SEKUJUR tubuh berkeringat lalu dadanya sesak akibat asap rokok yang menyengat rongga hidung. Dengan pantas dia membuka kedua mata lalu bangun melihat jam dinding yang menunjukkan pukul 9:30 pagi. Dia kemudian melihat jadual kelas untuk hari tersebut. Komputer riba yang berada di meja itu dibuka kerana dia ingin sambung tulis novel.
Adel menulis sebuah novel yang didedikasikan untuk Nadeem. Sebegitu cintanya dia terhadap jejaka tersebut sehingga ingin meluahkan rasa cintanya melalui novel tersebut. Lagipun, dia mengambil bidang penulisan kreatif. Jadi menulis novel bukanlah suatu benda yang sukar baginya.
Sambil menulis itu, dia memutarkan sebuah lagu yang disukainya. Alunan lagu bertajuk 'Sempurna' itu menghiasi sepi bilik tersebut.
Kini aku merayu, tolong kekal dalam hidupku sayang~
Awal pagi lagi Nadeem sudah melukis sebuah potret permandangan gunung. Secangkir kopi dihidangkan untuk Nadeem oleh uminya, Khadijah. Nadeem tersenyum kemudian meletakkan kuas lukis tersebut di atas meja bulat itu. Tangan wanita tua itu dilihat lalu dia mencapai losen tangan yang berada di laci kecil.
"Umi, janganlah buat kerja rumah sangat. Kak Nadhira kan ada boleh tolong umi buat kerja rumah. Nadeem pun boleh kemas-kemas nanti. Tengok ini, tangan umi dah mengelupas macam ini. Luluh hati Nadeem tengok tangan umi macam ini," bebel Nadeem sambil meratakan losen tersebut pada telapak tangan Puan Khadijah.
Satu senyuman meniti di bibir Puan Khadijah. Anak lelakinya ini sudah pun mengerti mengekspresikan perasaan bahawa dia prihatin terhadap keluarganya.
"Asalammualaikum, umi tercintaku," sapa Nadrin iaitu abang kepada Nadeem. Tangannya dihulurkan untuk menyalam tangan wanita tua itu.
Nadeem geleng kepala lalu dia beri jelingan manja sebelum mengambil kuas lukis itu semula.
"Sibuklah, orang nak bermanja dengan umi pun nak kacau." Nadeem berpalingkan muka tanda merajuk.
Puan Khadijah dan Nadrin tertawa kecil melihat perangai kekanak-kanakan Nadeem masih lagi ada walaupun sudah berusia 21 tahun.
"Baby besar, jangan nak merajuk sangatlah." Nadrin sempat mengusik Nadeem.
BEBERAPA bungkus nasi lemak daun pisang yang diletakkan di atas meja makan sebentar tadi sudah pun habis dimakan. Adel melihat pinggan yang licin itu. Dalam hatinya, sudah pasti ibu suka dengan nasi lemak tersebut.
"Sedap tak nasi lemak itu? Adel beli dekat warung Pak Din."
"Ayah kau makan tadi, dia kata sedap," jawab Puan Merlyna.
Reaksi kecewa jelas terpapar daripada wajah gadis itu. Bibirnya diketap hingga kemerah-merahan. Tangannya pula dikepal menjadi buku lima. Amarahnya semakin menaik hingga mampu membakar lalang sampai kering.
"Dia tak layak jadi ayah Adel." Dadanya naik turun setelah mengatakan itu.
"Dia bukannya ayah kandung Adel pun! Dia dengan ibu belum kahwin lagi! Kenapa ibu sayang sangat dekat lelaki macam itu? Dia miskin sangat ke sampai nak kena duduk serumah dengan kita? Kenapa ibu nak bela jantan tak guna macam itu dan ketepikan hukum agama demi dia?" Adel sudah tidak boleh menahan dirinya daripada kemarahan yang sudah lama dia pendam. Hatinya ibarat dihiris dengan pisau tumpul yang lebih menyakitkan.
Air mata berjurai jatuh manakala kepala berdenyut kuat kerana tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi olehnya saat itu. Mata dipejam daripada melihat wajah ibunya itu.
Pang! Satu tamparan mendarat di pipi kanannya. Puan Merlyna tidak percaya anaknya menjadi biadab seperti itu. Dia juga tidak terima bahawa cinta hatinya dihina oleh anaknya. Selama ini, dia tidak berasa terbeban pun menanggung lelaki itu. Lagi pula, hanya lelaki itu yang mampu mencintai dia dengan tulus.
"Kau jangan nak sekolahkan aku! Kau fikir ayah kandung kau itu lebih baik ke?" jerkah Puan Merlyna. Suara itu terlampau kuat hingga dapat didengari oleh jiran-jiran.
Syed menghendap rumah sebelahnya itu.
"Mak cik sebelah rumah ini bisingnya. Mesti dia marah anak dia, kan? Kesian betul budak sebelah rumah ini, hari-hari kena marah. Ini kalau aku kena dah lama dah lari rumah."
Adel memegang kesan tamparan pipinya yang meninggalkan bekas merah.
"Ibu tahu tak, seburuk-buruk ayah kandung Adel dia tak pernah tunjuk dia buat jahat depan Adel! Dia tak pernah tunjuk dia bawa perempuan lain masuk rumah dia!" Selepas melontarkan kata-kata itu dengan pantas dia berlari masuk ke dalam biliknya.
Satu teriakan dilepaskan olehnya lalu tangan kanannya yang mengenggam penumbuk itu kemudian menumbuk cermin almari miliknya. Kepalanya pula dihantuk berkali-kali ke arah dinding. Cermin almari itu pecah berderai manakala jari-jemarinya sudah luka akibat terkena serpihan kaca tersebut.
"Kenapa? Kenapa aku lahir dalam keluarga ini!"
Hancur pilu hati setiap kali berbalah dengan ibunya akibat lelaki tersebut. Sejujurnya, sudah lama Puan Merlyna membawa lelaki tanpa ikatan tersebut tinggal di rumah mereka. Adel tak mampu menolak kerana ibunya memang tidak pernah ingin mendengar pendapatnya. Bagi orang tua, pendapat orang muda tidak perlu diambil berat kerana mereka sudah makan garam terlebih dahulu daripada generasi muda. Walhal, generasi muda sekarang lebih matang dan bijak dalam memberi nasihat.
Encik Aryan merupakan seorang perokok berat manakala Adel tidak tahan dengan asap rokok dan dia tidak terbiasa kerana ayah kandungnya juga bukan seorang perokok. Namun beberapa tahun ini, dia didedahkan dengan asap rokok secara berlebihan.
Adel selalu mengadu sesak dada yang menusuk setiap kali asap rokok menusuk rongga hidungnya. Namun dia dihiraukan dan masalah tersebut dianggap sepele oleh Puan Merlyna bahkan dia menganggap anaknya itu terlalu manja dan berlebihan. Bilik yang didiaminya juga tidak mempunyai tingkap untuk mengeluarkan asap rokok hingga dia terpaksa menahan sakit sendirian kerana tiada siapa yang peduli terhadap kesihatannya.
"Ibu memang nak Adel mati dulu baru ibu tahu kan lelaki itu tak guna?"
YOU ARE READING
Akhir Tak Pasti
Romance[SELESAI] Sebuah memori silam telah menjadi titik perubahan, Nur Adellea Arelyne. Siapa sangka bahawa gadis yang sedang taat dengan Allah dan mematuhi pakaian syariah itu lahir di dalam sebuah keluarga yang hanya meletakkan agama di atas kertas? Di...