‧₊˚ ☁️⋅♡𓂃 ࣪ ִֶָ☾.
"Kau bawa bekal apa tu?" Isya bertanya sebaik saja aku meletakkan bekal yang aku bawa dari rumah di atas meja. Isya tenang mengunyah nasi lemak yang dibelinya di kantin sebentar tadi. Aku pula sudah memasang wajah kurang selesa berada di situ.
Terpaksalah makan bersempit-sempit disebabkan tempat duduk yang terhad. Cikgu bagi keluar rehat lewat 5 minit, jadi kami sekelas mampu pasrah sajalah. Walaupun, ramai yang sudah memaparkan riak wajah cemberut dan tak puas hati.
Bekal aku buka, aroma nasi ayam butter itu aku hidu semahunya. Sedapnya bau, apatah lagi rasa!
"Wahh.. sedapnya," kata Isya di sebelah sambil terpejam mata menghidup bau tersebut.
"Nak rasa ke?" soal aku. Setelah membaca doa makan, makanan itu disuakan ke dalam mulut.
Isya mengangguk tanda mahu. Lalu aku arahkan sudu itu ke mulut Isya yang sedia terbuka. Tak semena-mena tawa kami meletus apabila suapan itu berjaya masuk ke dalam mulutnya. Mata-mata pelajar di situ ada juga yang memandang kami.
"Oh ya, nanti kau ajar aku ya?" Setelah beberapa lama, tiba-tiba soalan yang keluar dari mulut Isya buatkan aku menoleh menatapnya dengan pandangan kehairanan.
"Apa tu?"
"Maths yang tadi cikgu ajar tu." Kemudian, plastik yang tadinya berisi nasi lemak itu sudah habis dibuang ke dalam tong sampah berdekatan.
"Oh yang tu.. aku tak faham," selamba aku berkata dengan sengihan di bibir. Mata meliar memandang kawasan kantin. Pelajar-pelajar mula berkurangan tak seperti awal-awal kami datang.
"Lah.. tadi masa cikgu tanya kita kau kata kau faham," beritahu Isya.
"Aku cakap je aku faham, tapi sebenarnya tak. Eleh.. kau pun cakap faham tadi, kan? Macamlah aku tak nampak." Mata menjeling Isya manja.
Tawa kami terhambur lagi.
"Ni mesti tak sabar nak keluar rehat sebab dah lapar, kan?" dugaku, melirik Isya yang sudah menahan senyum dengan soalan yang aku utarakan.
"Tahu pun. Jomlah masuk kelas, dah bunyi loceng ni," ajak Isya. Sesudah itu, kami bangkit bersama.
Tinggal beberapa orang pelajar je yang berada di kantin ketika itu.
Kami melewati laluan susur gajah untuk ke kelas. Tiba-tiba rasa rajin, biasanya kami guna jalan potong je.
Dalam perjalanan, kami dipertemukan dengan Nufhris dan Damien yang turut berjalan di laluan susur gajah yang sama. Daripada jauh aku dapat melihat dua gerangan itu seperti bercerita. Nasib akulah hari ini sebab pakai cermin mata. Sebenarnya, aku tak nak pakai tadi. Namun, hati terdetik mahu memakainya.
Aku dan Isya memandang satu sama lain dengan pandangan sukar ditafsir. Sedaya upaya tak mempamerkan wajah terkejut. Rasa mahu patah balik, tak sanggup hendak bertembung dengan Nufhris. Namun, nanti lain pula pandangan orang. Seolah-olah ketara mahu mengelak. Masih segar diingatan kata-kataku semalam kepada Isya yang aku mahu move on.
Aku yang berada di sebelah kiri Isya cuba merepati tubuh gadis itu. Takut jikalau jarakku nanti dengan Nufhris terlalu dekat. Jantung sudah makin berdegup kencang dikala susuk tubuh itu makin menghampiri.
Aku terus memandang lain bila mereka makin mendekat, tetapi apabila mereka benar-benar di depanku aku tak dapat menahan diri untuk tak melihat Nufhris di sebelah. Bila aku pandang lelaki itu, matanya lurus melihat ke hadapan. Bibir itu tak lekang dengan senyumannya seperti selalu yang aku lihat.
Aku bagai tak percaya yang aku berada bersebelahan dengannya sedekat itu. Gugup usah ditanya. Perasaan malu juga bertandang.
Ketika kami sudah melintasi antara satu sama lain aku tersentak mendengar bunyi jeritan kecil seseorang. Suaranya tidak kedengaran terkejut atau ketakutan, namun kedengaran teruja? Itu yang aku dapat dengar sebelum aku pandang belakang melihat sumber suara itu.
Ya, Nufhrislah yang menjerit tadi. Bunyi macam tak logik, tapi itulah kenyataan. Aku tak tahu dia kena sampuk apa. Dapat aku lihat Damien di sebelahnya sudah memandangnya pelik, namun dia juga tersenyum. Mungkin, dia juga sama sepertiku tidak menduga Nufhris akan berkelakuan begitu.
Pada masa yang sama, Nufhris turut memandang belakang. Matanya menikam anak mataku. Aku yang gugup dan panik laju memandang hadapan semula.
Rasa deja vu.
Isya dan aku menatap satu sama lain. Isya aku lihat sudah melotot kaget. Aku seperti disumpah menjadi batu, hanya diam. Semuanya berlaku tanpa aku jangka.
Untuk apa senyuman itu? Dia tujukan kepada siapa? Dan untuk apa jeritan gilanya tiba-tiba itu?
Entah mengapa semua itu aku rasakan ditujukan kepadaku. Akan tetapi aku takut salah menduga.
Kenapa lelaki itu seolah-olah memberiku harapan tanpa sedar? Atau aku je yang terlebih yakin? Memang niat aku untuk move on. Aku tak pernah rasa diberi harapan sebegini, bahkan dengan senior yang aku suka dahulu.
Kalau dulu pun selama itu aku menyukai tanpa diberikan secebis pun harapan. Jadi, bagaimana pula kali ini si dia yang seakan-akan memberi harapan?
Adakah move on aku itu memang sekadar kata-kata je? Bukannya ikhlas dari hati?
Sungguh aku keliru dengan makhluk Allah yang bernama Muhammad Nufhris Haris ini.