Part 1

1 0 0
                                    

RIYANA mengusap batu nesan sebelum berdiri untuk meninggalkan kawasan perkuburan itu. Selangkah dia di hadapan, dia berpaling semula lalu menyimpan hasrat untuk melakukan sesuatu. Bibir diketap dan air mata menetes kembali. Geram dan sakit hati kini menyatu.

"Jingmi..." Sebaris nama lelaki itu meniti di bibir. Kedua-dua tangan digenggam sambil memasang tekad. Dia akan menuntut bela di atas sebuah kematian.

"Kau tunggu aku muncul. Tahulah apa aku nak buat dengan kau." Dia terus melangkah dan beredar.

Kereta dipandu menuju ke satu alamat yang berpandukan aplikasi maps. Alamat yang selalu digunakan oleh Riyana setiap kali dia poskan barang untuk Raisha melalui arwah kakak kembarnya, Raihan.

Raisha adalah anak saudaranya yang belum sempat dilihat di depan mata. Sewaktu dia berada di luar negara selama tujuh tahun, dia berhubung dengan Raihan dan Raisha hanya melalui WhatsApp dan panggilan video sahaja.

Perkahwinan Raihan pun dia tak dapat hadirkan diri dan belum pernah dia bersua muka dengan abang iparnya. Apa yang dia tahu, lelaki itu bernama Jingmi. Seorang mualaf yang memeluk Islam kerana mahu berkahwin dengan Raihan.

Di sepanjang dia berada di Amerika, Raihan sering bercerita mengenai kebahagiaannya bersama Jingmi. Namun, apabila masuk tahun ke lima perkahwinan itu, Raihan membawa kisah yang bertentangan pula. Raihan mengadu sering dipukul dan selalu dijadikan hamba abdi oleh ibu dan kakak Jingmi, tapi apabila Raihan memberitahu kepada Jingmi, lelaki itu tidak percaya dan anggap Raihan menipu.

Satu hari, emak menghubunginya dan memberitahu mengenai Raihan yang dimasukkan ke hospital akibat keguguran. Kata emak, Raihan terjatuh dari tangga. Jujurnya, dia tidak percaya dan menganggap penghuni-penghuni di rumah Jingmi yang menyebabkan kemalangan itu.

Hampir setiap hari Raihan mengadu kepadanya mengenai kezaliman ibu dan kakak Jingmi, takkan begitu mudah dia akan percaya? Mungkin emak dan ayah yang tidak tahu. Pasti Raihan tidak pernah mengadu kerana tidak mahu mereka susah hati.

Hampir setengah jam memandu, Riyana tiba di lokasi.

Loceng ditekan. Riyana menanti dengan penuh sabar. Tujuan dia datang hanya mahu tunjukkan muka kepada Jingmi. Dia ingin tahu reaksi lelaki itu apabila melihat wajahnya yang seiras Raihan.

Riyana berharap Raihan tidak sempat memberitahu Jingmi bahawa mereka adalah kembar kerana mereka telah berpakat kononnya mahu membuat kejutan kepada Jingmi apabila Riyana pulang dari luar negara, tapi... lain yang mereka rancang, lain pula yang terjadi. Kini, Raihan telah pergi. Riyana sudah kehilangan kakak kembar buat selama-lamanya.

Selepas beberapa kali dia menekan loceng, barulah keluar seorang security guard. Ternyata, reaksi guard itu sangat terperanjat. Riyana hanya tayang senyum sinis. Pasti guard tersebut terkejut kerana melihat wajahnya yang serupa dengan Raihan.

"Pu... puan?"

"Puan?" Riyana pura-pura tidak mengerti. Dia mesti berlakon yang dia tiada kaitan dengan Raihan.

Guard yang bernama Azhar itu garu kepala. Mustahil isteri kepada majikannya hidup semula. Ini bukannya dalam filem. Ini adalah dunia nyata.

"Maaf, ganggu encik. Saya nak tanya, betul ke ni rumah Putera Syafiqul Amsyar Rafiqi Saddiq Al-Hassan?"

"Hah??" Azhar ternganga. Terkebil-kebil dia mendengar nama yang sangat panjang. Siapa pula gerangan manusia yang dicari oleh wanita yang berdiri di luar pagar itu?

"Betul ke ini rumahnya?" Riyana menahan senyum. Dia pura-pura berwajah serius. Nama panjang yang disebut itu, hanya rekaan dia semata-mata. Tiba-tiba saja nama yang panjang berjela meluncur laju di bibirnya.

"Cik salah rumah," beritahu Azhar dengan muka yang masih berkerut. Wajah wanita di hadapannya mirip sekali dengan arwah Raihan, isteri majikannya yang sangat baik hati.

Mengenangkan pemergian wanita itu, hatinya diterpa rasa sayu. Apa yang berlaku kepada Raihan, semua berada di dalam kocek bajunya. Mahu bersuara, dia hanya seorang pekerja. Jika dihalang perbuatan kejam Madam Chen dan Elisa terhadap Raihan, nanti dia pula yang akan dipecat.

