SUSUK gerangan yang amat dikenali itu muncul di hadapannya setelah dua tahun tidak kembali. Beg berisi pakaian itu jatuh ke lantai sebaik sahaja dia melihat wajah ibunya yang terlantar di katil hospital tersebut.
"Ibu!" rintihnya sambil mendekati katil tersebut. Tangan kanannya memegang tangan milik Puan Merlyna itu.
Adel hanya melihat lelaki tersebut meraung kesedihan. Lelaki itu kemudian mendekati Adel. Tubuh kecil itu didakap olehnya. Kepala Adel kini berada di paras dadanya. Adel yang tak mahu menangis kini mengalah dengan air mata yang tak dapat dihentikan.
"Abang Mika." Air mata Adel diseka olehnya.
"Maaf, along tak datang awal."
Ya, dia merupakan anak sulung kepada Puan Merlyna dan juga abang kandung kepada Adel. Muhammad Mika Ayish, 25 tahun yang bekerja di Sarawak. Mika jarang pulang kerana kesibukan kerja yang melanda.
"Ibu buta sebab serpihan kaca yang cederakan mata dia waktu kemalangan tapi nasib nyawa ibu terselamat, along," jelas Adel seraya matanya memandang wajah Puan Merlyna yang pucat lesu itu.
Mika mengangguk lalu dia menghela nafas berat. Pintu wad dibuka perlahan oleh Nadeem. Adel bingkas bangun.
"Asalammualaikum," sapa Nadeem.
Salamnya dijawab oleh mereka berdua. Mika memandang Nadeem.
"Awak datang sendirian ke? Umi mana?" soal Adel sambil matanya melilau mencari bayangan Puan Khadijah itu.
"Umi tengah selesaikan masalah dekat restoran nanti dia menyusul," ujar Nadeem.
Adel mengangguk lalu dia melihat Nadeem yang memandang abangnya kemudian abangnya yang memandang Nadeem dengan wajah yang serius.
"Along, ini Nadeem kawan sekampus Adel dan Nadeem ini abang saya, Mika." Adel memperkenalkan mereka berdua.
Lalu Mika berjabat tangan dengan Nadeem.
"Betul ke kawan? Lain macam mak orang kau panggil 'umi' ya." Mika memandang Adel.
Adel mencebik lalu menyilangkan tangannya.
"Isy, along ni! Ada masa pula nak bergurau ya?" marah Adel.
Bunyi deringan telefon milik Mika terdengari. Dia kemudian membuka pesanan baru yang diterima.
"Along lupa nak bagitahu, Mak Su Misha nak datang melawat kejap lagi." Sebaik sahaja mendengar nama tersebut Adel cuak.
Nadeem pula perasan akan kegelisahan yang muncul apabila air muka Adel berubah sebaik sahaja abangnya, Mika menyebut nama tersebut. Gadis itu sudah berkeringat lalu matanya fokus memandang lantai. Tangannya pula mencuit tangan sebelah.
"Izinkan saya bawa Adel ambil udara segar?" pinta Nadeem kepada Mika.
Mika mengangguk setuju. Adel kemudian mengikuti jejak langkah Nadeem. Dia membuntuti lelaki tersebut hingga ke hadapan kedai runcit kecil di dalam hospital tersebut.
Susu strawberi dicapai oleh Nadeem lalu dia membayar minuman tersebut dan berikan kepada Adel.
"Jangan cubit diri sendiri. Itu kira melukakan diri sendiri juga sebab awak sengaja. Allah tak suka," tegur Nadeem.
Adel yang duduk di bangku itu mengangkat wajahnya lalu mengambil susu tersebut daripada Nadeem. Matanya berair. Plastik straw itu cuba dibuka namun tidak boleh. Akhirnya, Adel pun kesal lalu menangis.
Nadeem mengambil plastik straw tersebut dan membukanya untuk Adel lalu minuman tersebut dicucuk straw.
"Orang perempuan kalau dia tak ada mood, semua benda dia marah lepas itu nangis, kan?" Nadeem tertawa kecil.
"Salah plastik itu dia menyusahkan orang je nak buka. Ini semua salah kilang itu sekali balut straw dengan plastik!" marah Adel.
Nadeem tersengih sambil menggeleng kepala.
"Betullah itu, semua salah kilang itu. Awak tak salah pun." Dia cuba menenangkan hati gadis tersebut dengan menyokong pernyataan yang dilontarkan sebentar tadi.
Adel mengangguk setuju.
"Boyfriend ke?" Satu suara yang tak ingin dia dengari lagi itu muncul kembali.
Ya, itu Mak Su Misha. Orang yang membuat Adel trauma dengan kejadian di pantai. Mak Su Misha sudah semakin tua namun dia masih tidak berkahwin kerana dia tidak suka hubungan yang serius.
"Mak Su, ibu dekat wad 304," ucap Adel perlahan.
Mak Cik Misha mengangguk faham. Bahu Adel ditepuk perlahan sambil tersenyum.
"Manis kamu berdua," katanya.
Sebaik sahaja Mak Su Misha beredar, Adel terus mengusap dadanya yang sedikit sesak. Kepalanya pula pusing dan dia tiada tenaga.
"Saya pening," rungut Adel.
"Awak tak makan daripada malam semalam ke?" soal Nadeem.
Adel mengangguk perlahan.
"Allahuakbar, sekarang dah petang dah. Kenapa tak makan? Sibuk mana pun awak kena makan juga," bebel Nadeem.
"Saya nak tidur." Setelah mengatakan itu, Adel terus baring di bangku panjang itu walaupun orang lain melihatnya dengan hairan.
Nadeem pun terkejut dengan Adel. Sekejap sahaja dia terlena di atas bangku panjang tersebut.
"Nadeem!" panggil Puan Khadijah.
Nadeem menoleh.
"Umi, dia tertidur dalam satu saat je." Nadeem hairan.
"Allahuakbar, kesiannya. Itu maksudnya dia penat sangatlah itu sampai dekat sini pun boleh tidur. Sudahlah, biar umi papah dia masuk kereta." Puan Khadijah segera membawa Adel tidur ke dalam keretanya manakala Nadeem pergi memberitahu Mika tentang keberadaan Adel.
Syed memerhatikan susuk tubuh Nadeem itu dari jauh.
"Nadeem...Nadeem... Tengok daripada tindakan kau, macam tak suka dia tapi bagi dia harapan seolah-olah kau akan selalu ada untuk dia sepanjang hayat," bicaranya sendiri.
YOU ARE READING
Akhir Tak Pasti
Romance[SELESAI] Sebuah memori silam telah menjadi titik perubahan, Nur Adellea Arelyne. Siapa sangka bahawa gadis yang sedang taat dengan Allah dan mematuhi pakaian syariah itu lahir di dalam sebuah keluarga yang hanya meletakkan agama di atas kertas? Di...