BAB 1

45 11 0
                                    

“MAYLEA, kamu gagal lagi.” Sebaris ayat itu menggemparkan dunia Maylea. Dahsyat dia tersentak tatkala mendengar ayat itu keluar melalui belahan bibir gurunya. Reaksi mukanya yang terang seterang mentari semasa menunggu keputusan peperiksaan tadi diumumkan bertukar mendung. Semendungnya mega yang di luar.

Semua mata pelajar lain tertumpu kepada dia. Mereka sudah sedia maklum, Maylea merupakan salah seorang dari murid yang tercorot di dalam kelas mereka. Kalau bukan ayahnya memegang nama besar ke atas sekolah ini, Maylea tidak akan dapat jejakkan kaki pun masuk ke kelas ini. Kelas ini merupakan kelas terunggul, yang mana tiada seorang pun pelajarnya menerima keputusan ‘gagal.’

Kecuali dia,

Maylea Karlisa.

Tangannya dikepalkan ke sisi sambil melangkah layu menuju ke meja guru. Tatapan mengejek dari rakan-rakannya diabaikan. Maylea menundukkan kepala sembari menjaga langkahnya supaya tidak melonglai terjelopok ke lantai.
Meja guru pada ketika ini terasa amatlah jauh.

Tubir matanya hangat, menandakan bila-bila masa saja pelupuk matanya bakal mengeluarkan air mata. Sedaya-upaya dia menahannya. Sekarang ini dia sudah kelihatan menyedihkan pada tatapan khalayak. Dia tidak mahu menambahkan lagi sebarang tatapan remeh ke atasnya.

Cukup dia dilabel sebagai seorang yang gagal. Jangan dia ditambah label ‘lemah’ pula oleh rakan-rakannya.

“Ya, cikgu?” Dia bersuara perlahan seusai sampai ke meja guru. Tatapannya tetap di tempat yang sama, merenung hujung kasutnya. Dia tidak berani hendak bertentang empat mata dengan Puan Fatma, yakni guru kelasnya.

“Kamu gagal.” Ayat perit itu diulang lagi sekali.

Maylea menutup matanya rapat. Tubirnya semakin lama semakin bertambah hangat. Risau saja air matanya akan keluar tanpa amaran nanti.

Mana mungkin dia gagal? Dia sudah bertungkus-lumus mengulangkaji pelajaran hingga lewat malam. Bahkan, bukan setakat hingga ke lewat malam saja, hingga ke esok harinya juga dia pernah bersengkang mata mengulangkaji, tahu? Memang dia usaha bersungguh-sungguh untuk peperiksaan kali ini kerena dia takut.

Dia takut disakiti lagi.

Tuhan… tolong tunjukkan mana salah aku. Adakah salahnya terletak pada diri aku sendiri?

“Kamu belajar apa sebenarnya? Bukan sekali dua kamu dapat keputusan merosot macam ini. Dah banyak kali.” Puan Fatma menggeleng kepala kesal. Dia sebagai guru kelas, merangkap guru mata pelajaran Matematik di kelas Maylea berasa kecewa. Sekali pun Maylea tidak bertambah lebih baik.

Maylea diam tidak berkutik. Melihatkan itu, Puan Fatma melepaskan keluhan. “Keputusan teruk… Adab dengan cikgu pun takda.”

Serentak, Maylea memanggungkan kepalanya. Memandang terus ke arah wajah Puan Fatma. Renungan Puan Fatma membuatkan Maylea hampir melepaskan tangisan. Wanita tua itu jelas kecewa terhadap dirinya.

Malah, aku juga kecewa dengan diri aku…

“Maaf, cikgu.” Sebak suaranya berbunyi mengeluarkan kata maaf. Memang perkataan itu saja dia mampu ungkapkan sekarang ini. Hatinya dirundung galau.

Ini pertama kali dia dikecewakan sebegini hebat oleh semesta.

“Kamu faham tak apa cikgu-cikgu ajar sebenarnya?” siasat Puan Fatma lagi. Ada sesuatu tidak kena dengan Maylea. Dia tahu, gadis itu pandai. Buktinya segala kerja sekolah yang pernah diberikan berjaya Maylea jawab dengan betul. Cumanya, bila tiba waktu peperiksaan… Maylea tidak dapat menjawab sebarang soalan dengan tepat pun.

Maylea mengangguk perlahan.

“Jadi, apa masalah kamu?”

Sekali lagi dia terdiam. Apa masalah dia… dia sendiri juga tidak punya jawapan untuk itu. Mungkin dia terlampau memikirkan banyak benda, atau stres menghadapi keadaan berantakan di rumah membuatkan dia kurang tumpuan dan terlupa setengah apa yang dipelajarinya.

[EBOOK] Bunga TerakhirTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang