BAB 7

124 6 0
                                    

DIRA memimpin Saif ke kereta. Yati masih berdiri di pintu sambil mendukung bayinya yang berusia sepuluh bulan. Ini hari ketiga Dira lambat. Biasanya Dira akan menjemput Saif sebelum 6.00 petang. Ini sudah hampir pukul 8.00 malam.

Dira teserempak dengan Ramlan, suami Yati. Ramlan sedang menunggang motosikal masuk ke laman rumah.

"Lewat balik, Dira." Ramlan menegur dengan wajah ketat.

"Saya minta maaf, Abang Lan. Bos baru selalu bagi kerja overtime."

Ramlan tersenyum pahit.

Dira membalas senyuman lelaki itu. Dia kenal dengan senyuman itu. Senyuman tidak puas hati. Tapi, apa pilihan yang dia ada selain meminta maaf sekali lagi?

Dira mendukung Saif, lalu diletakkan di tempat duduk belakang. Pintu kereta ditutup.

Dira memandu tenang. Seperti biasa Saif akan berdiri di tengah-tengah, di antara dua kerusi hadapan. Suka apabila udara sejuk daripada pendingin hawa menampar perlahan wajahnya.

"Mama, Saif nak aiskrim."

Dira senyum. Dia memandang Saif sekilas sebelum pandangan dibawa semula ke jalan raya. Mata melirik jam pada dashboard. Memang tidak sempat bersolat maghrib jika dia singgah ke kedai.

"Dah lambat, sayang. Mama ganti dengan lolipop, boleh?" Tangan kiri Dira menyeluk beg tangan mencari lolipop.

Jumpa. Dia menghulurkannya kepada Saif. Saif tersengih gembira. Huluran ibunya disambut.

Dira turut tersenyum. Dia memang menyimpan makanan ringan di dalam beg tangannya untuk merasuah Saif.

Saif melompat ke kerusi di sebelah Dira. Dia duduk bersila. Lolipop dan patung dinosaur tidak lepas dari tangannya.

"Pakai tali pinggang, sayang."

Saif menarik tali keledar, lalu Dira membantu memasangnya.

Mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat. Dira mengusap kepala Saif. Anak itu ditatap. Dia mengeluh. Gibran tidak akan berada lama di House Of Parfum. Selepas syarikat tersebut membuat keuntungan, Gibran akan menjualnya. Tetapi, Dira risau sangat kalau kewujudan Saif terbongkar. Dia tidak sanggup kehilangan anak itu.

"Mama dah apply kerja di banyak tempat. Tapi, sampai sekarang satu pun tak panggil untuk temu duga. Saif tolong minta doa untuk mama, ya?"

Saif angguk walau dia tidak faham sangat apa yang sedang dibualkan oleh ibunya.

Dira mencubit pipi tembam Saif. Sejak akhir-akhir ini, dia perasan wajah Saif mempunyai iras Gibran. Paling ketara ialah mata coklat Saif. Sepasang mata helang yang tajam.

Bunyi hon dari kereta di belakang menyedarkan Dira. Dia memandang lampu isyarat yang telah bertukar hijau. Dira terus memandu. Kali ini tidak setenang tadi.

Sungguh. Dia tidak pernah menduga dipertemukan dengan Gibran. Apatah lagi mengharapkan lelaki itu untuk bertanggungjawab atas apa yang berlaku.


DIRA menjinjit beg berisi apom ke pantri. Rafi dilihat sedang membancuh kopi.

"Kau nak kopi?" tanya Rafi.

Dira angguk. Dia meletakkan bekas apom di atas meja.

"Ambil yang aku dulu." Rafi menghulurkan muknya kepada Dira.

Dira menyambut huluran Rafi. "Terima kasih, Rafi."

Rafi mencapai muk lain.

"Kau bawa apa tu?" tanya Rafi dengan kening yang terjongket.

LELAKIMU KHALIL GIBRANWhere stories live. Discover now