HANYA berbaki seminggu untuk mencukupkan tempoh sebulan yang diberikan Raja Iskandar Idris kepada puterinya untuk mencari lelaki pilihan hati. Tetapi tidak ada satu jejaka pun yang dapat Razia pandang dengan mata hati, hanya mata yang disepetkan akibat kegelian setelah menerima beberapa cubaan mengorat dari lelaki bangsawan yang sangat angkuh.
"Saya seorang rupawan, kaya dengan harta yang menggunung dan saya juga gagah. Apa lagi yang diimpikan oleh seorang gadis jika bukan orang seperti saya, benar? Jadi tuan puteri cukup beruntung kerana saya memilih tuan puteri"
Lelaki yang berpakaian serba perhiasan emas dan bersut lengkap berwarna merah sedondon seluar dan sepatunya itu, mengelus-elus sendiri rambutnya di hadapan Razia. Razia naik mual, lalu mengetuk loceng yang berada di samping kanannya dengan bendul besi kecil.
"Tersingkir. Yang seterusnya," kata Razia.
"Apa tuan puteri sudah buta mata, hati dan fitrah? Bagaimana mungkin saya ditolak, tiada siapa yang boleh menolak saya. Saya seorang rupawan, kaya dengan harta yang menggunung dan... Hey! Jangan kau sentuh persalinan aku dengan tangan kotormu, lepaskan aku. Lepaskan..." Suaranya semakin perlahan kedengaran seraya ditarik dua orang pengawal yang bertugas keluar dari istana.
Dua jari ibu dan telunjuk Razia tekan pada hujung mata sambil tangannya bertongkat di meja. Pening kepalanya melayan satu-satu karenah lelaki yang datang ke sesi bicara jodoh itu. Dia mengangkat kepalanya lalu menala ke arah ayahanda yang duduk agak jauh darinya, melayangkan wajah bengis. Ayahandanya pula melemparkan senyuman meminta anakandanya itu bersabar.
Ini semua adalah buah fikiran ayahanda. Baginda yang mencadangkan untuk membuat sesi meja terbuka, seolah-olah temuduga pencarian bakat tetapi dibuat untuk menyatukan dua jiwa. Kolot. Itu yang Razia fikirkan seraya mendengar cadangan ayahandanya itu, namun tidak disangkanya ayahanda tidak berjenaka.
Jadi pada waktu tengah hari ini, Razia duduk di sebuah meja besar yang diletakkan di tengah-tengah dewan tetamu tepat di hadapan pintu bangunan istana yang terbuka. Di sepanjang sisi pintu istana, terdapat dua barisan penjaga istana yang berhadapan antara satu sama lain membentuk satu lorong bagi jejaka-jejaka yang mahu mencuba nasib untuk beratur.
Ikutkan hati, Razia sudah lari keluar dari tempatnya dan mungkin juga keluar dari kawasan istana. Ya lah, alang-alang gerbang istana juga dibuka bukan main luas hari ini. Semua itu semata-mata untuk menjemput mana-mana jejaka muda untuk datang melamar Razia. Ayahanda cukup berani, itu yang boleh dikatakan Razia sekarang. Ayahandanya menyuruh sida-sida istana untuk menyebarkan berita tentang sesi bicara jodoh ini ke khalayak umum di seluruh Akustika, setelah berbelas orang lelaki bangsawan yang diperkenalkan ayahandanya ditolak Razia.
"Yang datang menghadap semuanya lelaki, tetapi karenah mengalahkan perempuan," bicara Razia sendiri.
Satu-persatu lelaki yang bersemuka dengannya ditolak. Ada yang terlalu angkuh, ada yang berperilaku tidak sopan malah ada juga yang datang semata-mata dipaksa bonda mereka. Dengan harapan menjadi suami kepada seorang gadis yang sangat jelita dan puteri tunggal sebuah kerajaan yang megah, mampulah anak mereka mendapat masa depan yang cerah dan berpeluang untuk duduk di takuk pemerintahan.
Kole perak yang dihidang diatas meja sudah habis isi dalamnya. Semua diteguk masuk ke mulut dari masa ke sama, punyalah panjang orang berbaris. Dayang yang setia berdiri di sebelah tangga turun dipanggil Razia.
"Dayang, beta mahukan air lagi. Air perahan herba bunga seperti tadi ya," pinta Razia. Bekas minuman di meja pun diambil dan diletakkan di dulang, sebelum dayang itu pergi meninggalkan meja Razia kosong.
YOU ARE READING
WHITE AURA
FantasyBulan malam mempamer seri, Diteman beribu bintang di sisi, Hikayat sang puteri dibuang negeri, Pertama kali hidup sendiri. Burung kenari memakan pulut, Pulut ditelan habis isinya, Sang pengkhianat dalam selimut, Menyebar fitnah ke serata istana. Rum...