PATAH

103 0 0
                                    

"Aku dah kata," kataku pada Amran yang sedang memandu di sebelah, "aku tak kisah pun barang mahal ke murah. Aku bukannya jenis orang yang nak barang dia semua mahal-mahal. Ikan makan dulu."

"Betul la tu. Tapi barang mahal ni kualiti dia kena la dengan harganya. Lagi satu, bila kau beli kat kedai, owner boleh recommend combination yang terbaik untuk mesin dengan rod kau. Kalau kau beli kat Shopee, aku tak cakap barang dia tak bagus; tapi kau tak dapat nak rasa berat rod dengan mesin tu. Nak tahu ia balance ke tak, sedap ke tak pegang."

"Rod Shopee aku lepas jer tarik 5KG hari tu?"

"Memang la tapi masuk ni berapa kali dah kau tukar rod sebab patah?"

Aku terdiam. Pukul 8:35 pagi, kami sampai di tempat letak kereta kolam memancing Fish On. Kami ambil peralatan dari bonet kereta dan melangkah menuju kaunter. Aku serahkan not RM50 kepada Amran. Dia pulangkan RM5 pada aku. Selesai dia membuat pembayaran, kami berjalan menuju pondok seberang kolam. Pondok biasa kami.

Aku pacak pancang dulu. Aku pacakkan sekali pancang Amran. Dia sediakan umpan. Aku pasang joran aku. Pasang perambut pada snap. Aku dah sedia untuk mancing.

"Resepi baru ke?" Tanyaku.

"Ha'ah. Aku bawa dua. Satu resepi baru. Pakai pallet. Satu lagi roti. Kalau mekong tak makan, try patin pula."

Selepas Amran menggoncang tong umpannya, aku tekap umpan palletnya pada mata kail. Sebelum itu, aku cucuk jajan pada kedua mata kail. Aku baling. Umpan jatuh dalam jarak lima meter lebih dari tempat aku berdiri. Aku libas hujung joran pada air. Kemudian letak joran dengan kemas pada pancang. Amran tengah memasang jorannya.

"Nah, kau rasa rod aku. Rasa mesin dia." Amran menghulurkan jorannya padaku; joran panjang tujuh kaki jenama Maguro dengan kekili dari Ryobi Smap. "Total semua sekali baru RM300. Tapi sedap nak mampus."

Aku putar kekilinya. Terasa lembut sekali. Jorannya juga terasa padu. Aku serahkan kembali pada Amran. Dia pasang umpan dan baling. Kami ada bungkus sekali sarapan dan kopi. Nasi lemak, telur mata, sambal sotong untuk Amran; bihun goreng, telur mata, sambal sotong untuk aku. Kami bersarapan bersama sementara menunggu sambaran ikan.

***

Sejam berlalu, masih tiada sambutan dari ikan. Aku dan Amran dah berapa kali menukar umpan. Jam dah pukul 10 pagi. Baki masa memancing kami tinggal lagi tujuh jam. Lamunan aku terhenti saat bunyi kekili berdesing. Ikan dah makan. Joran Amran yang mengena.

"Pul, tolong Pul!" jerit Amran. Dia tengah duduk mengikat perambut. Aku yang paling dekat dengan jorannya. Aku pantas berlari menyambar. Aku ketatkan drag sedikit. Ikan masih mampu mengeluarkan tali pancing. Amran bangun untuk mencari tangguk.

"Ambil joran kau ni."

"Alah, kau layan la. Bagi kau rasa pakai Maguro dengan Ryobi. Kau pam jer sekuat hati."

Aku menarik sekuat hati, kemudian mengarau kekili sambil meluruskan joran ke depan. Ulang pergerakan yang sama hingga ikan sampai ke tebing dan selamat masuk ke dalam tangguk. Patin pertama kami. Selesai buka mata kail, aku ambil gambar ikan bersama Amran. Kemudian lepaskan semula ke dalam kolam.

"Macam mana?" tanya Amran, "sedap tak?"

"Sedap betul mesin kau. Lembut gila. Drag tak mencicit keluar. Ia keluar lembutnya."

"Come on la. Barang jepun boh. Demo tok kena bare."

Aku serahkan kembali joran pada Amran. Dia letak umpan baru kemudian lempar. Kami sambung memancing seperti biasa. Aku masih menunggu ikan menyambar joran aku.

***

Dua jam berlalu pergi. Dua kali lagi Amran dapat ikan. Aku masih menunggu sambaran pada joran aku. Baki masa memancing tinggal lagi lima jam.

Aku melangkah ke joran aku. Nak tukar umpan. Aku baru nak capai joran, hujung joran aku bergoyang, tali menjadi tegang, drag berpusing laju. Ikan menyambar joran aku. Aku sembat joran macam tiada hari esok. Bagi mata kail terbenam kemas di mulut ikan. Amran dah bersedia dengan tangguk. Aku ulang teknik yang sama. Tarik joran mendongak ke langit saat ikan berhenti menarik tali, kemudian karau kekili sambil meluruskan joran ke depan. Ikan masih menarik tali tapi aku dah berjaya menariknya hampir ke tebing. Tiba-tiba...

"Praaap!"

Joran aku patah dua saat ikan hampir masuk ke dalam tangguk. Tali jadi kendur. Ikan bergelut sekali lagi. Oleh kerana tali kendur, ikan berjaya memloloskan mulutnya dari mata kail. Aku memandang Amran. Dia pandang aku.

"Sayangnya..." kata Amran, "dah dekat dah tadi. Mesin kau ok tak?"

Aku periksa kekili aku. "Ok. Rod jer patah. Kau ada bawa rod spare?"

"Takde. Aku bawa satu set jer."

"Macam mana ni?"

"Takkan nak balik?"

"Sayang wei. Ada empat jam lebih lagi ni."

Kami berfikir sejenak.

"Kita pergi kedai la beli rod baru terus?" cadang Amran.

"Tak jauh ke kedai?"

"Daripada nak balik?"

Betul juga kata Amran. Kami kemas barang kami dengan gopoh dan berjalan pergi ke kereta. Amran pandu dengan laju. Beberapa minit kemudian, kami sampai di sebuah kedai pancing di Kemuning. Amran beritahu pada pemilik kedai kami mahu joran untuk memancing patin kolam. Pemilik memberi tiga pilihan untuk aku. Ketiga joran tersebut menjadi pilihan utama pemancing yang sering berkunjung ke Fish On. Harganya semua bawah RM200. Salah satunya jenama yang sama Amran pakai. Cuma warna yang berbeza. Dia mengangkat keningnya memandang aku.

"Ke nak beli Shopee jer? Kena tunggu minggu depan la baru sampai." sindirnya.

Aku terus pilih joran sama jenama dengan Amran.

***

PATAHWhere stories live. Discover now