dicapai lalu dikenakan olehnya.
Hembusan asap rokok itu sudah pun melekat di tubuh. Encik Aryan melihat Adel yang menjelingnya berkali-kali. Rokok itu terus-menerus dihisap, sengaja dia ingin menjengkelkan gadis itu lagi.
"Nak mati cepat itu tak payah ajak orang lain. Konon hisap rokok sebab tertekan habis itu dia buat orang tertekan sebab dia hisap rokok boleh pula?" bebel Adel perlahan ingin menyindir Encik Aryan yang setiap jam ingin merokok.
Adel bergegas memasuki keretanya yang diletakkan di luar rumah tersebut. Enjin kereta dihidupkan dan tali pinggang keledar dipasang olehnya. Satu hembusan berat dilepaskan manakala matanya sibuk melihat paparan skrin kereta yang menunjukkan jam 5:30 petang. Dia kemudian memandu keluar dari perkarangan taman perumahannya itu.
Dia memandu di persekitaran persisiran pantai yang tidak dipenuhi dengan kereta. Keretanya itu dipandu perlahan sambil dia nikmati keindahan matahari terbenam itu. Namun semakin dekat, dia mendengar bunyi ombak yang mengimbaukannya tentang memori buruk yang tak ingin diulang semula mahupun diingati.
Matanya kini terpejam rapat manakala jantungnya berdegup dengan pantas. Seluruh tubuhnya bergetar kuat disertakan dengan hembusan nafas yang tersekat-sekat. Kepalanya pula tak henti-henti berdenyut kuat. Dia merintih takut.
Tiga tahun yang lalu, dia merupakan seorang gadis remaja yang masih ingin mengenal dunia. Waktu itu, Adel masih jahil. Dia masih mengenakan dress pendek paras lutut tanpa rasa serba salah. Malam tersebut merupakan sambutan hari lahirnya. Dia diajak untuk berhibur oleh adik kepada ibunya yang dipanggil Mak Su yang merupakan anak bongsu yang baru sahaja mencecah umur 26 tahun ketika itu. Dengan kata yang mudah, dia merupakan mak cik kepada Adel.
Ketika itu, mereka pergi ke pantai berempat pada waktu malam. Adel bahagia kerana akhirnya dia merasakan seperti apa anak muda yang lain rasakan iaitu keluar pada waktu malam tanpa izin ibu bapanya. Adel sangat memercayai Mak Su Misha itu. Namun pada malam itu, dia melihat mak ciknya berbaur dengan lelaki itu lalu berpeluk-pelukan di tempat yang gelap. Misha meninggalkan Adel berduaan dengan rakan kepada teman lelakinya yang bernama Gabriel.
Gabriel ingin membawa Adel melihat permandangan malam sekeliling pantai lalu mengambil kesempatan untuk memegang tangan gadis itu. Adel tak mampu menolak kerana takut apa-apa terjadi pada dirinya. Sudahlah dia ditinggalkan berduaan dengan lelaki tersebut. Bagaimana kalau lelaki tersebut marah kepadanya kerana menolak lalu sesuatu terjadi kepada dirinya?
Namun dia sedar, jauh di sudut hatinya dia tahu berpegangan tangan dengan lelaki itu berdosa apatah lagi berdua-duaan. Adel jadi sangat kecewa dengan dirinya ketika itu.
Setelah balik ke rumah pada esok hari, Adel mengurung diri dan menyekat nombor mak ciknya. Dia memeluk lututnya sambil merenung kesalahannya seharian.
'Apakah ini masa muda yang ingin aku jalani? Adakah aku telah berdosa? Aku takut, ya Allah. Maafkan aku, ya Allah. Aku tak sepatutnya membiarkan lelaki itu pegang tanganku semudah itu. Aku jijik dengan diriku sendiri!' rintih hatinya.
Akhirnya, Adel memutuskan untuk menutup aurat dan tidak pernah lagi keluar tanpa izin ibu bapanya. Dia yakin bahawa dia menginginkan masa muda yang sama seperti rakannya di sekolah iaitu dengan mengisi masa untuk beribadah kepada Allah Swt.
Adel akhirnya tersedar daripada lamunan namun jelas terdengar bunyi dentuman kenderaannya dengan kenderaan lain. Matanya mulai kabur manakala cermin keretanya diketuk berkali-kali.
"Hans, dia pengsan!" jerit Nadeem yang cemas melihat gadis di dalam kereta merah itu tidak menyedarkan diri. Pintu kenderaan tersebut terkunci yang menyebabkan dia sulit untuk melihat keadaan gadis tersebut.
