BAB 8

169 7 0
                                    

GIBRAN meletakkan cawan kopi di atas meja Dira. Niatnya mahu menggantikan kopi Dira yang diminumnya beberapa hari lepas.

"Siapa letak kopi atas meja aku?" Dira bertanya kepada Damia.

Cawan kopi dipusing. Namanya ditulis di situ. Dia kenal. Itu tulisan Ain, pekerja cofee.mycafe.

Damia menjongketkan bahu. Dia memandang cawan kopi di atas meja Dira.

"Kalau tak nak, kasi aku," ujar Damia.

Dira sedekahkan minuman itu kepada Damia. Ayahnya selalu berpesan, jangan ambil makanan atau minuman sembarangan.

"Thank you," ujar Damia. "Kau buat apa lagi tu?"

Dira sedang menyalin semua posternya ke dalam pemacu pen.

"Kau masuk dulu. Sekejap lagi aku pergi," ujar Dira.

Damia membawa kopi bersamanya ke bilik mesyuarat.

"Jom, Dira." Rafi menegur ketika melintasi meja gadis itu.

Dira angkat tangan dan membuat isyarat okey.

Dira menapak laju ke bilik mesyuarat. Dia terserempak dengan Gibran yang baru keluar dari pejabatnya. Seperti biasa, di belakang lelaki itu ialah Wafa.

Dira menekan brek kaki. Memberi peluang dua manusia itu mendahuluinya.

"Kalau saya masuk dulu, Cik Dira dikira lewat." Gibran mengugut.

Niatnya untuk bergurau, tapi Dira menganggapnya serius. Dia memintas Gibran dan Wafa.

Gibran sembunyi senyum. Tahu takut. Tanpa sengaja, dia terpandang cawan kopi di hadapan Damia. Tahulah yang Dira tidak sudi menerima pemberiannya. Lantaklah kalau nak jual mahal.

DIRA mempersembahkan poster yang pertama. Gibran mengamati.

"Please, Dira. Choose the right color to create energy, elicit a mood and attract the eye. Create a point of focus." Itu komen pedas Gibran apabila melihat poster pertama Dira.

Tak perlulah dia membuang masa untuk melihat poster seterusnya. Dah boleh agak macam mana rupanya.

Dira beralih ke poster kedua.

Tepat ramalan Gibran. Tidak mematuhi piawaiannya. Gibran memberi isyarat supaya Dira tidak meneruskan pembentangan.

"Saya rasa cukuplah dua poster. Don't waste my time."

Gibran memadang Damia. "Damia, it's your turn."

Dira kembali ke tempat duduknya dengan wajah cemberut. Baginya, ini adalah antara posternya yang paling cantik. Dua malam dia bersengkang mata menyiapkan kerjanya ini. Langsung tidak dihargai.

Damia memulakan pembentangan. Nasibnya sama seperti Dira.

"Hasilkan website yang sticky enough that they won't leave. Tujuan kita supaya visitors stay on our site and become our customers. Buat semula!" arah Gibran.

Damia angguk.

Wafa mengesan ketegangan pada wajah Gibran. Dia menyentuh lengan lelaki itu menggunakan pen.

"Bos okey ke? Nak teruskan dengan pembentangan lain?" Wafa berbisik.

Dia cuba mengendurkan suasana tegang dan panas di dalam bilik itu. Dengan mood Gibran yang begini, dia yakin staf lain akan turut menerima tempiasnya. Setakat ini, hanya pembentangan Muadz yang mendapat pujian. Pelan strategik dan taktikal lelaki itu dapat disesuaikan dengan pelan yang Gibran rancang untuk House of Parfum.

Semua mata memerhatikan Gibran dan setiausahanya. Entah apa yang dibincangkan.

Rafi berdiri. Bersedia untuk membuat pembentangan.

Gibran mengusap dahi. Patutlah syarikat ini hampir gulung tikar. Minyak wangi yang dikeluarkan berkualiti. Tapi, pemasaran gagal. Staf di unit pemasaran makan gaji buta. Patutlah jualan menjunam. Banyak produk yang berjaya setelah Gibran mengambil alih sesebuah syarikat. Pelan taktikalnya ialah memaksimumkan penggunaan media sosial dalam pemasaran.

