BAB 1

425 24 1
                                    

SAMBIL mendukung Saif, Dira Irdina melangkah keluar dari teksi. Dia menapak ke belakang kenderaan itu, lalu pintu booth dibuka.

Karim tergesa-gesa keluar dari teksinya untuk membantu. Dia mengeluarkan bagasi milik Dira, lalu diletakkan di atas rumput.

Dira mencari dompet di dalam beg tangan. Sebelah tangan lagi membetulkan kedudukan Saif. Anak itu bergerak-gerak dalam dukungan.

Jumpa apa yang dicari, Dira menghulurkan wang tambang kepada Karim. Lelaki itu sibuk mengusik Saif.

Begitulah tingkah Karim ketika mereka dalam perjalanan ke kampung halamannya. Setiap kali tayar kereta berhenti bergolek, Karim akan berpaling untuk bermain dengan Saif. Saif pula ketawa mengekek apabila diusik.

Karim mengambil upahnya. Dia sempat menjeling Dira.

"Saya harap yang baik-baik untuk puan dan anak," ujar Karim.

Daripada wajah Dira, dia tahu wanita itu ada masalah. Nampak tertekan. Satu soalan berlegar-legar dalam kepala Karim. Dira ni ada suami ataupun tidak?

Dira mengangguk seraya tersenyum pahit. Hatinya mengaminkan doa Karim. Dia juga berharap yang baik-baik sahaja meskipun kebimbangannya kian merusuh.

Dira menarik bagasi ke pagar.

"Along dah balik!" Nazim yang berdiri di hadapan pintu melaung dengan wajah ceria.

Namun, wajah Nazim tiba-tiba berubah apabila melihat bayi yang didukung oleh kakaknya. Anak siapa yang along bawa balik ke sini? desis hatinya. Risau!

Nazim menoleh. Dia memandang adik-adiknya dan ibu yang berada di belakangnya.

"Kenapa tercegat aje kat situ? Pergilah buka pintu pagar," suruh Normah seraya menyarung tudung ke kepala.

Tak sabar untuk melangkah keluar dan menyambut kepulangan anak yang dirinduinya.

Nazim angguk. Dadanya berdebar-debar saat mengayun langkah menghampiri Dira. Siapa budak comel ni? Takkanlah anak saudaranya? Hatinya berdesis.

Nazim gagahkan sebuah senyuman sebelum mengucapkan salam. Dira menjawab salam.

"Angah sihat?" tanya Dira lembut.

Nazim angguk. Ini sisi yang paling dia suka pada Dira. Sama macam ibu mereka. Dira cukup lembut dengan mereka adik-beradik. Tidak pernah mereka dimarahi oleh Dira.

"Masuklah, along," pelawa Nazim seraya menolak pintu pagar. Dia mengambil bagasi Dira.

"Ayah ada?" Dira bertanya dengan wajah cemas yang tidak dapat diselindung lagi.

Nazim angguk. "Ayah baru balik dari kebun."

Tidak berkedip mata Nazim memandang kakaknya. Wajah Dira memberi petunjuk yang tidak baik.

"Jomlah," ujar Nazim. Dia mendahului Dira. Bagasi ditarik masuk ke dalam rumah.

Langkah Dira mati saat melihat adik-adik dan ibunya yang menunggu di hadapan pintu. Mata menyorot dinding yang dihias ringkas untuk menyambut kepulangannya. Tetap terharu walau adik-adiknya hanya melekatkan kepingan-kepingan kertas A4 yang membentuk perkataan Welcome.

Normah segera menghampiri Dira.

"Siapa budak ni?" Normah merenung bayi yang didukung oleh Dira.

Comel, tapi dia langsung tidak mempunyai keinginan untuk mencuit anak itu. Anak ini mungkin berusia dalam setahun, teka Normah.

Dira menelan liur. Sungguh, dia sangat takut. Ini baru berhadapan dengan ibu. Macam mana nak menghadapi ayahnya? Tapi, sampai bila dia mahu menyembunyikan perkara ini? Satu hari nanti, keluarganya akan tahu juga.

LELAKIMU KHALIL GIBRANWhere stories live. Discover now