Dia bukan orang senang. Datang dari ceruk kampung dan bekerja sebagai security guard di rumah orang kaya, dapatlah membantu sedikit sebanyak kehidupan orang tuanya.

"Eh, salah rumah?" Riyana garu dahi. Dia masih berlakon. Pura-pura usap dagu dan kembali bertentang mata dengan guard yang berdiri di dalam pekarangan rumah.

"Ini rumah Tuan Jingmi."

"Tuan Jingmi?"

"Ya."

"Siapa pulak tu?"

"Dia pengarah urusan syarikat perkapalan."

"Erk?" Riyana senyum tepi. Cuba disembunyikan senyum sinis sebaik mungkin.

"Cik drive tadi, tak buka maps ke?"

"Eh, mestilah saya buka."

"Habis tu, kenapa boleh tersalah rumah?"

"Alah, takkanlah encik tak tahu. Google maps tu bukannya betul sangat. Kadang-kadang dibaginya kita jalan nak pergi ke kubur." Riyana hampir ketawa. Dia baru pulang dari tanah perkuburan, jadi senanglah dia menjawab kemusykilan guard itu.

Azhar terangguk-angguk. "Betul juga."

"Erm... tak apalah kalau macam tu. Maaf ye, saya dah ganggu masa encik."

"Tak apa."

Riyana pusing tubuh dan mahu melangkah ke arah kereta semula.

"Mama!"

Langkahnya terhenti. Riyana tertelan air liur. Dia cukup kenal dengan suara itu. Suara halus yang sentiasa berhubung dengannya melalui panggilan video. 'Ah! Raisha!' Terpejam mata Riyana apabila Raisha memanggilnya. Berdoa dia dalam hati, meminta supaya Raisha tidak mengenalinya. Jika tidak, pasti rancangannya akan gagal.

'Mama' adalah panggilan Raisha untuk Riyana. Jika mereka berbual dalam talian, Raisha sentiasa memanggilnya 'mama' disebabkan wajahnya yang serupa dengan Raihan. Berkali-kali diberitahu kepada Raisha pun, anak kecil itu masih tak faham.

Biasalah budak kecil, mungkin mengambil masa untuk memahami apa itu 'kembar'. Ditambah lagi dengan arwah Raihan yang sentiasa mengajar Raisha untuk memanggilnya 'mama'. Memang selalu melekatlah dalam fikiran Raisha mengenai panggilan itu. Raisha patut memanggilnya 'mak ngah' bukannya 'mama'.

"Dia bukan mama Raisha," celah satu suara lelaki yang agak garau.

Azhar berpaling ke arah Raisha dan Jingmi. Entah apa reaksi majikannya jika melihat wajah wanita yang sedang berdiri membelakangi mereka. Belum melihat wajah pun Raisha sudah memanggil 'mama', apatah lagi jika wanita itu berpaling dan tunjukkan mukanya semula.

Riyana tunduk sambil mengumpul kekuatan. Dia yang memulakan semua ini, jadi dia haruslah menamatkan segala-galanya, tapi bukan sekarang. Tunggu masa yang sesuai. Episod dendamnya baru bermula. Dia tidak boleh mengalah terlalu awal hanya disebabkan Raisha memanggilnya 'mama'.

Dendamnya bukan kepada Raisha, tapi kepada seluruh ahli keluarga Jingmi termasuk lelaki itu sendiri.

"Mama!" Raisha memanggil lagi.

Setelah mengumpul semangat dan kekuatan, Riyana menarik nafas dalam-dalam. Wajah dimaniskan untuk berhadapan dengan Raisha. Pandailah dia nak berlakon macam mana di hadapan anak saudaranya itu.

Sejurus Riyana berpusing tubuh semula ke arah pintu pagar, terlepas pegangan Jingmi dari tangan Raisha. Seluruh mukanya pucat. Jika ditoreh dengan pisau, pasti tidak berdarah.

Sinis senyuman yang terbit di bibir Riyana. Dia yakin, lelaki yang berdiri di sebelah Raisha itu adalah Jingmi. Melihat dari wajah lelaki tersebut, mukanya serupa dengan gambar yang selalu dikirimkan Raihan kepadanya melalui WhatsApp.

Pandangan Riyana jatuh ke wajah Raisha. Bibirnya diketap kuat sambil menahan sebak yang tiba-tiba hadir. Kalau boleh, mahu saja diterpa anak kecil itu lalu didakap dengan erat, tapi dia terpaksa menahan diri di hadapan orang lain terutama sekali di hadapan Jingmi. Kalau dia tak kuat, pasti Jingmi akan tahu yang dia adalah saudara kembar Raihan. 

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 25, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

RIYANA_RAIHAN - RAFINA ABDULLAHWhere stories live. Discover now