Gibran mengisyaratkan Rafi supaya duduk.

"Saya bagi masa sampai pukul 5.00 petang. Hantar kepada saya sebelum balik," arah Gibran kepada Dira dan Damia.

Dia meminta Rafi membuat pembentangan di pejabatnya.

"Dismissed!" ujar Gibran. Dia melangkah keluar.

Wafa bergegas membuka pintu untuk lelaki itu.

Muadz mentarbiah anak buahnya.

"Kan kita dah bincang pasal ni. Saya dah bagi tahu apa yang Encik Gibran suka dan tak suka. Saya tak hairan kalau dia pecat korang semua. Nasiblah." Muadz menyambung kata.

Dia menyusun barang-barang miliknya, lalu melangkah keluar.

Damia dan Dira saling berpandangan.

"Stres, kan?"

Dira angguk.

GIBRAN mengklik fail yang baru dihantar oleh Dira. Lima kesemuanya. Dua poster yang dihantar masih belum memenuhi piawaiannya. Apabila Gibran membuka fail seterusnya, dia terkejut. Gambar banner E-liquid bagi vape flavour.

Gibran menggeleng. Dia meninggalkan mejanya untuk mencari Dira. Gibran berdiri di luar pintu pejabatnya. Dari situ dia dapat melihat staf di unit pemasaran menyiapkan tugasan yang diberikan pagi tadi. Masing-masing tidak panggung kepala.

Tapi, dia tidak nampak Dira. Gibran membawa langkah ke meja Damia.

"Mana Dira?"

Damia mendongak. Dia segera berdiri.

"Dia dah balik," ujar Damia dengan wajah serba salah.

Gibran meluaskan mata. Tunak memandang Damia. "Balik?"

Damia angguk. Dia tidak berani memandang wajah Gibran.

Gibran mengetap rahang. Dira memang mencabar kesabarannya.

"Awak tolong cakap dengan dia esok tak payah datang kerja."

Damia cemas. Gibran melangkah semula ke biliknya. Damia mengejar langkah Gibran.

"Encik Gibran, boleh tak bagi peluang pada Dira?"

Gibran menatap wajah Damia. Dia menunggu butir bicara selanjutnya.

"Dia bukan pekerja yang malas. Dia cuma tak boleh stay back. Pengasuh anak dia tu payah sikit." Damia terpaksa membuka cerita.

Gibran jelas terkejut. Dia menyangka Dira masih bujang.

"Berapa umur budak tu?"

"Tiga tahun. Dua hari lepas dia dah kena sound. Dia faham kekangan yang dihadapi oleh syarikat sekarang ni. Malah, dia sedang cari pengasuh baru. Saya minta sangat jasa baik Encik Gibran untuk bagi kebenaran dia bekerja di rumah. Sekejap lagi saya minta dia baiki poster dia."

Gibran mengeluh. Kerja di pejabat pun tak lepas, macam mana nak bekerja dari rumah?

"Nanti guna alasan suami dia marah pula bawa balik kerja ke rumah." Gibran menyindir.

Damia menafikan. Kedua-dua tangan naik, lalu digawang di hadapan Gibran. "Tak apa. Dia tak ada suami. Dia ibu tunggal."

Damia menggigit bibir. Masak aku. Semua rahsia Dira telah dibocorkan kepada Gibran. Damia tahu status Dira yang dibongkar membuatkan Gibran serba salah.

"Sebab itulah saya minta sangat Encik Gibran tak pecat dia. Lagipun dia menyara adik-adik dia yang masih bersekolah di kampung."

Gibran tidak memberi sebarang respons. Menurun sedikit api kemarahannya.

"Awak boleh stay ke? Tak ada masalah pengasuh?" Gibran bertanya.

Damia tersenyum pahit. "Saya dan suami belum ada rezeki lagi."

"I am sorry," ujar Gibran.

Damia meminta diri untuk meneruskan kerjanya. Dia melangkah keluar dari bilik Gibran.

Dari jauh, Muadz memerhati. Dia tidak mahir dengan Photoshop mahupun Adobe Illustrator. Kalau tak, memang dia dah betulkan poster Dira supaya menepati kehendak Gibran.

LELAKIMU KHALIL GIBRANWhere stories live. Discover now