Bab 2

617 25 0
                                    

MELANGKAH masuk ke rumah, wajah si kecil dulu yang dicari. Si kecil yang dia sudah anggap seperti anak sendiri.

Anak Lya dengan Zhafran = anak Hareez. Itu istilah di hati Hareez sejak lebih dua tahun lepas, sejak anak itu dilahirkan.

Ya, lebih dua tahun dia hidup bahagia bersandarkan bahagia orang lain. Dia bahagia melihat Lya bahagia.

Mungkin orang kata dia gila. Hakikat sebenarnya begitulah.

"Antasya mana, ma?" Soalan itu terus ditanya tatkala matanya tidak ternampak Antasya Myra di mana-mana.

Hari ini dia pulang awal. Keluar bertemu teman lama sambil minum, terus memandu pulang. Tapi waktunya banyak terbuang 'melayan' perempuan yang kenalkan dirinya sebagai Fatia. Entah nama betul atau tipu, Hareez malas mahu memikirkannya.

"Tidur...." Belum habis jawapan mamanya, Hareez sudah melangkah ke arah bilik yang memang telah dikhaskan untuk si comel itu.

"Jangan kejut dia Reez, nanti tak puas tidur mengamuk pula." Jeritan mamanya tidak diendahkan. Yang dia tahu, mata ingin sangat menatap seraut wajah comel itu.

Datin Junaina hanya mampu menggeleng. Melihat kasih Hareez pada anak Zhafran dan Lya itu, naluri keibuannya jadi tersentuh. Pun begitu, hati tuanya tetap merasa bimbang.

Dia bukan tidak tahu perebutan yang berlaku antara Hareez dan Zhafran. Tetapi, dia juga tidak berdaya untuk membantu. Jikalah Lya itu boleh dibelah dua dan dibahagikan sama rata, sudah lama dia melakukan itu.

Atau, jika Lya itu punya adik beradik perempuan yang lain, sudah lama dia mencadangkan pada Hareez.

Namun, semua itu adalah sesuatu yang terlalu mustahil untuk berlaku.

Langkah Hareez terhenti di tepi katil yang dikhaskan untuk si kecil itu. Wajah Antasya yang sedang lena ditatap seketika sebelum jemarinya menyentuh pipi mulus yang putih bersih itu.

Entah kenapa kasihnya benar-benar tumpah pada anak kecil itu. Mungkinkah kerana Antasya itu lahir dari rahim milik Lya maka, segunung kasih telah terkumpul untuk anak itu hanya dalam masa yang sangat singkat?

Atau, mungkin juga perasaan ini datang kerana antara mereka terikat dengan pertalian darah?

Peliknya, dia tak pernah merasai perasaan sebegini pada anak yang dilahirkan Melisa sedangkan wanita itu pernah menjadi isterinya.

Mungkinkah kerana dia tak pernah mencintai Melisa maka, rasa kasih itu tak pernah ada?

"Reez... Mari minum." Suara yang muncul di muka pintu bilik menamatkan ingatan Hareez pada Melisa.

"Kejap, nanti Reez datang." Hareez menoleh sekilas sebelum kembali menatap Antasya yang masih lena.

Dalam keadaan tidur beginilah dia suka menatap wajah comel anak itu, wajah yang benar-benar seiras Lya.

"Kahwinlah Reez... Nanti boleh ada anak sendiri. Anak orang, walau apa sekali pun tetap anak orang, takkan sama dengan anak sendiri." Lembut nada Datin Junaina menasihati si anak.

"Nantilah ma..."

"Nak nanti sampai bila?"

"Sampai Reez berjaya pujuk hati sendiri."

Datin Junaina terus terdiam mendengar jawapan si anak. Dia jadi hilang kata-kata. Ada simpati menerjah hatinya. Rasa bimbang juga bagai beradun dan bercampur baur.

Sebagai orang tua yang melahirkan, dia tahu anaknya ini sedang menyembunyikan luka di hati. Tapi, hati tuanya sangat berharap agar Hareez mampu melupakan semuanya.

YANG DIA PILIH (New Version)Where stories live. Discover now