Hagia

8 0 0
                                    

Tahun berganti tahun, Deniz sudah membesar menjadi seorang anak muda yang tampan tetapi memiliki tatapan yang dingin. Sesekali dia bertembung dengan gadis itu di lorong ladang gandum tanpa bertegur sapa. Ketika keluar ke pekan mencari bahan asas untuk memasak, buat pertama kalinya, Deniz merasakan dirinya bernyawa semula.

"Datuk bandar apa khabar?" Tanya pemilik kedai runcit itu, mesra. Untung sungguh anak muda yang berdiri dihadapannya kini dapat berjiran dengan ketua yang mengambil peduli nasib rakyat jelata. Tidak banyak, tempiasnya pasti terasa.

"Datuk bandar?" Tanya Deniz kebingungan. "Siapa?"

Terus riak wajah lelaki separuh abad itu berubah. "Takkan jiran sendiri pun kamu tidak kenal? Satu kota mengenalinya." Ketika dia bertemu dengan anak datuk bandar yang membeli benih anggur di kedainya, gadis itu mengatakan Deniz mempunyai personaliti yang menyenangkan.

"Oh, saya ada berjumpa dengan dia beberapa kali. Dia seorang yang bekerja keras dan peramah." Kata gadis itu sambil tersenyum. "Berapa harganya?"

Barang-barang yang dibeli Deniz dimasukkan ke dalam beg kertas dengan kasar. Anak muda itu berjalan pulang dengan perasaan aneh yang dia sendiri sukar untuk gambarkan.

*

Bunyi ganjil memenuhi segenap ruang, memecahkan kesunyian yang rindu untuk menjerit. Deniz berlari-lari anak dari dapur sebelum mengintai dari celah carikan langsir yang masih belum di baiki. Tetamu yang datang bersendirian itu membelakangkannya. Sebaik sahaja pintu dibuka, seorang gadis bermata hijau berpaling lalu tersenyum ramah sebelum menghulurkan Menemen dan madu dalam bekas yang berasingan.

"Untuk saya?"

"Ya."

Huluran itu akhirnya bersambut. "Terima kasih."

"Sama-sama. Awak... memasak?"

"Ah, ya." Jawab Deniz, sedikit segan. Pipinya bertukar warna merah jambu. Bau telur dadar pasti memenuhi segenap ruang ketika ini.

"Kalau awak perasan, kita selalu bertembung. Saya duduk di rumah itu." Tunjuk gadis tadi ke arah bangunan bertentangan mereka yang hanya di pisahkan lautan bijirin keemasan.

Istana yang menghadap laut, datuk bandar kesayangan rakyat dan anak perempuan yang menjaga air mukanya? Oh. "Saya tahu. Kirimkan salam saya pada datuk bandar." Ujar Deniz penuh hormat, berkira-kira untuk menamatkan perbualan. Dia perlu segera kembali ke dapur. Air yang dijerang pasti sedang menggelegak.

"Kalau tidak keberatan, datanglah ke rumah kami malam ini. Awak boleh sampaikan salam pada ayah."

"Baiklah, terima kasih." Sebaik sahaja gadis itu berpaling usai mengucapkan selamat tinggal, akhirnya Firas teringatkan sesuatu.

Dia adalah gadis itu. Gadis bergaun merah jambu yang melambai lima tahun lalu!

LANTAI UNGU 2021Where stories live. Discover now