Isteriku peminat K-pop. Bermula dengan menonton drama-drama Korea, lama kelamaan dia menjadi seorang peminat yang agak fanatik. Masanya banyak dihabiskan dengan menonton drama-drama Korea dan mendengar lagu-lagu Korea.
Pada suatu hari, dia beritahu aku ada kumpulan K-pop akan buat persembahan di Malaysia. Saja la dia beritahu aku. Teruja agaknya.
"Apa lagi, jom la kita pergi." Aku buat surprise.
"Buat lawak pulak.." Isteriku mencebikkan bibir. Disangkanya aku mengejek minatnya.
"Habis buat apa bagitau abang?" Tanyaku acuh tak acuh sambil melayari smartphone.
"Saja je la. Takkan nak cakap pun tak boleh.." Isteriku merajuk pula.
"Jom la kita pergi. Hujung minggu ni abang bukan ada aktiviti apa pun," aku serius.
"Eh? Iye ke ni? Tapi abang bukan minat pun benda-benda macam ni kan..?" Isteriku menguji keikhlasan aku.
"Saja je abang nak isi masa lapang." Aku tipu.
Sebenarnya saja nak seronokkan dia. Selama ni mati-mati dia tak mengaku meminati kumpulan-kumpulan K-pop tu. Bila aku setuju nak bawa dia pergi menyaksikan persembahan tu, terus saja dia teruja, tak mampu menyelindungkan perasaannya lagi.
Jadi, pada malam hujung minggu tu, aku bawa isteri dan anak-anakku pergi menyaksikan persembahan tu.
Isteriku berusaha menyembunyikan kegirangannya. Malulah tu. Dah jadi ibu beranak tiga, tapi meminati benda-benda sampah sebegini.
Sepanjang persembahan tu, isteriku kelihatan agak kecewa sebab tak dapat tengok dari dekat gara-gara terpaksa melayan kerenah anak-anak yang sekejap nak terkencing, sekejap terberak nak tukar lampin, sekejap kena menyusukan anak.
Tup tup dua jam sudah berlalu, show pun berakhir. Orang ramai mula bersurai. Isteriku kelihatan hampa.
Ketika dalam perjalanan menuju ke tempat parkir kereta, isteriku memandang ke arah hotel yang terletak berhampiran dengan lokasi persembahan tadi.
Di situlah tempat penginapan selebriti-selebriti K-pop itu sepanjang di Malaysia. Peminat-peminat dalam kalangan wanita menyerbu ke lobi hotel itu. Ingin mendapatkan tandatangan artis pujaan mereka. Terkebil-kebil mata isteriku memandang ke arah sana.
Aku tahu isteriku teringin pergi melihat artis-artis Korea itu dari dekat. Tapi dia malu menunjukkan sikap kebudak-budakannya itu di hadapanku.
"Lia tak nak pergi tengok dekat-dekat?" Aku offer.
"Hmmh tak payahlah. Bukan ada apa pun." Isteriku berpura-pura tidak merasa teruja.
"Pergilah, abang boleh jaga anak-anak di dalam kereta. Bukan senang dapat peluang macam ni tau," aku pujuk supaya Lia tak rasa serba salah.
Betapa gembiranya isteri aku. Sambil mengucapkan terima kasih, Lia berlari-lari anak menuju ke hotel itu. Aku pula menjaga anak-anak yang sedang tertidur di dalam kereta.
Tiba-tiba ada tangan mengetuk tingkap cermin pintu keretaku. Aku turunkan cermin. Sepasang suami isteri berdiri di sebelah pintu keretaku.
"Eh Zambri? Kau datang ke sini juga?" Terkejut aku. Jiran aku rupanya.
"Mana isteri kau?" Tanya Zambri.
"Sana tu," aku mengisyaratkan jari telunjukku ke arah hotel.
"La kesiannya.. haha kau kena jaga anak ke? Takpe la, camni je. Biar aku dan Zah tolong jaga anak-anak kau. Kau pergilah join isteri kau." Zambri dan isterinya, Faizah menawarkan untuk menjaga anak-anakku di dalam keretaku.