BAB 9

151 6 0
                                    

GIBRAN yang sedang menyambung komputer ribanya ke projektor LCD menjeling Dira yang melangkah masuk ke bilik mesyuarat. Dia menyuruh Dira menutup pintu.

"Duduklah," ujar Gibran apabila Dira masih tercegat di hadapannya.

Dira menarik kerusi, lalu melabuhkan duduk. Dia memerhati tingkah Gibran. Perlukah dia meminta maaf kerana pulang awal? Tak payahlah! Akal menegah.

Sebaik imej daripada desktop komputernya terpampang pada skrin, Gibran melabuhkan duduk. Dira memandang skrin.

Gibran membuka e-mel. Poster Dira terpampang.

"Posters were a conventional medium to convey information to the target audience. And now, posters have been turned into an effective marketing strategy that grabs the attention of people towards our business. A creative poster design can convert viewers into potential buyers."

Habis sahaja ayat bahasa Inggeris, bersusun komen pedas yang diberikan oleh lelaki itu tentang dua poster Dira. Pendek kata, semuanya tidak kena di matanya.

Dira menadah telinga.

"Sekarang ni kita beralih ke poster ketiga," ujar Gibran.

Inilah masa yang ditunggu oleh Gibran. Dia akan ajar Dira cukup-cukup.

Dira terpempan. Apa yang ditayangkan adalah poster yang dibuat untuk kedai yang menjual vape dan flavour vape. Dira mengusap dahi yang tiba-tiba merembeskan peluh.

"Saya tak nak komen. Apa kata awak sendiri yang komen poster ni? Macam mana poster ni boleh bantu House Of Parfum?"

Dira menelan liur. Gibran menanti. Dira berdeham.

"Saya minta maaf, Encik Gibran. Saya ambil upah buat design poster dan banner. Saya buat secara sambilan."

"Sambilan? Are sure about that?" Gibran membuat provokasi.

Dira angguk.

"Memandangkan awak dah hantar design banner ni kepada saya, saya ada hak untuk bagi komen. Walaupun poster ni tak ada kena-mengena dengan syarikat saya."

Gibran nampak wajah tidak selesa Dira. Tapi, gadis itu tidak membantah. Dia tahu Dira rasa bersalah.

"Too many colors, fonts, images and message. It will confuse the viewers. Kalau designer yang bagus, mereka akan prefer a few elements so that the viewers can focus on the message."

"Kenapa Encik Gibran tak ada niat nak ambil alih syarikat antarabangsa yang tunggu masa nak gulung tikar?"

"Kenapa?" tanya Gibran, merenung tajam ke wajah Dira.

Satu perkara yang Gibran sedar menimpa dirinya akhir-akhir ini ialah dia gemar menatap wajah itu.

"Saja aje terfikir. Encik Gibran kan suka sangat speaking. Eloklah cari syarikat yang pekerjanya bertutur dalam bahasa Inggeris. Saya bukan faham sangat apa yang Encik Gibran membebel dari tadi. Karang saya buat poster tak kena dengan cita rasa Encik Gibran, bising lagi." Dira menempelak.

Dia faham bahasa Inggeris, tapi lambat sikitlah nak hadam.

Gibran mengoyak senyuman lebar. Rasanya ini ayat Dira yang paling panjang.

Dira terkedu. Kenapa senyuman itu nampak manis sangat? Dira tunduk, lalu beristighfar. Jangan lupa yang lelaki ini adalah spesies Conus. Beracun. Kau dah hadap kesan racun dia sejak tiga tahun yang lalu. Jangan lupa!

"Okey. Next poster. Poster seterusnya." Gibran menterjemah ayatnya ke bahasa Melayu.

"Macam itulah. Kalau bukan kita orang Melayu, siapa lagi yang nak memperkasakan bahasa Melayu?" Dira menyindir.

LELAKIMU KHALIL GIBRANWhere stories live. Discover now