Entah kenapa hari tu Laila seperti tidak ada hati ingin pergi ke rumah Hajar walaupun emaknya beria mengajak Tuan Mizan untuk bermalam di situ. Tapi digagahi juga dirinya. Ini mesti kerana Hajar begitu seronok impiannya ingin memiliki periuk Noxxa akhirnya tercapai. Dengan merasmikan periuk baru itulah emaknya memasak pelbagai lauk-pauk hari ini untuk menjamu semua orang makan. Rasanya sama saja seperti sebelum ini. Tak ada yang istimewa pun.
Mungkin Hajar gembira tetapi tidak Laila. Laila malu dengan Tuan Mizan. Kenapalah Tuan Mizan harus turuti apa saja permintaan emaknya? Hari ni minta periuk, lepas ni tak tahu apa pula yang Hajar akan minta. Kalau dimintanya kereta, tak ke haru hidup nanti?
"Tak sia-sia mak sebut pasal periuk ni. Laila pun dapat satu." Hajar masih tersenyum lebar sambil memandang ke arah periuk tersebut yang telah banyak berjasa pada hari ni. Periuk itu dilap sehingga kering. Barang baru haruslah dijaga dengan rapi.
Laila hanya tersenyum sambil sambung mengemas dapur. Hatinya tidak gembira malahan dia rasa sangat membazir beli periuk tersebut. Kenapa perlu beli sampai dua? Bukannya dia pandai guna sangat. Lagi pun dia dah biasa guna periuk belanga yang sedia ada. Tak perlu pun semua ni. Laila melepaskan keluhan perlahan.
"Kalau macam ni, tiap-tiap minggu pun kita boleh buat makan-makan macam ni. Seronok pulak dapat berkumpul ramai-ramai macam ni. Lepas siap kemas ni, Laila duduklah depan. Jangan lupa potong tembikai bawa ke depan. Terima kasihlah sebab tolong mak hari ni." Ujar Hajar ceria seraya berlalu ke ruang tamu.
'Kenapa tak bawa sekali periuk tu masuk bilik. Tidur peluklah periuk tu.' Rungut Laila di dalam hati. Riaksi mukanya cuba dikawal agar tidak jelas kelihatan riak tak senangnya. Satu keluhan dilepaskan. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini ada saja perkara yang membuatkan dia tidak senang.
"Tak siap mengemas lagi?" Sapa Tuan Mizan yang baru muncul di ruang dapur.
"Sikit je lagi ni." Laila mengukirkan senyuman. "Tapi Laila nak potong tembikai sekejap. Mak suruh bawa ke depan. Boleh tengok tv sambil makan buah."
"Biar aku potong." Ujar Tuan Mizan sambil mengusap belakang Laila lembut.
"Eh, tak apalah. Laila boleh buat."
"Biar aku buat." Tegas Tuan Mizan seraya mengambil pisau di tangan Laila. "Ingat aku tak pandai potong buah ke?"
"Bukan macam tu. Laila tak naklah susahkan abang. Ini kan kerja orang perempuan." Laila menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dengan perasaan serba salah dia membiarkan Tuan Mizan memotong buah tembikai. Mampus dia kalau Hajar nampak nanti.
"Laila dari tadi lagi buat kerja. Mesti penat. Kalau setakat potong buah ni, boleh je aku tolong." Tuan Mizan dengan cekap membelah buah tembikai lalu dipotong kecil-kecil agar mudah untuk dimakan.
"Kenapa abang tak duduk depan. Abang borak apa dengan ayah tadi?" Tanya Laila sambil memerhati Tuan Mizan yang sedang memotong buah tembikai. Di dalam hatinya mengakui kebolehan lelaki itu memegang pisau. Tidak nampak kekok langsung.
"Borak biasa saja. Dia tanya pasal sawit, pasal pisang. Pastu hisap rokok kat luar, buat halau nyamuk." Seloroh Tuan Mizan. "Tengok, Laila ingat aku tak pandai ke? Tandan sawit dengan pisang pun aku boleh handle, apatah lagi tembikai ni. Senang je."
Laila menggaru kepalanya yang tidak gatal dengan sengihan kecil. Manalah dia nak tahu. Di rumah ini, orang lelaki tidak membuat kerja dapur, semuanya hanya orang perempuan yang uruskan. Kecuali Tiara. Ah, gadis itu istimewa.
Tuan Mizan mengambil sepotong kecil buah tembikai lalu disuakan kepada Laila. Malu-malu Laila ingin ingin menggigitnya. Sejak akhir-akhir ini makin menjadi-jadi layanan Tuan Mizan kepada Laila. Ada saja ideanya yang bersahaja tapi berjaya mencuit hati Laila.
YOU ARE READING
SUNTI UNTUK TUAN MIZAN (C)
RomansaBacaan Dewasa Laila bukanlah anak kesayangan keluarganya. Kelahirannya tidak dinanti dan diingini. Ibunya mengandungkannya saat kakaknya baru berusia tiga bulan. Kerana ingin memberi perhatian dan kasih sayang yang secukupnya kepada Tiara, Laila ser...