Cermin kereta belakang kemudian dipecahkan. Dengan pantas pintu kereta hadapan dibuka olehnya. Nadeem kemudian menyuruh Hans untuk menghubungi talian kecemasan.
"Kenapa dia pengsan? Patutnya kita yang pengsan terkejut kereta dia tiba-tiba hilang kawalan sampai terlanggar kereta kita." bebel Hans tidak puas hati.
"Kau ini kenapa? Orang dah pengsan boleh lagi kau tanya." Nadeem mengerut dahinya kesal dengan tindakan Hans yang bertingkah seperti anak kecil itu.
Hans mendengus marah sambil menggulingkan mata tanda meluat.
"Entah-entah dia pura-pura pengsan. Kau tak akan tak kenal dia. Adellea Arelyne kot! Satu kampus kenal dia sebab dia suka dekat kau. Mana-mana kau pergi mesti dia ada. Dasar perempuan gila!"
Nadeem kemudian merampas telefon pintar milik Hans itu. Dia memanggil ambulans untuk datang segera ke tempat kejadian.
"Aku malas nak berbalah dengan kau, Hans. Kau fikir-fikirlah perempuan itu insan yang lemah mestilah dia terkejut. Lantaklah dia nak terkejar-kejarkan aku ke apa yang penting sekarang ini dia tak sedarkan diri. Dia perlukan kita untuk selamatkan dia! Tak akan kau tak nampak kepala dia berdarah?" Dengan panjang lebar mulut Nadeem menasihati rakannya itu yang suka menganggap semua benda negatif.
MATAHARI terik memantul ke arah wajahnya. Kedua matanya terganggu dengan cahaya tersebut. Akhirnya kedua kelopak mata itu dibuka dengan perlahan. Perlahan-lahan bebola matanya mengarah ke cermin tingkap yang menunjukkan langit biru yang cerah disertai burung-burung yang sedang berkicauan. Matanya bergenang.
"Terima kasih kerana berikan aku nafas pada hari ini untuk menunaikan ibadah, ya Allah."
Pintu bilik wad itu kemudian dibuka perlahan. Seorang jejaka yang mengenakan kemeja hitam berjalan mendekati katilnya dengan membawa sebuah plastik makanan.
Plastik tersebut diletakkan di atas meja kecil yang digunakan untuk meletakkan makanan pesakit. Bekas bubur Marrybrown dikeluarkan daripada plastik tersebut.
Sudut mulutnya terangkat apabila dia melihat gerangan Nadeem Amsyar berada di hadapannya sekarang. Matanya tak henti mengamati wajah jejaka tersebut dengan air muka yang gembira ibarat mimpi.
"Asalammualaikum, saya ada bawakan awak bubur. Mesti awak baru sedar, kan? Saya pemilik kereta yang awak langgar petang semalam, nama saya-" Belum sempat Nadeem menghabiskan kata-katanya sudah dipotong oleh Adel.
"Muhammad Nadeem Amsyar, betul kan?" Adel menghadiahkan sekuntum senyuman kecil. Tangannya sudah memegang bekas bubur tersebut dengan gembira.
Nadeem mengangguk dan menunduk kerana tak mahu melihat senyuman gadis tersebut. Dia takut hatinya gelisah lalu berasa senang melihat yang bukan mahram.
"Awak kawan Aryna, kan? Dia kata awak suka makan bubur Marrybrown kalau awak sakit," jelas Nadeem.
"Kalau awak dah habis makan, awak boleh terus balik. Doktor dah bagitahu saya tadi yang keadaan awak dah normal seperti sediakala. Saya minta diri dulu, Asalammualaikum." Dengan pantas kakinya melangkah keluar dari wad tersebut walaupun Adel cuba menahannya daripada pergi.
"Hm, ingatkan awak nak hantar saya balik..." Habis muncung bibir gadis itu melihat bayangan Nadeem yang sudah menghilang.
Bubur itu ditatapnya.
Namun dia bahagia bahawa pemilik kereta yang dia langgar itu Nadeem Amsyar. Jadi, terciptalah sebuah perbualan di antara mereka buat kali pertama.
"Saya bahagia hari ini saya dapat bercakap dengan awak walaupun sedikit sahaja, apatah lagi jika tuhan takdirkan saya dapat menemani awak di seumur hidup. Sudah pasti saya bahagia sepanjang hayat."
YOU ARE READING
Akhir Tak Pasti
Romance[SELESAI] Sebuah memori silam telah menjadi titik perubahan, Nur Adellea Arelyne. Siapa sangka bahawa gadis yang sedang taat dengan Allah dan mematuhi pakaian syariah itu lahir di dalam sebuah keluarga yang hanya meletakkan agama di atas kertas? Di...