PEN di tangan Dira terlepas. Damia tahu rakannya terkejut dengan berita yang baru dia sampaikan.
Dira menatap dalam wajah Damia. "Betul ke apa yang kau cakap? Kau tak main-main, kan?"
Damia menggeleng. Wajah wanita itu nampak resah.
"Mana kau tahu?" soal Dira lagi bagi mendapatkan kepastian.
"Encik Muadz baru aje cakap. Dia kata Tuan Ali nak jumpa kita semua pukul 11.00 nanti."
Dira mencari telefon untuk melihat masa. Dia jenis manusia yang tidak gemar memakai jam tangan. Tak jumpa. Beg tangannya dah serupa pasar mini. Semuanya disumbat di dalam beg itu. Dira mengerling jam dinding.
"Syarikat kita dah tak boleh diselamatkan ke?" tanya Dira lagi.
Sungguh dia resah memikirkan khabar tersebut. Macam mana kalau dia dibuang kerja?
Damia menjongketkan bahu sambil menggeleng. Entahlah. Tapi, itu yang dia dengar melalui perbualan telefon antara Muadz dan Tuan Ali. Syarikat mereka akan diambil alih oleh pengurusan lain.
Muadz melangkah keluar dari biliknya. Dia menuju ke tengah ruang pejabat.
"Kita ada meeting pukul 11.00 dengan Tuan Ali." Muadz membuat pengumuman.
"Betul tak apa yang aku kata tadi?" bisik Damia sambil menjongketkan kening.
Dira memandang Damia sekilas sebelum kembali menumpukan perhatian kepada ketua mereka.
Muadz meliarkan pandangan sekeliling ruang itu. Dia mengeluh. Macam ni nak sambut bos baru?
"Boleh tak kemas sikit tempat ni? Buat malu aje!" ujar Muadz dengan suara kuat. Nampak marah.
Kemudian, entah apa yang lelaki itu bebel, mereka tidak ambil pusing. Semua pakat sibuk mengemas meja masing-masing.
Dira mengerling sekilas. Dia nampak Muadz sedang memerhatikannya.
"Dira, masuk bilik saya," arah Muadz apabila pandangannya dengan Dira beradu.
Apabila Dira berlengah, Muadz naikkan nada suara. "Sekarang!"
Muadz terus melangkah ke biliknya.
Dira mengangguk, tapi masih di tempatnya. Menyusun alat tulis yang bersepah. Bukan kerjanya, tapi kerja si Saif.
Beberapa staf lain saling memandang. Muadz ni pun satu. Dah tahu orang tu tak sudi, tak faham-faham lagi. Mereka mengutuk. Bukan mereka tidak tahu Muadz cuba mengurat Dira.
Dira angkat wajah. Muadz sedang berdiri di hadapan pintu sambil mencerlungnya. Melihat wajah masam Muadz, Dira mengemas mejanya lebih kurang. Buku catatan dan pen dicapai sebelum melangkah ke bilik Muadz.
Muadz memberikan ruang kepada Dira untuk masuk ke biliknya. Terus pintu ditutup.
Dira menjeling. Sudah banyak kali dia memberitahu Muadz yang dia tidak selesa apabila lelaki itu menutup pintu. Bimbang mencetuskan fitnah.
Muadz membawa kaki ke mejanya. Mereka serentak melabuhkan duduk.
"Ada apa, Encik Muadz?"
"Syarikat ni ada masalah." Muadz memulakan perbincangan.
Dira menunggu butir bicara seterusnya. Ayat tadi tidak membantunya untuk menghadam apa sebenarnya yang sedang berlaku. Memang jualan menurun dan terdapat lambakan stok, tapi mereka berada di tahap apa? Kritikal ke?
"Cuba Encik Muadz spesifik sikit. Masalah yang macam mana tu? Perlu ke kami semua bimbang?" ujar Dira apabila Muadz hanya diam.
"Tuan Ali dah jual syarikat ni kepada orang lain."