BAB 4

136 9 0
                                    

DIRA memandang cermin pandang belakang. Stereng dipulas agar kereta dapat masuk ke dalam petak parkir. Tiba-tiba sebuah kereta masuk dan mengambil petak yang menjadi sasarannya.

Dira terpinga. Tidak percaya yang petak parkirnya dicuri. Dia menurunkan cermin kereta.

"Hoi, itu parking sayalah!" Dira melaung.

Gibran melangkah keluar dari kereta. Dia mengerutkan dahi apabila terpandang perempuan yang sedang mencerlungnya. Marah benar ni. Dia ada buat salah ke?

Gibran sekadar menjongketkan kening sebagai menghantar soalan kenapa perempuan itu nampak marah sangat.

"Awak curi parking saya," ujar Dira dengan wajah mencuka.

Gibran menoleh. Bimbang juga kalau dia memarkir di petak sewa khas. Tapi, itu adalah petak kosong untuk kegunaan umum.

"Ada tulis nama awak? Atau nombor plat kereta awak? Tak ada, kan? Lagipun tak ada tulis petak sewa khas."

"Awak jangan cari pasal. Saya dah lambat ni."

Gibran menghampiri Dira.

Dira tersentak. Mereka pernah bertemu ke? Dia ingat-ingat lupa wajah lelaki itu. Tapi, dia yakin, mereka pernah bertemu. Otaknya bekerja keras untuk mengingat, namun hampa.

Gibran tersenyum kecil. Dia sudah biasa direnung begitu. Kerap sangat.

"Lain kali kalau tak nak lambat, keluar rumah awal sikit." Gibran memberi nasihat.

"Malulah sikit. Dengan pemandu perempuan, bolehlah awak buli." Dira membidas.

Gibran tenang sahaja. Dia berpatah balik ke keretanya.

Dira menanti. Mati-mati dia ingat Gibran mahu mengubah kereta ke petak lain. Tapi, sebaliknya yang berlaku.

Gibran mengambil tiket parkir. Dia mengoyak dua keping tiket, lalu menghampiri kereta Dira.

"Depan tu ada banyak lagi parking kosong. My treats." Gibran menyelit tiket parkir pada windscreen wiper kereta Dira.

Dia sempat tersenyum sambil melambai seraya melangkah ke restoran berhampiran.

Dira mendengus geram. Gaya sombong nak mampus, desis hatinya. Dira menekan pedal minyak, lalu mencari petak kosong.

Dira melangkah keluar dari kereta. Dia mengambil tiket parkir, lalu diselit ke wiper kereta lelaki tadi. Dia memandang kereta BMW hitam berkilat itu. Kereta saja cantik. Perangai pemilik kereta, tak ada sivik, kutuk Dira dalam hati.

Dira masuk ke restoran. Damia menyuruh dia membeli minuman untuk menyuarat pagi ini. Lelaki pencuri parkir dilihat sedang berdiri terpacak di hadapan kaunter. Menunggu giliran untuk membuat pesanan. Terus wajah Dira kembali ketat. Lelaki itu mencemari paginya.

Dira ke kaunter kedua. Dia kenal dengan gadis yang menjaga kaunter tersebut.

"Ain, enam kopi dan empat teh." Dira membuat pesanan.

Ain angguk.

Gibran menoleh ke barisan di kaunter sebelah. Dia ingat suara itu. Suara yang tadi menjerit seperti terkena sawan.

Dira menjeling.

Gibran memandang Dira atas bawah. Eh, kemain minah ni. Tak beratur pun. Mujur bukan di barisannya. Kalau tak, dia akan sekolahkan perempuan itu. Hati Gibran berdesis.

Ain menghulurkan bekas berisi enam cawan kopi. Satu bekas lagi memuatkan empat cawan teh panas.

"33 ringgit 60 sen," ujar Ain.

LELAKIMU KHALIL GIBRANWhere stories live. Discover now